Episod terbaru melibatkan seorang pegawai kanan kepada pemimpin tertinggi negara membuktikan satu perkara yang rakyat sudah lama fikir.
Rasuah bukan lagi kejutan.
Ia hanya bab baharu dalam cerita lama.
Di media sosial, orang ramai mempersendakan butiran kecil yang didakwa terlibat seperti kerusi urut, mesin basuh dan renovasi rumah.
Nilainya kecil tetapi mesejnya keras.
Ia menunjukkan betapa rendahnya harga sebuah kuasa.
Rakyat marah kerana perbezaan hidup terlalu jelas.
Mereka membayar bil, sewa dan pinjaman dengan titik peluh.
Pada masa yang sama, ada pegawai politik yang didakwa meminta barang rumah sebagai syarat membantu urusan tertentu.
Jurang moral itu menimbulkan rasa meluat.
Aktivis menuntut siasatan bebas.
Mereka bimbang episod ini akan berakhir seperti kebanyakan kes lain.
Bising, senyap, hilang tanpa pembetulan sistem.
Namun episod ini hanya permukaan.
Di bawahnya ada masalah lebih besar.
Dalam politik Malaysia, rasuah jarang bermula dengan wang besar.
Ia bermula dengan akses dan budi kecil yang dianggap tidak memudaratkan.
Satu panggilan. Satu surat sokongan. Satu janji untuk “tolong urus”.
Lama-kelamaan sempadan moral bergerak.
Permintaan mula melibatkan barangan nyata.
Kemudian lesen. Kemudian tender. Rasuah tidak muncul dalam sehari.
Ia memakan masa untuk menjinakkan hati.
Kos politik yang tinggi mempercepatkan proses itu.
Kempen memerlukan dana besar.
Parti memerlukan sumbangan berterusan.
Penyumbang pula tidak pernah memberi tanpa expectasi balasan.
Dalam tekanan ini, sesetengah individu melihat jawatan sebagai peluang mencipta modal politik.
Bukan modal untuk rakyat.
Budaya diam mula terbentuk.
Rakan sekerja melihat tetapi tidak menegur.
Pihak atasan tahu tetapi tidak bertindak.
Rasuah akhirnya menjadi norma.
Tetapi rasuah tidak hidup tanpa pembeli.
Inilah dimensi yang sering diabaikan.
Ramai pemberi rasuah bukan sekadar tamak.
Mereka berdepan sistem yang menekan.
Dalam sektor berlesen tinggi seperti perlombongan, pembinaan dan logging, satu lesen boleh menentukan hidup atau mati syarikat.
Prosedur rumit. Tafsiran longgar. Pegawai tertentu menjadi pintu tunggal.
Dalam keadaan begini, pemberi melihat rasuah sebagai premium insurans.
Mereka membayar untuk mengurangkan risiko permohonan tergantung atau ditolak.
Duit kopi pula menjadi norma.
Ramai membayar bukan untuk dapat sesuatu yang mereka tidak layak.
Mereka membayar untuk mendapat apa yang sepatutnya mereka dapat tanpa bayaran.
Undang-undang melarang bayaran fasilitasi.
Namun realitinya, ramai melihatnya sebagai pelincir sistem.
Tanpa bayaran itu, fail lambat bergerak.
Kadang-kadang sengaja diperam.
Pemberi merasionalisasikan tindakan mereka.
“Aku bayar untuk cepat, bukan untuk curi.”
Pemain besar pula membayar untuk akses dan perlindungan politik.
Mereka mahu hubungan yang boleh dihubungi ketika audit, cukai atau isu alam sekitar timbul.
Di sinilah rasuah menjadi lebih sofistikated.
Ia disalurkan melalui donasi politik, yayasan, program rasmi atau CSR.
Semuanya kelihatan sah. Namun quid pro quo tetap wujud walaupun tidak pernah ditulis.
Ada juga pemberi yang dipaksa.
Mereka diberi isyarat halus bahawa lesen atau kontrak mungkin tidak diperbaharui jika mereka tidak faham-faham.
Ini mirip duit perlindungan.
Mereka membayar bukan untuk manfaat.
Mereka membayar untuk mengelak mudarat.
Inilah no choice equilibrium.
Jika mereka tidak bayar, pesaing lain akan bayar.
Jika pesaing bayar, mereka kalah.
Di sinilah rasuah menjadi sistemik.
Ia bukan lagi tentang individu jahat.
Ia tentang struktur yang menolak kedua-dua pihak masuk ke dalam permainan yang salah.
Selagi dunia perniagaan menganggap tak bayar, tak jalan, selagi itu rasuah kekal walaupun kerajaan berubah.
Rasuah bertapak apabila kuasa menjadi barang jualan.
Akses kepada pemimpin.
Maklumat awal projek.
Surat sokongan. Kelulusan senyap.
Semua menjadi produk yang ada harga.
Negara akhirnya menjadi pasar gelap yang beroperasi dalam pejabat berhawa dingin.
Keputusan tidak lagi berdasarkan merit.
Ia berdasarkan siapa sanggup membayar lebih.
Rakyat terpinggir dalam pertandingan yang mereka tidak mampu masuk.
Namun pasar gelap itu tidak berakhir di bangunan kerajaan.
Duit yang dikutip daripada lesen dan projek gelap turun semula ke kampung dan flat PPR sebagai “bantuan musim pilihan raya”.
Hamper. Kupon minyak. Bantuan tunai yang tiba-tiba muncul sebulan sebelum mengundi.
Pengundi miskin percaya mereka menerima rezeki.
Hakikatnya, mereka membeli semula wang mereka sendiri dengan harga yang mahal.
Mereka dapat RM50 hari ini tetapi membayar semula dalam bentuk hospital yang tidak siap, sekolah rosak dan inflasi yang memakan pendapatan.
Seperti mana kuasa pejabat jatuh harga kepada peralatan rumah, undi rakyat juga jatuh harga kepada barang yang habis dalam beberapa hari.
Untuk pengundi miskin, pilihan raya kelihatan seperti pasar malam kuasa.
Politikus menjadi penjual yang menawarkan bantuan segera.
Pengundi datang dengan poket kosong dan memilih penyelesaian jangka pendek.
Ia bukan kerana mereka tidak bermoral.
Ia kerana mereka hidup dalam keadaan yang tidak memberi ruang untuk sabar.
Inilah kitaran yang memerangkap negara.
Rasuah melahirkan salah urus.
Salah urus melahirkan kemiskinan.
Kemiskinan melahirkan politik wang.
Politik wang melahirkan pemimpin yang perlu lebih banyak rasuah untuk kekal berkuasa.
Kitaran itu berputar dari satu penggal ke satu penggal.
Selagi rakyat miskin hidup dalam keadaan cukup-cukup makan, rasuah politik akan sentiasa ada pembeli.
Ini bukan kegagalan moral rakyat.
Ini kegagalan struktur ekonomi dan kebajikan.
Apabila parti dibiayai dengan duit kotor dan kempen dijana oleh hadiah segera, pilihan raya tidak lagi menjadi medan menilai dasar.
Ia menjadi hari jualan murah kuasa.
Demokrasi akhirnya tidak runtuh kerana rakyat tidak peduli.
Ia runtuh kerana keadaan memaksa mereka menerima tawaran yang hanya menyelesaikan minggu ini tetapi merosakkan masa depan negara.
Malaysia hanya akan pulih apabila kita melihat rasuah bukan sebagai skandal individu tetapi sebagai masalah struktur.
Selagi yang miskin terpaksa memilih antara prinsip dan makan malam, selagi itu undi dan kuasa akan terus jatuh harga.
Timmy Say
