Dalam perjalanan politik negara pasca beberapa kali pertukaran kerajaan, satu persoalan besar terus berlegar dalam fikiran rakyat, adakah yang berubah hanya orang di puncak, atau cara negara ditadbir itu sendiri?
Hakikatnya, pertukaran Perdana Menteri demi Perdana Menteri masih gagal merungkai kekecewaan rakyat terhadap sistem pemerintahan yang bersifat elitis, tertutup dan berpusatkan individu.
Pengalaman lebih enam dekad di bawah Perikatan beralih kepada Barisan Nasional (BN), diikuti episod Pakatan Harapan (PH), serta kerajaan campuran selepasnya, membuktikan bahawa masalah utama negara bukan sekadar siapa yang memerintah, tetapi bagaimana kuasa digunakan.
Malaysia masih terperangkap dalam kerangka one-centric government di mana pemerintahan yang memusatkan keputusan pada seorang tokoh atau kelompok kecil elit, sementara Kabinet, Parlimen dan institusi negara menjadi pelengkap kosmetik.
Dalam konteks inilah, Perikatan Nasional (PN) perlu tampil dengan tawaran politik yang lebih matang dan berani, kerajaan rakyat, satu anjakan paradigma sistem pemerintahan, bukan sekadar alternatif sementara kepada kegagalan pihak lain.
Kuasa kolektif: Menolak budaya ‘orang kuat’
Budaya politik Malaysia terlalu lama bergantung kepada figura dominan (siapa kuat), Perdana Menteri dianggap penentu tunggal arah negara, manakala keputusan besar sering dibuat secara tertutup oleh elit yang tidak dipilih rakyat.
Akibatnya, kuasa menjadi terlalu tertumpu dan ianya mudah disalahguna.
Kerajaan rakyat menuntut pengagihan kuasa secara kolektif, berasaskan perbincangan, perbezaan pandangan dan tanggungjawab bersama.
Kabinet bukan sekadar meluluskan keputusan sedia ada, tetapi menjadi medan musyawarah dasar sebenar.
Parlimen pula tidak boleh disekat daripada memainkan peranan semak dan imbang yang berani.
Bagi PAS, prinsip ini berakar kuat dalam konsep musyawarah.
Rasulullah SAW sendiri memerintah melalui rundingan, diplomasi bahkan menerima pandangan sahabat walaupun bercanggah dengan kecenderungan peribadi Baginda.
Jika PN ikhlas menawarkan kerajaan rakyat, budaya ini mesti diterjemahkan dalam amalan pentadbiran, bukan hanya dalam pidato, ceramah berhadapan khalayak atau berpencak di media sosial.
Parlimen bermaruah: Risiko yang wajib ditanggung
Setiap kerajaan berbicara mengenai memartabatkan Parlimen, namun sedikit yang benar-benar sanggup melaksanakannya.
Hakikatnya, Parlimen yang bebas dan kuat akan menyusahkan kerajaan malahan ia mendedahkan kelemahan dasar, memaksa ketelusan dan menuntut kebertanggungjawaban.
Namun, inilah harga yang perlu dibayar untuk sebuah kerajaan rakyat.
PN mesti berani berjanji bahawa Ahli Parlimennya dibenarkan berbahas, menegur dan berbeza pandangan tanpa tekanan politik.
Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen perlu diberi kuasa sebenar untuk menyemak kementerian dan agensi.
Jika Parlimen terus diperhambakan oleh disiplin parti yang membuta tuli, maka kerajaan rakyat hanya akan tinggal slogan kempen.
Institusi bebas: Amanah, bukan alat politik
Kekecewaan rakyat terhadap institusi negara berpunca daripada satu hakikat pahit, institusi sering dilihat mengikut perubahan kuasa politik.
Apabila sesebuah parti memerintah, institusi tertentu dipuji; apabila bertukar kerajaan, institusi sama dipertikaikan.
Kerajaan rakyat menuntut kebebasan institusi sebagai prinsip tidak boleh tawar-menawar.
Kehakiman mesti bebas daripada tekanan eksekutif, SPRM mesti berani menyiasat tanpa mengira kedudukan dan agensi audit mesti didengari walaupun laporan mereka memalukan kerajaan.
PAS sering menekankan konsep amanah.
Maka amanah ini mesti dizahirkan dengan kesediaan memisahkan kuasa politik daripada penguatkuasaan walaupun ia mungkin merugikan kepentingan politik jangka pendek PN sendiri.
Rakyat sebagai rakan tadbir, bukan penonton
Model pemerintahan lama melihat rakyat sebagai pengundi bermusim hadir setiap lima tahun, kemudian diketepikan.
Keputusan dibuat secara elitis dan libat urus awam sering dilakukan selepas keputusan dimuktamadkan.
Kerajaan Rakyat memerlukan perubahan menyeluruh cara kerajaan berinteraksi dengan rakyat.
Libat urus awam mesti menjadi amalan tetap, bukan sekadar formaliti.
Keterbukaan maklumat dan data mesti diperkasakan agar rakyat mampu menilai dasar secara rasional.
Desentralisasi kuasa juga menjadi komponen penting.
Negeri dan pihak berkuasa tempatan perlu diberi ruang membuat keputusan yang lebih hampir dengan realiti rakyat di lapangan.
Pengalaman pentadbiran negeri di bawah PAS membuktikan bahawa pendekatan kebajikan dan kepekaan sosial lebih berkesan apabila kuasa tidak terlalu tertumpu di pusat.
Akhlak dalam berkuasa: Identiti politik PN
Inilah teras paling penting dan paling mencabar.
Politik tanpa akhlak akhirnya akan melahirkan elit baharu yang meniru keburukan elit lama.
Kerajaan rakyat tanpa roh akhlak hanya akan menukar struktur luaran, bukan jiwa pemerintahan.
PAS memikul tanggungjawab besar memastikan akhlak berkuasa menjadi identiti PN, amanah, keadilan, ketelusan, kesederhanaan dan kesedaran bahawa kuasa akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT.
Ini menuntut keberanian menegur rakan sendiri, menolak kronisme, mengisytiharkan harta secara telus dan bersedia dipertanggungjawabkan, bukan sahaja kepada rakyat, tetapi juga di akhirat kelak.
Kesimpulan: Mengubah cara negara ditadbir
Pilihan sebenar yang perlu ditawarkan PN kepada rakyat bukanlah sekadar ‘kami lebih baik daripada kerajaan sedia ada’.
Soalan utama rakyat ialah, adakah PN mahu mengubah struktur kuasa, atau sekadar menguasainya?
Kerajaan rakyat menuntut perubahan sistem dan anjakan paradigma pemerintahan daripada kuasa individu kepada kuasa kolektif, daripada Parlimen terkawal kepada Parlimen bermaruah, daripada institusi diperalat kepada institusi bebas dan daripada politik kuasa kepada politik berakhlak.
Jika PN berani memegang komitmen ini dalam kempen dan pelaksanaan, PN bukan sahaja berpotensi memenangi pilihan raya, tetapi mengubah hala tuju politik negara.
Jika tidak, PN berisiko menjadi sekadar episod sementara dalam sejarah panjang kitaran kegagalan pemerintahan.
Kerajaan rakyat bukan mengenai menukar Perdana Menteri.
Ia mengenai mengubah hala cara negara diperintah.
TS DR MOHD SUFFIAN HAJI YUSOFF
Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah
