Trump dengan bangga mengumumkan bahawa gencatan senjata akan dicapai dalam masa terdekat antara Hamas dan negara haram “Israel”.
Terdapat dua puluh (20) cadangan yang dikemukakan.
Dari jumlah di atas tidak ada walaupun satu kecaman ke atas regim penjajah Zionis “Israel” yang melakukan pelbagai jenayah perang ke atas rakyat Palestin.
Dalam masa yang sama tidak ada satu jaminan penamatan pencerobohan ke atas bumi Palestin khususnya Tebing Barat.
Trump mahu menamatkan perang Gaza kerana beberapa objektif; penumpuan kepada politik dalaman Amerika Syarikat, menyelamatkan negara haram “Israel” dan merapatkan kembali hubungan dengan sekutu negara-negara Arab.
Persoalannya, kenapa Netanyahu dengan mudah menerimanya?
Seolah-olah ada sesuatu yang sedang dirancang di belakang tabir.
Gencatan senjata di atas lebih kepada strategi melambatkan pergerakan untuk mencapai objektif yang lebih utama iaitu menyelamatkan negara haram “Israel”, meluaskan kuasanya serta menghapuskan musuh yang lebih utama.
Umum mengetahui sasaran utama regim penjajah Zionis “Israel” ialah Republik Islam Iran.
Senario penangguhan perang Gaza akan berjaya menyelamatkan negara haram “Israel” dan penumpuan akan diberikan bagi meneruskan agenda peluasan negara haram “Israel” (Israelraya) serta menghapuskan ancaman jangka masa panjang terhadap negara haram”Israel” khususnya Republik Islam Iran dan jaringannya di Timur Tengah.
Regim penjajah Zionis “Israel” tidak mampu menyerang Republik Islam Iran melainkan dengan bantuan Amerika Syarikat.
Perang dua belas (12) hari pada bulan Jun lalu yang dilancarkan oleh regim penjajah Zionis “Israel” ke atas Republik Islam Iran tidak mencapai objektif yang digariskan iaitu menghapuskan kepimpinan Republik Islam Iran seterusnya menjatuhkan kerajaan.
Walaupun gencatan senjata yang bakal berlaku dijangka akan berjaya meredakan buat sementara waktu keperitan rakyat Gaza.
Namun harapannya tidaklah meyakinkan kerana beberapa kali ianya telah dilanggar oleh regim penjajah Zionis “Israel”.
Perang Taufan al-Aqsa yang akan memasuki tahun ketiga benar-benar menjadi igauan ke atas regim penjajah Zionis ”Israel”.
Mitos tentera yang tidak dapat dikalahkan hanya omong kosong.
Topeng kejahatan sebenar Zionis “Israel” tersingkap di mata masyarakat antarabangsa yang tidak dapat disembunyikan lagi.
Kebenaran pasti menang dan kebatilan pasti tumbang.
“Kembali Kepada Penyelesaian Islam“
Yb Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi
AJK PAS Pusat
