Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri, Pengerusi Pakatan Harapan dan pemimpin Kerajaan Perpaduan telah menyalahkan keadaan global, pentadbiran lama, krisis dunia dan apa sahaja yang terlintas, kecuali dirinya sendiri, atas kemerosotan ekonomi, ketidakstabilan dasar dan kehilangan keyakinan rakyat terhadap kerajaan.
Dia menyalahkan kononnya kerosakan 20 tahun, sabotaj politik, campur tangan luar, malah rakyat sendiri kerana tidak memahami niat baik reformasi.
Tetapi, seperti biasanya, apa jua yang berlaku bukanlah salah dia. Salah orang lain.
Tetapi soalnya bukan salah siapa.
Persoalannya: kenapa keadaan menjadi begini di bawah pemerintahannya?
Rakyat Malaysia biasanya cukup bertolak ansur.
Mereka jarang memberontak. Mereka sabar.
Tetapi apabila mereka hilang keyakinan terhadap pemimpin, mereka tidak akan tunggu terlalu lama.
Pada awal pentadbirannya, ramai bersabar.
Mereka mengundi kerajaan ini kerana percaya ia akan membawa perubahan positif.
Tetapi hari demi hari, apa yang mereka lihat bukanlah pembaharuan, tetapi kekeliruan.
Malaysia selama bertahun-tahun dipandu dengan dasar yang jelas, DEB, Wawasan 2020, Industrial Master Plan, Look East Policy, semuanya mempunyai hala tuju yang jitu.
Tetapi kini, dasar berubah seperti cuaca.
Hari ini madani. Esok mesra pelabur.
Lusa reformasi fiskal. Tulat negara rahmah.
Semua ada nama, tetapi tiada isi.
Dasar pendidikan bertukar setiap tahun.
Guru keliru, murid terkapai-kapai, universiti hilang arah.
Bagaimana masa depan negara mahu cerah jika masa depan pelajar pun tidak menentu?
Pelabur asing bukan bodoh.
Mereka melihat kerajaan ini tidak mempunyai kepastian.
Mereka nampak apa yang rakyat nampak, kerajaan yang bercakap besar, tetapi tidak tahu apa yang hendak dilakukan.
Maka mereka kekalkan wang mereka di tempat lain.
Dan ringgit pun jatuh.
Dalam kabinetnya pula, menteri-menteri dilantik bukan kerana kemampuan, tetapi kerana politik.
Yang pandai dipinggirkan. Yang setia diangkat.
Maka kabinet menjadi panggung, bukan pusat pentadbiran.
Menteri bercanggah kenyataan setiap minggu.
Seorang kata itu, seorang lagi kata ini.
Bila rakyat keliru, kerajaan kata media salah tafsir.
Bila pelabur keliru, kerajaan kata fitnah pembangkang.
Keadaan ini bukan berlaku tanpa sebab.
Ia berlaku kerana Perdana Menteri sendiri tidak mempunyai perancangan jangka panjang.
Negara hanya bergerak dari satu sidang media ke sidang media lain.
Rakyat melihat kemerosotan ekonomi bukan sebagai takdir dunia, tetapi sebagai kegagalan memimpin.
Sebab negara lain juga berdepan cabaran global.
Tetapi mereka tidak seteruk kita.
Institusi kerajaan semakin lemah.
Bukan kerana pegawai tidak kompeten, tetapi kerana kerajaan sendiri tidak memberi arah.
Bila tiada hala tuju, institusi pun menunggu.
Tetapi arahan itu tidak pernah datang.
Rakyat dijanjikan reformasi.
Tetapi yang berubah hanya poster, slogan dan pentas ceramah.
Struktur kekal lembab, ekonomi kekal perlahan dan rakyat kekal bergelut.
Ketua kerajaan meluangkan masa dengan lawatan luar negara, ucapan panjang dan retorik politik, sedangkan masalah sebenar di dalam negara dibiarkan membusuk.
Segala-galanya menjadi jawatan kuasa khas, kajian semula, penilaian semula, fasa satu, fasa dua, fasa tiga, seolah-olah setiap masalah boleh diselesaikan hanya dengan kertas dan mesyuarat.
Rakyat Malaysia semakin hilang keyakinan.
Tidak lagi percaya pada janji.
Tidak lagi percaya pada kata-kata yang diulang sejak 1998.
Mereka mahu hasil, bukan cerita.
Tetapi kerajaan ini tidak memberi hasil.
Yang diberi hanyalah alasan, alasan dan alasan.
Setiap kelemahan dituduh sebagai sisa lama.
Setiap kritikan dituduh sebagai serangan politik.
Semakin lama kerajaan ini bertahan tanpa perancangan, semakin banyak kerosakan berlaku, ekonomi jatuh, ringgit merudum, kuasa beli hilang, moral rakyat merosot.
Rakyat yang dulu bersemangat kini letih.
Anak muda hilang arah.
Negara yang dahulu dihormati kini dipandang sebagai negara yang keliru dan tidak konsisten.
Pemimpin yang bercakap tentang integriti tetapi dikelilingi tokoh bermasalah tidak mungkin menjadi pemimpin berkesan.
Rakyat lihat semuanya. Mereka bukan buta.
Kabinet pula semakin lemah.
Menteri-menteri lebih sibuk mempertahankan kedudukan daripada mempertahankan negara.
Bila Perdana Menteri lemah, kabinet jadi lebih lemah.
Bila kabinet lemah, negara pun runtuh.
Malaysia kini berada pada titik genting.
Negara hanya boleh diselamatkan jika dipimpin oleh seseorang yang tahu ke mana dia mahu membawa Malaysia.
Bukan seseorang yang hidup mengikut arus dan isu semasa.
Kita dahulu dipimpin oleh mereka yang merancang untuk 30 tahun ke hadapan.
Hari ini kita dipimpin oleh mereka yang tidak dapat merancang untuk 30 hari ke hadapan.
Masalah Malaysia hari ini bukan kekurangan bakat.
Bukan kekurangan peluang.
Bukan kekurangan sumber.
Masalah Malaysia ialah kekurangan pemimpin yang benar-benar tahu apa yang dia sedang lakukan.
Jika keadaan ini berterusan, Malaysia akan terus merosot, bukan secara tiba-tiba, tetapi perlahan-lahan, hari demi hari, sehingga negara ini tidak lagi dikenali sebagai negara yang pernah mempunyai potensi besar.
Negara yang hilang hala tuju akan hilang masa depan.
Dan kerajaan yang tidak tahu merancang akan memastikan hari esok lebih buruk daripada hari ini.
Malaysia layak dipimpin oleh mereka yang ada visi, ada perancangan, ada kesungguhan, bukan mereka yang hanya pandai berpidato, tetapi kosong ketika memimpin.
NAZRIN RAMLAN
