Negeri Terengganu melakar satu lagi pencapaian membanggakan apabila berjaya menarik seramai 8.5 juta pengunjung sepanjang tahun 2025, sekali gus menyumbang kira-kira RM6.7 bilion kepada ekonomi negeri.
Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, menyifatkan kejayaan tersebut bukan sekadar pencapaian angka, sebaliknya menjadi cerminan keyakinan, sokongan dan kecintaan pelancong terhadap Terengganu sebagai destinasi pelancongan pilihan, sama ada dalam kalangan pelancong domestik mahupun antarabangsa.
“Alhamdulillah, kejayaan ini adalah hasil usaha kolektif semua pihak. Ia membuktikan Terengganu terus diyakini sebagai destinasi yang selamat, menarik dan berdaya saing,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut data pelancongan negeri, daripada jumlah keseluruhan pengunjung tersebut, majoriti terdiri daripada pelancong domestik, manakala selebihnya adalah pelancong antarabangsa yang semakin menunjukkan peningkatan dari tahun ke tahun.
Trend ini memperlihatkan pemulihan dan pertumbuhan sektor pelancongan yang konsisten pasca pandemik.
Dr. Ahmad Samsuri turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh penggiat industri pelancongan negeri, termasuk pengusaha hotel dan inap desa, peniaga kecil, pengusaha produk pelancongan, penganjur acara, agensi kerajaan dan swasta, pihak berkuasa tempatan serta seluruh rakyat Terengganu.
“Sumbangan, komitmen dan kerjasama semua pihak menjadi pemangkin utama kepada pertumbuhan ekonomi negeri. Kejayaan ini adalah kejayaan bersama,” jelas beliau.
Selain menyumbang kepada peningkatan hasil negeri, sektor pelancongan turut memainkan peranan penting dalam mewujudkan peluang pekerjaan, menggerakkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), serta merancakkan ekonomi komuniti setempat, khususnya di kawasan luar bandar dan pulau-pulau peranginan.
Melangkah ke tahun 2026, khususnya bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026), kerajaan negeri menyasarkan Terengganu terus melakar kejayaan yang lebih besar melalui penganjuran acara berkualiti, pembangunan produk pelancongan mampan, serta penawaran pengalaman unik berteraskan budaya, alam semula jadi dan nilai murni Islam yang menjadi identiti negeri.
Kerajaan negeri juga komited memastikan pembangunan pelancongan dilaksanakan secara seimbang, beretika dan tidak mengorbankan kelestarian alam sekitar serta kesejahteraan masyarakat setempat.
“Hasrat kita ialah menjadikan Terengganu sebuah destinasi yang bukan sahaja menarik, tetapi juga sejahtera, berdaya saing dan memberi manfaat berpanjangan kepada rakyat serta negara,” tambah beliau.
Pencapaian tahun 2025 ini sekali gus meletakkan Terengganu sebagai antara negeri peneraju pelancongan di Pantai Timur, selari dengan aspirasi membangunkan ekonomi negeri berteraskan nilai, kelestarian dan kesejahteraan ummah.
