Rancangan Donald Trump untuk menamatkan perang di Gaza telah diterima oleh Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.
Hamas pula bersetuju untuk membebaskan baki tebusan tetapi menyatakan bahawa ia ingin mengadakan rundingan lanjut mengenai beberapa perkara.
Berikut ialah teks penuh cadangan tersebut sebagaimana disediakan oleh Rumah Putih:
1. Gaza akan dijadikan zon bebas keganasan (deradikal) yang tidak lagi menjadi ancaman kepada negara-negara jirannya.
2. Gaza akan dibangunkan semula demi manfaat rakyat Gaza yang telah menanggung penderitaan yang terlalu lama.
3. Jika kedua-dua pihak bersetuju dengan cadangan ini, perang akan serta-merta dihentikan. Tentera Israel akan berundur ke garisan yang dipersetujui bagi persediaan pembebasan tebusan. Dalam tempoh ini, semua operasi ketenteraan termasuk serangan udara dan artileri akan digantung, dan garisan pertempuran akan kekal beku sehingga syarat-syarat untuk pengunduran berperingkat penuh dipenuhi.
4. Dalam tempoh 72 jam selepas Israel mengumumkan penerimaan perjanjian ini secara rasmi, semua tebusan sama ada yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia akan dikembalikan.
5. Sebaik sahaja semua tebusan dibebaskan, Israel akan membebaskan 250 banduan yang dikenakan hukuman seumur hidup serta 1,700 rakyat Gaza yang telah ditahan selepas 7 Oktober 2023, termasuk semua wanita dan kanak-kanak yang ditahan dalam konteks itu. Bagi setiap tebusan Israel yang mayatnya dikembalikan, Israel akan membebaskan mayat 15 rakyat Gaza yang telah meninggal dunia.
6. Selepas semua tebusan dikembalikan, ahli-ahli Hamas yang berikrar untuk hidup berdamai dan melucutkan senjata akan diberi pengampunan (amnesti). Ahli-ahli Hamas yang ingin meninggalkan Gaza akan diberi laluan selamat ke negara penerima.
7. Setelah perjanjian ini diterima, bantuan kemanusiaan penuh akan segera disalurkan ke Semenanjung Gaza. Sekurang-kurangnya, jumlah bantuan mesti setara dengan apa yang telah dipersetujui dalam perjanjian 19 Januari 2025 berkenaan bantuan kemanusiaan, termasuk pemulihan infrastruktur (air, elektrik, sistem kumbahan), hospital, dan kedai roti serta kemasukan peralatan yang diperlukan untuk membersihkan runtuhan dan membuka jalan.
8. Kemasukan dan pengedaran bantuan di Gaza akan dijalankan tanpa gangguan daripada mana-mana pihak, melalui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan agensi-agensinya, Bulan Sabit Merah, serta institusi antarabangsa lain yang tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana pihak. Pembukaan lintasan Rafah dua hala akan tertakluk kepada mekanisme yang sama seperti dalam perjanjian 19 Januari 2025.
9. Gaza akan ditadbir di bawah pemerintahan peralihan sementara oleh jawatankuasa teknokrat Palestin apolitikal, yang bertanggungjawab terhadap pengurusan harian perkhidmatan awam dan pentadbiran tempatan untuk rakyat Gaza.
Jawatankuasa ini akan terdiri daripada pakar Palestin yang berkelayakan serta pakar antarabangsa, di bawah penyeliaan badan peralihan antarabangsa baharu bernama “Lembaga Keamanan” (Board of Peace) yang akan diketuai oleh Presiden Donald J. Trump, bersama ahli-ahli dan ketua negara lain yang akan diumumkan, termasuk bekas Perdana Menteri Tony Blair.
Badan ini akan menetapkan rangka kerja dan mengurus pembiayaan bagi pembangunan semula Gaza sehingga Pihak Berkuasa Palestin (PA) menyelesaikan program pembaharuannya seperti yang digariskan dalam pelbagai cadangan termasuk Pelan Damai Trump 2020 dan Cadangan Saudi-Perancis serta mampu mengambil alih pentadbiran Gaza dengan selamat dan berkesan.
Badan ini akan menggunakan piawaian antarabangsa terbaik bagi membentuk sistem tadbir urus moden dan efisien untuk menarik pelaburan.
10. Satu Pelan Pembangunan Ekonomi Trump akan diwujudkan untuk membangunkan semula dan menghidupkan ekonomi Gaza dengan menubuhkan panel pakar yang telah berjaya membangunkan bandar-bandar moden di Timur Tengah.
Pelbagai cadangan pelaburan antarabangsa yang berniat baik akan dipertimbangkan bagi menggabungkan aspek keselamatan dan tadbir urus untuk menarik pelaburan yang mampu mencipta pekerjaan, peluang ekonomi, dan harapan bagi masa depan Gaza.
11. Sebuah Zon Ekonomi Khas (Special Economic Zone) akan diwujudkan dengan kadar tarif istimewa dan akses perdagangan yang akan dirundingkan dengan negara-negara yang terlibat.
12. Tiada sesiapa akan dipaksa meninggalkan Gaza. Mereka yang ingin keluar bebas berbuat demikian dan bebas kembali semula. Pihak pelaksana akan menggalakkan rakyat untuk terus tinggal serta menawarkan peluang untuk membina Gaza yang lebih baik.
13. Hamas dan faksi-faksi lain bersetuju untuk tidak terlibat dalam pentadbiran Gaza sama ada secara langsung, tidak langsung, atau dalam apa-apa bentuk sekalipun. Semua infrastruktur ketenteraan, keganasan dan ofensif termasuk terowong dan kilang senjata akan dimusnahkan dan tidak akan dibina semula.
Satu proses pelucutan senjata Gaza akan dijalankan di bawah penyeliaan pemantau bebas, termasuk pelucutan senjata kekal melalui proses yang dipersetujui, serta disokong oleh program pembelian balik senjata dan pemulihan semula (reintegration) yang dibiayai antarabangsa dan disahkan oleh pemantau tersebut.
“Gaza Baharu” akan komited sepenuhnya untuk membina ekonomi makmur dan hidup berdamai dengan jirannya.
14.Jaminan akan diberikan oleh rakan-rakan serantau untuk memastikan bahawa Hamas dan faksi-faksi lain mematuhi kewajipan mereka serta menjamin bahawa Gaza Baharu tidak menjadi ancaman kepada jirannya atau kepada rakyatnya sendiri.
15. Amerika Syarikat akan bekerjasama dengan rakan-rakan Arab dan antarabangsa bagi menubuhkan Pasukan Penstabilan Antarabangsa Sementara (International Stabilisation Force – ISF) untuk segera dikerahkan ke Gaza.
Pasukan ini akan melatih dan menyokong pasukan polis Palestin yang disaring dengan teliti di Gaza, dengan nasihat daripada Jordan dan Mesir yang berpengalaman dalam bidang ini.
ISF akan menjadi penyelesaian keselamatan dalaman jangka panjang, bekerjasama dengan Israel dan Mesir bagi membantu mengawal sempadan serta memastikan tiada senjata diseludup masuk ke Gaza, di samping mempercepat aliran barang bagi pembangunan semula Gaza.
Satu mekanisme penyelarasan (deconfliction mechanism) akan dipersetujui oleh semua pihak.
16. Israel tidak akan menduduki atau menggabungkan Gaza.
Apabila ISF menstabilkan keadaan, Tentera Pertahanan Israel (IDF) akan berundur berdasarkan piawaian, penanda aras dan garis masa yang dipersetujui bersama antara IDF, ISF, penjamin dan Amerika Syarikat. Tujuannya ialah untuk mewujudkan Gaza yang selamat dan tidak lagi menjadi ancaman kepada Israel, Mesir, atau rakyat mereka.
Secara praktikalnya, IDF akan menyerahkan wilayah Gaza yang mereka duduki kepada ISF secara berperingkat mengikut perjanjian yang dibuat dengan pihak berkuasa peralihan sehingga pengunduran penuh, kecuali bagi kawasan keselamatan pinggir sempadan yang akan dikekalkan sehingga Gaza benar-benar selamat daripada sebarang ancaman keganasan yang berulang.
17. Sekiranya Hamas menangguhkan atau menolak cadangan ini, segala perkara di atas termasuk operasi bantuan berskala besar akan diteruskan di kawasan bebas keganasan yang telah diserahkan daripada IDF kepada ISF.
18. Satu proses dialog antara agama akan diwujudkan berdasarkan nilai toleransi dan hidup bersama secara aman bagi mengubah minda serta naratif rakyat Palestin dan Israel dengan menekankan manfaat yang boleh diperoleh daripada keamanan.
19. Apabila pembangunan semula Gaza berjalan dan program pembaharuan Pihak Berkuasa Palestin dilaksanakan dengan jujur, maka akhirnya akan wujud syarat-syarat untuk mewujudkan jalan yang boleh dipercayai ke arah penentuan nasib sendiri dan kenegaraan Palestin, yang diiktiraf sebagai aspirasi rakyat Palestin.
20. Amerika Syarikat akan menubuhkan saluran dialog antara Israel dan Palestin untuk mencapai persetujuan mengenai hala tuju politik bagi kehidupan bersama yang aman dan makmur.
