Saya masih mencari-cari kepada petunjuk yang boleh dikaitkan kepada sebab berlakunya krisis di Perlis.
Ada beberapa perkara yang saya jumpai yang membuatkan saya berfikir kembali, adakah benar Adun-Adun ini begitu berani bertindak melanggar baiah?
Salah seorang daripada mereka, Fakhrul Anuar Ismail, telah saya mengenali semenjak 2004 lagi.
Dengan peribadi yang baik, tidak ada masalah besar dengan rakan-rakan, membuatkan saya terfikir-fikir kenapa ia terjadi.
Maka keluarlah satu tulisan yang agak panjang dari Dato’ Mufti Perlis mengenai politik dan istana di Perlis.
Beberapa kali dalam tulisan beliau menafikan yang tulisan beliau itu membodek istana.
Lalu menarilah jarinya menaip dengan mengatakan bahawa Raja Muda Perlis lebih mengenali denai dan alur di kampung-kampung daripada wakil rakyat kerana sering menjengah rakyat untuk dibantu.
Alhamdulillah Raja Muda Perlis hebat, boleh hafal denai dan alur di 15 Dun.
Raja Muda juga dikatakan sentiasa penuh dengan program sehingga bagaikan tidak reti berehat.
Begitulah gambaran yang beliau berikan.
Dan jika rakyat memerlukan bantuan, maka MAIPs dahulu diingat daripada YB-YB.
Elaun Raja Muda kurang berbanding elaun Exco tetapi kerja Raja Muda berkali ganda melebihi kerja wakil rakyat.
Setiap minggu kayuhan beliau membabitkan semua ketua-ketua jabatan.
Kata Dato’ Mufti lagi dalam kenyataan yang beliau jelaskan tiada niat mengampu ini, institusi istana Perlis sangat berpegang teguh dengan agama Islam.
Dan yang paling utama, ialah istana Perlis tidak bermewah-mewah hidup dengan sederhana.
Maka begitulah antara perkara yang beliau luahkan dalam tulisan beliau.
Saya rasa kagum dengan pengakuan beliau yang berada sangat dekat dengan istana itu.
Pastinya beliau tidak akan menipu.
Akan tetapi, tulisannya tidak dapat lari dari kekhilafan.
Beliau ada menyebut jika berlaku pertukaran MB di negeri lain, “bayangkan kegawatan yang bakal berlaku” untuk bandingan ketenangan di Perlis.
Suka saya nyatakan bahawa, pernah berlaku di Terengganu rampasan kuasa kerajaan pada tahun 1961 dan pertukaran MB pada tahun 2014.
Di Selangor juga terjadi Langkah Kajang yang menjatuhkan TS Khalid Ibrahim.
Di Melaka dan Johor juga berlaku pertukaran MB.
Di Sabah, jangan cakaplah, lompat sana, lompat sini.
Dan pada waktu itu, tidak terjadi kegawatan apa-apapun.
Ya, ada berlaku sedikit kegawatan ketika di Terengganu 2008 dan di Perak 2009 tetapi melibatkan ahli mereka sahaja.
Yang lain hanya jadi penonton.
Ia cuma gelagat nakal sesetengah mereka sahaja dan terhenti selepas majlis angkat sumpah selesai.
Yang jadi betul-betul gawat ialah bila DS Anwar dipecat dari jawatan TPM pada 1998.
Bermakna, Malaysia ini semua negerinya aman dan tenang Dato’, bukan Perlis sahaja, insyaAllah.
Apapun kritikan Dato’ Mufti terhadap YB-YB Perlis, itu adalah atas pemerhatian beliau.
Hanya sahaja, perlembagaan kita ialah istana berada di luar politik.
Jadi pada pandangan saya, membandingkan keduanya amatlah tidak kena gelanggangnya.
Istana, jika ada rakyat datang dan pagarnya tertutup, semua orang faham, bahawa ia tidak boleh diganggu.
Tetapi YB, jika menutup pintu rumahnya sewaktu rakyat datang, maka siaplah nanti ditularkan.
Belum lagi YB kena kata depan-depan.
Istana juga boleh dikata hampir kekal jawatannya, tetapi YB-YB setiap lima tahun, boleh bertukar.
Itu bandingan mudahnya.
Mustahil Dato’ Mufti tidak tahu hal ini.
Saya juga suka mengingatkan Dato’ bahawa, Perlis adalah negeri miskin, sangat sedikit hasil dan kebergantungannya terhadap Pusat pula sangat tinggi.
Perlis belum diuji dengan kekayaan.
Maka berbicara tentang kesederhanaan sewaktu miskin, amatlah mudah.
Bak kata orang, kalau pasal harta benda, adik beradikpun boleh bergolok berparang.
Saya teringat ucapan Saidina Abu Bakar yang mengatakan ketika mereka miskin, mereka boleh bersabar.
Tetapi mereka hampir-hampir tewas apabila kaya.
Semoga mereka yang bersederhana itu dilindungi Allah jika kaya nanti. Amiin.
Hanya yang saya sendiri nampak dan berani puji ialah Presiden PAS, Mursyidul Am PAS dan juga sebahagian besar pimpinan PAS yang lain, kekal tidak bermewah walaupun pernah menduduki kerusi MB.
Yang menjadi kehairanan bagi saya ialah, kenapa tiba-tiba Dato’ Mufti membandingkan kehebatan khidmat istana Perlis sambil merendah-rendahkan YB-YB di Perlis?
Seingat saya, dalam laporan berita, tiadapun hal yang mengaitkan istana Perlis dalam krisis pentadbiran Perlis ini kecuali mengenai SD sahaja.
Apakah kaitan tulisan Dato’ Mufti mengenai istana dengan krisis ini?
Saya mencari lagi petunjuk lain.
Lalu saya dapati, Presiden Bersatu, TS Muhyiddin mengeluarkan kenyataan bahawa Bersatu tidak pernah mengarahkan Adun-Adun mereka menandatangani SD.
Sebaliknya beliau dilaporkan berkata Adun mereka diarahkan istana menghantar nama calon MB yang baharu.
Ketua Pemuda PAS yang juga Adun Beseri mendakwa ada ‘broker’ yang mengaturkan untuk tandatangan SD.
Saya kemudiannya berjumpa dengan petunjuk lain iaitu daripada Presiden PAS.
Beliau sepertinya tidak menunjukkan kemarahan beliau dalam isu ini.
Berbanding dengan pengkhianatan yang dilakukan Adun PAS ketika Langkah Kajang dengan melawan arahan tidak menyokong calon MB lain.
Sehingga beliau menggelarkan mereka sebagai BROKER dan BARUA.
Namun dalam isu di Perlis ini baik kepada Adun-Adun berkenaan dan juga kepada Adun Bersatu, beliau hanya bersikap tenang sahaja, tidak memarahi tiga Adun-Adun itu dan meminta Bersatu menguruskan Adun-Adunnya.
Kata beliau, ada isu berkenaan projek dan jawatan yang menekan MB Perlis, YAB Mohd Shukri ketika itu, tanpa beliau memaklumkan dari pihak mana.
MB Perlis dizalimi, bukan menzalimi dan beliau bangga dengan sikap MB Perlis.
Manakala YB Fakhrul Anuar Ismail pula dalam satu kenyataan berkata beliau akan segera membuat rayuan dengan segera atas isu ini.
Kelihatannya seperti beliau terpaksa melakukan dan tekanan yang dikenakan terhadap beliau itu sangat berat.
Sebab itu beliau kelihatan tidak berkelahi dengan parti, sebaliknya ingin mencari penyelesaian segera.
Saya semakin yakin, seperti sudah mendapat petunjuk lagi apabila membaca kenyataan Ketua Dewan Ulamak PAS Perlis, Ustaz Ahmad Adnan Fadzil berkenaan isu ini.
Jadi, apakah penyebab, apakah penekan, yang menjadi punca terhadap apa yang berlaku di Perlis?
Semoga semua rakan-rakan PAS saya di Perlis dirahmati Allah.
Kepada semua penyokong PAS, bersabarlah, tidak perlu menghina mereka, kerana dari pencarian saya di atas, berkemungkinan besar ada terdapat unsur-unsur lain yang tercampur dalam krisis ini.
Insya Allah ia akan terzahir nanti.
Pastinya PAS Perlis lebih maklum.
Mohd Nasir Abdullah
