Sebelum saya meneruskan tulisan ini, saya ingin menyatakan bahawa tulisan ini tidak bermaksud untuk mengkritik tindakan Adun-Adun PAS Perlis.
Saya mempunyai ramai kenalan PAS Perlis semasa saya berkerja dan berkhidmat dengan PAS di sana selama lima tahun.
Apa yang mereka putuskan, saya anggap sebagai masalah dalaman PAS Perlis dan mereka sudah memikirkan semasak-masaknya sebelum mereka bertindak.
Tujuan penulisan ini adalah bagi membuka minda supaya melihat hikmah disebalik krisis ini dan supaya para penyokong PAS menyaksikan sendiri satu gerakan bijak dari Presiden PAS dalam menyelesaikan masalah ini, PAS mendapat tujuh manafaat atau jawapan dalam isu besar ini.
Krisis bermula dengan rasa tidak puashati oleh beberapa Adun PAS Perlis sendiri terhadap MB, YAB Mohd Shukri Ramli.
Atas beberapa alasan, dikatakan YAB MB melemahkan PAS Perlis dan tindakan menghantar surat akuan bersumpah kepada istana bersama Adun Bersatu, difikirkan mereka sebagai jalan terakhir bagi merungkai kemelut ini.
Dan, hasil daripada tindakan Adun-Adun ini maka Presiden PAS secara rasminya mengumumkan bahawa ketiga-tiga Adun ini telah terhenti keahlian serta merta.
Speaker, YB Rus’sele Eizan, kemudiannya mengumumkan kekosongan kerusi luar jangka bagi ketiga-tiga kawasan itu dan meminta supaya SPR mengadakan PRK kerana isu majoriti DUN.
Walaupun jika tiada PRK dan kerusi ketiga-tiga itu kosong, kerana bilangan Adun PAS yang tinggal ialah enam orang, dan bilangan Adun Bersatu dicampur PH juga ada enam.
Ada 15 kerusi dalam DUN Perlis dan Speaker ada kuasa mengundi.
Jadi ada tujuh undi di pihak PAS. Kerajaan masih ada majoriti.
Hanya soalannya adakah boleh jumlah majoriti yang kurang dari lapan dibenarkan?
Apakah manafaat kepada PAS?
Apakah manafaat yang tersembunyi yang diperolehi PAS dengan tindakan Presiden PAS dalam krisis ini?
Umum mengetahui dalam politik, waktu terpenting ialah pilihanraya, sama ada umum mahupun kecil.
Dan dalam pilihanraya, isu-isu adalah penentu kemenangan.
Jika ada isu besar dan lama boleh dimainkan, pihak yang menguasai isu itu akan menang.
PRK dilihat sebagai kertas litmus bagi menguji kekuatan parti, sebelum PRU sebenar.
Lihat DS Anwar yang banyak kali, tanpa malu menghabiskan jutaan ringgit duit rakyat kerana pentingkan diri, sentiasa mengadakan PRK secara paksa dengan tujuan untuk menduduki kerusi itu dan juga menguji jentera.
1-Dalam isu Perlis, PAS mendapat manafaat PRK secara percuma, apabila Adun-Adun itu tergugur dengan sendiri menurut perlembagaan.
Ini akan memberikan peluang kepada PAS untuk menguji jentera mereka dan isu-isu dalam PRK yang jika PAS masih menang, bermakna rakyat Perlis masih percayakan PAS.
Dan PRU nanti, insyaallah PN akan kekal.
Tidak perlu memaksa Adun mengosongkan kerusi macama PKR lakukan.
2- Dalam PRK nanti, PAS boleh memilih untuk meletakkan calon-calon baharu yang berwibawa yang jika benar YAB MB perlu diganti atas faktor apa sekalipun.
Maka calon-calon baharu ini akan dinaikkan.
Pastinya calon-calon yang boleh dijadikan MB.
3- Keputusan menghentikan serta merta Adun-Adun ini menunjukkan kewibawaan PAS dalam mengotakan apa yang dikata.
PAS tidak takut untuk mengambil tindakan kerana prinsip perjuangan mesti dijunjung, konsisten semenjak dahulu.
Tidak seperti parti lain yang banyak berdolak dalih.
Maka nilai PAS menjadi tinggi di mata rakyat, PAS walk the talk.
4- Bersatu Perlis akan dilihat sebagai gelojoh, tidak tahu menghormati lawan, curang, tiada maruah, tidak diyakini dan tidak bijak berpolitik kerana walaupun sedikit, tetapi tetap menghantar nama untuk jawatan MB kepada pihak istana, kemudiannya mengharapkan pula tiga Adun PAS menyokong mereka.
Sekarang, sokongan mereka telah hilang dan rakyat menunggu tindakan parti ke atas mereka.
Yang minta jawatan MB, mereka, bukan Adun PAS.
5- Tuduhan bahawa Presiden PAS menaikkkan YAB Cikgu Shukri sebagai MB Perlis kerana besan beliau, amat jauh meleset kerana perkahwinan kedua-dua anak mereka berlangsung pada 10 Disember 2022 dan YAB Cikgu Shukri mengangkat sumpah MB Perlis pada 20 November 2022, diwaktu masih belum berbesan, hampir sebulan lebih awal.
6- Jika Presiden PAS benar-benar mahu menggunakan kuasa untuk menyelamatkan besan beliau, sepatutnya selepas Muktamar PAS Pusat baru-baru ini, YAB Cikgu Shukri dilantik menjadi PJ Perlis, bukannya. Ustaz Ahmad Ali kerana kuasa melantik PJ negeri-negeri dalam kuasa Presiden PAS.
7- Keputusan YAB MB Perlis untuk meletakkan jawatan semestinya sudah dimaklumkan kepada Presiden PAS.
Jika benar Presiden PAS mahu mengekalkan kedudukan besan beliau sebagai MB, sepatutnya perletakan jawatan itu ditolak Presiden dari awal.
Pimpinan PAS tidak tamak, langsung tidak takut lepaskan jawatan.
Maka terbukti Presiden PAS dengan begitu bijak mengambil peluang yang terbuka yang dibuat oleh mereka yang terpalit dengan drama ini.
Tujuh ekor burung ditewaskan dengan menggunakan satu batu sahaja, dalam isu ini.
Presiden kami tidak nyanyuk, tetap hebat, berfikiran jauh ke depan dan bijak mengambil peluang.
Yang nyanyuk, kamu pembenci PAS.
Mohd Nasir Abdullah
