Istilah Madani hari ini diulang-ulang dalam wacana politik seolah-olah ia suatu pencapaian besar, progresif dan kononnya selari dengan cita-cita Rasulullah ﷺ.
Namun persoalan asas yang wajib ditanya oleh umat Islam ialah: Madani yang bagaimana?
Adakah Madani yang berakar daripada wahyu, kenabian dan Piagam Madinah atau Madani yang telah dicabut daripada akar Islamnya lalu dijadikan slogan pentadbiran sekular?
Pada awalnya, penulis agak keberatan untuk menegur apabila pentadbiran negara hari ini menamakan dirinya sebagai “Kerajaan Madani”.
Namun setelah melihat beberapa perkembangan mutakhir, termasuk lantikan dan hala tuju kabinet yang secara terbuka membawa kerangka pemikiran sekular dan pluralis, maka penjelasan ini dirasakan perlu agar umat tidak terkeliru antara retorik politik dengan Madani Nabawiyyah yang sebenar.
Teguran ini bukan bertujuan menunggang agama, apatah lagi didorong oleh kepentingan politik.
Ia adalah tanggungjawab ilmiah dan amanah aqidah demi menjaga kejelasan makna istilah Islam yang semakin dimanipulasi.
Memahami ‘Madani’ Menurut Rasulullah ﷺ: Negara Berteras Wahyu
Negara Madinah yang dibina oleh Rasulullah ﷺ bukan negara neutral aqidah, bukan juga negara pluralisme agama atau liberalisme sosial seperti yang sering difahami hari ini.
Ciri-ciri asas Madani Nabawi sangat jelas, antaranya:
1. Kedaulatan Allah SWT sebagai sumber hukum tertinggi
2. Rasulullah ﷺ sebagai Nabi dan Ketua Negara
3. Islam sebagai rujukan nilai, undang-undang dan keadilan
4. Non-Muslim hidup di bawah perjanjian (‘ahd/dzimmah), bukan sebagai penentu falsafah negara
5. Toleransi diraikan, tetapi kebenaran tidak dikompromi
Inilah hakikat Madani Nabawi, sebuah masyarakat bertamadun kerana Islam, bukan masyarakat Islam yang tunduk kepada fahaman luar Islam.
Apabila keseluruhan Piagam Madinah diteliti secara jujur, jelas bahawa Madani Rasulullah ﷺ berasaskan Islam sepenuhnya.
Namun hari ini, Piagam Madinah sering dipetik secara terpilih untuk mengabsahkan pluralisme agama dan konsep ‘semua agama sama’.
Ini bukan pendekatan ilmiah, tetapi satu bentuk pemotongan sejarah yang tidak jujur, atau seperti disebut oleh al-marhum murabbi Ustaz Uthman El-Muhammady: ‘intellectual barbarism’.
Piagam Madinah: Kepimpinan Aqidah Tidak Pernah Diserahkan
Hakikat sebenar Piagam Madinah ialah meletakkan Rasulullah ﷺ sebagai rujukan tertinggi, bukan tunduk kepada tekanan mana-mana kelompok atau ideologi luar Islam.
Piagam tersebut:
- Menyebut umat Islam sebagai ‘ummah wāḥidah’,
- Memberi hak kepada Yahudi dan bukan Islam,
- Tanpa menyerahkan kepimpinan aqidah dan hukum,
- Dan menjadikan Allah dan Rasul sebagai pemutus akhir sebarang pertikaian.
Ini selari dengan pandangan Imam al-Māwardī dalam al-Aḥkām al-Sulṭāniyyah bahawa tujuan kepimpinan negara Islam ialah:
حِرَاسَةُ الدِّينِ وَسِيَاسَةُ الدُّنْيَا بِهِ
“Memelihara agama dan mengurus dunia dengannya.”
Penulis tidak menolak pandangan Ibn Khaldūn dalam al-Muqaddimah, malah Ibn Khaldūn sendiri menegaskan bahawa kekuasaan yang tidak berpaksikan agama akan menjadi zalim, rapuh dan tidak berumur panjang.
Apabila ‘Madani’ Dipisahkan Daripada Aqidah
Apabila istilah Madani dipisahkan daripada aqidah dan syariat, ia berubah menjadi slogan politik, jenama kempen dan retorik moral kosong.
Hari ini, Madani disamakan dengan:
- good governance versi Barat (seperti disebut oleh Datuk Luqman Sheriff),
- human rights tanpa batasan wahyu (sebagaimana dinukilkan oleh Prof. Dato’ Dr. Shamrahayu),
- dan lebih membimbangkan, pluralisme agama, yang telah lama ditegur oleh para ulama dan sarjana Islam.
Amaran ini bukan baharu. NGO Muafakat sendiri pernah menerbitkan buku Pluralisme Agama: Satu Gerakan Iblis Memurtadkan Ummah karya Ismail Mina Ahmad sebagai respons kepada ancaman ini.
Di Mana Penyimpangannya?
Masalah utama bukan kepelbagaian kaum atau agama. Masalah sebenar ialah apabila:
- Islam tidak lagi dijadikan neraca,
- Syariat dianggap penghalang kemajuan,
- Kebenaran agama disamakan,
- Dan istilah Madani dijadikan perisai kepada agenda sekular.
Menyamakan struktur sebegini dengan Kerajaan Madinah Rasulullah ﷺ adalah pengeliruan besar terhadap umat.
Penutup: Menuntut Kejujuran Ilmiah
Teguran ini lahir daripada kasih kepada umat, bukan kebencian.
Kita tidak menyeru kebencian. Kita menuntut kejujuran ilmiah.
Jika mahu membina pentadbiran berteraskan kecekapan, katakan ia pentadbiran cekap.
Jika mahu menegakkan keadilan sosial, katakan ia dasar kebajikan.
Tetapi jangan mencabut istilah Madani daripada Islam, lalu menggunakannya untuk menghalalkan sistem yang bercanggah dengan roh Madinah Nabawiyyah.
Madani bukan milik parti, bukan milik slogan dan bukan milik kempen politik.
Madani ialah warisan Rasulullah ﷺ, dibina dengan wahyu, dipelihara oleh ulama dan wajib dipertahankan maknanya oleh umat.
Menegur penyalahgunaan istilah Madani bukan menolak kemajuan, tetapi mempertahankan kebenaran sejarah dan maruah Islam.
Wallāhu a‘lam.
Lebai Kampung
