Semalam saya dihubungi oleh Ustaz Ahmad Adnan Fadzil, Ketua Dewan Ulamak PAS yang datang ke Terengganu bersama beberapa orang lagi pimpinan Badan Perhubungan PAS Perlis ke Rusila.
Beliau bertanya khabar dan berhajat untuk mengajak saya berjumpa, sambil-sambil minum.
Kebetulannya saya tiada di Terengganu.
Beliau dan Bendahari BPNPs, Sarudin Abu Bakar kemudiannya memberitahu kemelut dalaman di Perlis, alhamdulillah sudah mencapai titik noktah hasil dari perbincangan dengan TS Tuan Guru Presiden PAS.
Dan resolusinya ialah PAS Perlis akan melangkah terus membawa Islam dan membela rakyat.
Tentu sahaja tidak dimaklumkan apa yang dibincangkan kerana ia khusus untuk yang hadir sahaja.
Akan tetapi apa yang menariknya dalam PAS ialah wala’ atau ketaatan kepada kata putus Presiden.
Ada perkara yang tidak diketahui pimpinan di peringkat bawahan yang kemudiannya diterangkan, maka isu akan menjadi mudah.
Sebelum mendengar apa-apa yang muktamad daripada Presiden, semua puzzles yang ada, biasanya tidak lengkap dan akan ada kekosongan petak puzzles yang sebenarnya ada di dalam tangan Presiden sebagai nakhoda.
Maka beliau akan meletakkan puzzles yang tertinggal itu sebagai pelengkap keseluruhan gambar.
Teringat akan peristiwa lama antara TS TG Presiden PAS, Dato’ Mustafa Ali dan alamarhum TGNA yang sering dilihat bagaikan bertelingkah secara terbuka di media perdana.
Dan apabila perjumpaan diadakan, isu selesai.
Tetapi akan timbul semula isu apabila tidak bersama.
Rupa-rupanya ada penghasut yang dekat dengan almarhum, sentiasa menjalankan kerja-kerja mengacum.
Dan apabila penghasut ditendang keluar, baharulah semuanya baik-baik sahaja.
Sebab itu kepercayaan mengenai apa-apa sahaja yang berlaku dalam PAS dan keputusannya apabila diambil, maka kami amat yakin bahawa pimpinan PAS telah mengukur setiap inci risiko, keburukan, kebaikan mahupun keuntungan kepada jemaah.
Dan semenjak puluhan tahun ia berlalu, bertukar-tukar presiden sekalipun, hal yang sama berlaku.
Pimpinan PAS ada bantuannya iaitu mesyuawarah dan istiqarah yang mana ada jaminan Rasulullah, kita tidak akan rugi dan menyesal dengan keduanya.
PAS juga mempunyai kumpulan ulamak yang sentiasa memikirkan hala tuju PAS ke arah kebaikan dan tetap di atas jalan Islam.
Tidak akan terkumpul sekumpulan ulamak atas jalan penipuan.
Dan PAS mempunyai ribuan ulamak sebagai tonggak.
PAS juga mendapat nasihat atas ijtihad-ijtihad yang dipilih berdasarkan ilmu yang disatukan dari kefaqihan ulamaknya dalam pertemuan sesama mereka bagi mencapai keputusan yang lebih menepati keadaan semasa.
Maka apa sekalipun tuduhan liar dari pihak luar ke atas ijtihad PAS, adalah diibaratkan hanya salakan anjing kepada kafilah yang sedang berjalan.
Kafilah tidak akan berhenti hanya kerana salakan itu.
Melihat kepada keceriaan wajah-wajah pimpinan PAS Perlis seusai pertemuan dengan TG Presiden ini, jelas kepada kita, ia menjadi suatu lambang kekecewaan kepada musuh-musuh PAS yang begitu sekali tinggi keinginan mereka mahu melihat PAS tersungkur.
Sungguh, mereka hanya terdaya melihat dengan mengetap bibir sahaja.
Inilah PAS, insya Allah atas nama Islam, kami akan beristiqamah, bersatu dan berjuang menegakkan agama yang lurus ini.
Tiada dalam parti lain, kerana matlamat mereka mengejar dunia sahaja, tanpa akhirat.
Mohd Nasir Abdullah
