Kami telah memperoleh satu salinan perjanjian yang ditandatangani oleh Israel, Hamas dan para perantara di Mesir bagi menamatkan pembunuhan beramai-ramai di Gaza.
Dokumen tersebut, yang turut disertakan tandatangan beberapa perantara termasuk utusan Amerika Syarikat Steve Witkoff, diberi tajuk “Langkah-Langkah Pelaksanaan bagi Cadangan Presiden Trump untuk ‘Pengakhiran Menyeluruh Perang Gaza’.”
Perjanjian itu memperincikan enam peringkat pelaksanaan, bermula dengan pengumuman oleh Presiden AS Donald Trump bahawa perang di Gaza telah berakhir dan bahawa kedua-dua pihak telah bersetuju untuk melaksanakan langkah-langkah yang diperlukan bagi tujuan tersebut.
Langkah kedua menyatakan bahawa perang akan serta-merta berakhir sebaik sahaja kerajaan Israel meluluskan perjanjian tersebut.
Kerajaan Israel telah meluluskan fasa pertama perjanjian itu pada hari Khamis.
Langkah ketiga menyeru kepada permulaan segera kemasukan penuh bantuan kemanusiaan dan bantuan kecemasan ke Semenanjung Gaza, manakala langkah keempat menyatakan bahawa tentera pengganas Israel (IOF) akan berundur ke garisan yang dipersetujui seperti yang tertera pada peta X yang dilampirkan, dan pengunduran ini akan diselesaikan selepas pengumuman Presiden Trump dan dalam tempoh 24 jam selepas kelulusan kerajaan Israel.
IOF tidak akan kembali ke kawasan yang telah ditinggalkan, selagi Hamas melaksanakan perjanjian ini sepenuhnya.
Dalam langkah kelima, yang akan berlaku dalam tempoh 72 jam selepas pengunduran tentera Israel, semua tebusan Israel sama ada hidup atau mati yang ditahan di Gaza akan dibebaskan.
Walaupun menyatakan bahawa semua tebusan yang masih hidup dan yang telah meninggal dunia akan dibebaskan dalam tempoh 72 jam itu, salah satu subklausa dalam langkah kelima menyeru kepada penubuhan satu mekanisme perkongsian maklumat… mengenai mana-mana tebusan yang telah meninggal dunia tetapi tidak dijumpai dalam tempoh 72 jam, atau mengenai mayat rakyat Gaza yang ditahan oleh Israel.
Mekanisme ini hendaklah memastikan semua mayat tebusan digali semula dan diserahkan dengan selamat sepenuhnya.
Hamas hendaklah berusaha sedaya upaya untuk memenuhi komitmen ini secepat mungkin, tambah kenyataan itu.
Subklausa berikutnya menyatakan bahawa apabila Hamas membebaskan semua tebusan, Israel akan membebaskan secara selari sejumlah tahanan Palestin yang sepadan, seperti dalam senarai yang dilampirkan, diikuti dengan satu lagi subklausa yang menyebut bahawa pertukaran tebusan dan tahanan akan dilakukan mengikut mekanisme yang dipersetujui melalui para perantara dan melalui ICRC (Palang Merah Antarabangsa), tanpa sebarang upacara umum atau liputan media.”
Langkah terakhir menyatakan bahawa satu pasukan khas akan ditubuhkan yang terdiri daripada wakil-wakil Amerika Syarikat, Qatar, Mesir, Turki dan negara-negara lain yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak, bagi memantau pelaksanaan perjanjian ini serta berkoordinasi dengan kedua-dua belah pihak.
Langkah-Langkah Pelaksanaan bagi Cadangan Presiden Trump untuk Pengakhiran Menyeluruh Perang Gaza
Langkah-Langkah Pelaksanaan:
1. Presiden Trump mengumumkan penamatan perang di Semenanjung Gaza, dan bahawa kedua-dua pihak telah bersetuju untuk melaksanakan langkah-langkah yang diperlukan bagi mencapai matlamat tersebut.
2. Perang akan serta-merta berakhir sebaik sahaja kerajaan Israel meluluskan perjanjian ini. Semua operasi ketenteraan, termasuk serangan udara, artileri dan operasi pengeboman akan digantung. Sepanjang tempoh 72 jam, pemantauan udara akan digantung di kawasan yang telah ditinggalkan oleh pasukan IOF.
3. Permulaan segera kemasukan penuh bantuan kemanusiaan dan bantuan kecemasan seperti yang ditentukan dalam Cadangan tersebut, dan sekurang-kurangnya selaras dengan perjanjian 19 Januari 2025 mengenai bantuan kemanusiaan. Langkah pelaksanaan bantuan kemanusiaan dan kecemasan dilampirkan bersama.
4. Pasukan IOF akan berundur ke garisan yang dipersetujui seperti pada peta X yang dilampirkan, dan pengunduran ini akan diselesaikan selepas pengumuman Presiden Trump dan dalam tempoh 24 jam selepas kelulusan kerajaan Israel. IOF tidak akan kembali ke kawasan yang telah ditinggalkan selagi Hamas melaksanakan perjanjian ini sepenuhnya.
5. Dalam tempoh 72 jam selepas pengunduran pasukan Israel, semua tebusan Israel, hidup dan mati yang ditahan di Gaza akan dibebaskan (senarai dilampirkan).
a. Sebaik sahaja IOF menyelesaikan pengunduran, Hamas akan mula menyiasat status tebusan dan mengumpulkan semua maklumat berkaitan mereka. Hamas akan memberikan maklum balas hasil penemuannya melalui mekanisme perkongsian maklumat di bawah perenggan 5.e di bawah. Israel akan memberikan maklumat mengenai tahanan dan banduan Palestin dari Gaza yang kini ditahan di Israel.
b. Dalam tempoh 72 jam itu, Hamas akan membebaskan semua tebusan yang masih hidup, termasuk mereka yang ditahan oleh faksi Palestin di Gaza.
c. Dalam tempoh 72 jam itu juga, Hamas akan menyerahkan mayat semua tebusan yang telah meninggal dunia dalam simpanannya dan dalam simpanan faksi Palestin lain di Gaza.
d. Hamas akan berkongsi dalam tempoh 72 jam semua maklumat yang diperolehnya mengenai mana-mana tebusan yang masih tidak ditemui melalui mekanisme perkongsian maklumat di perenggan (e) di bawah. Israel pula akan memberikan maklumat mengenai mayat rakyat Gaza yang masih ditahan di Israel.
e. Penubuhan mekanisme perkongsian maklumat antara kedua-dua pihak melalui para perantara dan ICRC bagi bertukar maklumat dan risikan mengenai mana-mana tebusan yang telah meninggal dunia tetapi belum ditemui dalam tempoh 72 jam, atau mengenai mayat rakyat Gaza yang masih ditahan oleh Israel. Mekanisme ini hendaklah memastikan semua mayat tebusan digali semula dengan selamat dan diserahkan sepenuhnya. Hamas hendaklah berusaha sedaya upaya untuk memenuhi komitmen ini secepat mungkin.
f. Apabila Hamas membebaskan semua tebusan, Israel akan membebaskan secara serentak sejumlah tahanan Palestin yang sepadan, seperti dalam senarai yang dilampirkan.
g. Pertukaran tebusan dan tahanan akan dilakukan mengikut mekanisme yang dipersetujui melalui para perantara dan ICRC, tanpa sebarang upacara umum atau liputan media.
6. Satu pasukan khas (task force) akan dibentuk yang terdiri daripada wakil Amerika Syarikat, Qatar, Mesir, Turki dan negara-negara lain yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak, bagi memantau pelaksanaan perjanjian ini dan berkoordinasi dengan kedua-dua belah pihak.
