PRU-16 dijangka tidak lama lagi.
Sebagaimana kebiasaan orang menyambut hari raya, hari pilihanraya ini juga mesti disambut dan dibuat pelbagai persiapan awal bagi menentukan siapa yang bakal menjadi kerajaan.
Biasanya semua parti akan memulakan langkah awal mereka seusai tamat setiap PRU bagi perancangan lima tahun kehadapan.
Umno yang tewas begitu teruk dalam sejarah PRU mereka pada tahun 2022 dan 2023, telah memilih untuk bersama DAP dan PKR walaupun setelah Presidennya bersumpah atas nama Allah dengan slogan yang masih diingat rakyat Malaysia ‘No Anwar, No DAP’.
Ia sangat mudah untuk difahami kenapa sumpah atas nama Allah itu tetap dilanggar Presidennya.
Ia adalah kerana untuk survival politik Umno dan juga batang tubuhnya yang ada kes waktu itu.
Ketika bersama MN, Presiden Umno tidak disenaraikan dalam barisan kerajaan.
Sedikit adegan di mahkamah ditayangkan dengan Presiden Umno terpaksa naik turun bagi menghadiri kes beliau yang didakwa atas 47 kes.
Namun, sebagaimana yang kita boleh fahami, jika Umno tumbang, maka PH turut runtuh bersama.
Dan berkebetulannya, kes Presiden Umno diisytiharkan DNAA, lepas tanpa bebas.
Dan beberapa hari lalu, kes beliau diumumkan pula sebagai NFA, tiada tindakan lanjut.
Hanipa Maidin dari Pan memberi komen yang alasan pengguguran kes oleh Peguam Negara itu sebagai melucukan.
Ramai lagi peguam yang mengkritik keputusan ini.
Kebetulannya kes Presiden Umno ini diumumkan sama waktu dengan penangkapan Panglima Tentera Darat dalam kes rasuah di Kementerian Pertahanan.
Tidak hanya satu, tetapi ada beberapa kes lagi yang menggemparkan negara pada masa yang sama.
Isu ‘parti yeye’ wanita pelayan nafsu yang melibatkan anggota TUDM juga dihebohkan.
Siasatan besar ini dilakukan setelah aktivis politik, Chegu Bard mendedahkannya.
Akan tetapi berbeza apabila pendedahan kes rasuah yang melibatkan Adun-Adun di Sabah oleh Albert Tei, beliau pula yang ditangkap oleh SPRM.
Sedangkan Albert ada bukti yang dirakam.
Tidak tahu di mana silapnya kes Adun-Adun itu tidak disiasat sebagaimana kes ATM.
Ia menjadi sangat panas. Rakyat lupa kepada kes Presiden Umno.
Presiden Umno kemudiannya menyatakan keputusan itu menunjukkan beliau tidak bersalah.
Tiada lagi berita lain mengenai itu.
Sambutan kepada keputusan Peguam Negara itu kelihatan begitu hambar, walaupun dari ahli Umno sendiri.
Padahal ia amat penting kerana melibatkan maruah Presidennya.
Berita seterusnya yang melibatkan Presiden Umno ialah sindirian beliau kepada PAS.
Kata beliau, PAS diharap akan terbubar dengan sendiri kerana Umno lebih dahulu meletakkan Islam sebagai di hadapan dalam perlembagaan parti mereka pada 2019.
Sangat baik jika agamawan seperti Mufti Perlis boleh mengesahkan hal ini.
Namun dalam kekalutan itu, tiba-tiba Dr. Akmal Salleh, Ketua Pemuda Umno Malaysia pula menghentam DAP sambil tangannya dihulurkan kepada PAS.
Cadangan Muafakat Nasional bergema semula.
Lalu Pemuda DAP mencabar Dr. Akmal untuk meletakkan jawatan sebagai Exco Melaka.
Pelikkan? Di Melaka, Umno yang menang banyak kerusi, DAP sebagai penumpang.
Tetapi DAP pula yang seperti tuan, paksa Umno letak jawatan.
Dan Dr. Akmal mengotakan katanya sambil berkata akan menentang DAP sepenuh masa.
Presiden Umno kemudiannya turut membuka pintu kepada bekas pimpinan Umno yang telah dikenakan hukuman, untuk hadir ke Perhimpunan Agung Umno 2026.
Hal ini jelas menunjukkan kelemahan yang Umno hadapi sekarang, kerana tidak mempunyai kekuatan bagi menghadapi PRU nanti.
Bagai ketakutan Umno akan kalah lebih teruk dalam PRU-16.
Terpaksa memanggil ‘otai’ Umno. Kelihatan KJ menyambutnya.
Umno sudah pastinya tahu, mereka tidak boleh lagi menipu ahlinya dengan janji ‘No Anwar, No DAP’.
Sebaliknya berkata PH adalah sangat bagus.
Tetapi dilemma Umno ialah masih ramai penyokong DS Najib yang bakal mengajar Umno kerana tidak mempedulikan titah adendum yang sangat dinantikan oleh penyokong DS Najib untuk beliau ditahan di rumah.
Apa yang tinggal sekarang ialah mereka mencari PAS.
Mereka tahu, dengan menyebut isu perpaduan Melayu Islam, PAS akan berlembut.
Tidak dinafikan, PAS sememangnya tidak mahu mengekal ataupun mencari musuh.
Apa sahaja yang boleh membawa kepada kesatuan umat Islam, PAS dengan tangan terbuka, akan menerimanya.
Ia bukan isu dipatuk dalam lubang yang sama.
Ia adalah berkenaan hakikat politik di Malaysia memerlukan rakan politik yang besar untuk menguatkan.
Apatah lagi yang sama kuat bangsa dan agamanya.
Perlu diingat, PAS berpolitk dengan bijaksana.
Namun Umno dan parti-parti lain juga ada bidak caturnya untuk mereka mengatur langkah.
Tidak akan ke mana jika sesebuah parti itu hanya kuat sebahagian sahaja.
Tidak mahu bergabung dan akhirnya musuh bergabung sesama mereka. Kita akan kecundang juga.
Umno memegang dua tali, satu tali dengan PAS melalui Dr. Akmal dan satu lagi dengan PH, pastinya melalui cikgu dan anak murid.
Dengan penyucian Presiden Umno ini, ia kelihatan agak mudah bagi Umno bergerak ke arah PAS kerana sekurang-kurangnya Presiden Umno sudah bersih, dibersihkan oleh PH.
Tetapi kita yakin, PH tidak akan melepaskan Presiden Umno begitu sahaja.
Pasti ada lagi ikatan yang mengikatnya.
Ini yang mungkin Presiden Umno fikirkan kerana beliau tahu ahli Umno lebih menyukai PAS.
Presiden Umno yakin yang ahli Umno jika diberikan pilihan, akan memilih PAS sebagai rakan kongsi yang terbukti istiqamah dengan Islam, bersih, senang dibawa berunding, tidak gilakan posisi, menepati janji, dipercayai rakyat Melayu Islam dan semakin kuat sekarang ketimbang PH yang serba tidak menepati janji mereka.
Akan tetapi Presiden Umno yang mempunyai masalah peribadi, menyebabkan penggabungan ini menjadi sukar.
Sinetron Umno ini belum bernoktah, akan lebih menarik.
Sediakan ‘pop corn’ kotak besar.
Mohd Nasir Abdullah
