Agak mengejutkan semua pemerhati politik tanah air apabila pengumuman berkenaan pelantikan Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar (Dr. Sam) sebagai Pengerusi PN disambut dengan sokongan yang sangat positif.
Apabila dibuat sedikit selidikan tidak rasmi, respon dari netizen di akaun-akaun FB yang terkenal sebagai lawan PAS yang membicarakan tentang isu ini, sememangnya benar dengan berbagai komen-komen yang baik dan kesyukuran diluahkan mereka dan penyokongnya.
Sedangkan lantikan itu adalah untuk jawatan dalaman PN dan bukannya sebagai PM-11.
Namun aura yang Allah kurniakan kepada Dr. Sam, dapat dirasai oleh ramai rakyat Malaysia.
Melihat kepada cara beliau yang tidak banyak berjanji, tetapi mengotakan semua janji-janjinya tanpa retorik, dengan ketenangan dalam menghadapi sekatan untuk mentadbir negeri, memberikan satu kesan kepercayaan yang mendalam kepada bukan sahaja rakyat Terengganu, tetapi juga rakyat Malaysia.
Sambutan rakyat secara menyeluruh ini dengan dapatan data organik, pasti mengejutkan pasukan PH yang sejak sekian lama bertungkus lumus mahu membenamkan nama Dr. Sam yang telah dinaikkan suatu ketika dahulu sebagai PM-11 untuk Malaysia.
Sekaligus membuktikan segala usaha mereka selama ini menuduh Dr. Sam tidak berjaya menerajui Terengganu dengan segala graf dan data yang kononnya merupakan bukti kukuh kegagalan itu, tidak dibeli oleh rakyat.
Bukan itu sahaja, ada terdapat akaun-akaun yang dikenali sebagai orang kuat Umno, juga memberikan respon positif dengan harapan agar Dr. Sam akan menjadi PM Malaysia.
Mereka juga merasakan kehilangan karisma dalam kepimpinan parti mereka sendiri.
Tak sanggup untuk mereka sendiri mahu mengangkat pemimpin Umno sebagai pengganti Dr. Sam kerana tahu ada jurang yang sangat jauh.
Jadi, adakah kejayaan PMX yang didakwa oleh penyokong-penyokong mereka itu dalam ekonomi dan sebagainya sia-sia?
Nampaknya begitulah kerana apa yang didakwa sebagai kononnya kejayaan yang dicanangkan itu sudah diterangkan hal sebenarnya oleh orang-orang ekonomi.
Perkembangan mutakhir ekonomi ini lebih bersifat buih.
Bukan itu sahaja, nama-nama seperti Zahid Hamidi, Lim Guan Eng, Azam Baki, Rafizi Ramli, Farhash Salvador, telah memberikan gambaran berkenaan kegagalan PMX dalam usaha untuk menghapuskan rasuah.
Sikap PMX juga yang sering menyerang lawannya tidak kira tempat, samada dalam majlis rasmi ataupun kempen politik, sehingga di hadapan pelajar sekalipun menjadikan beliau tidak bersikap terbuka.
Juga menjadi bualan rakyat, hobi PMX yang sangat menyukai hiburan tidak kira masa dan tempat itu, amat kontradik dengan imej Islamiknya.
Jauh benar sikap yang diamalkan oleh Dr. Sam yang begitu profesional, antaranya masih berlembut meminta dan berbincang walaupun disekat peruntukan sehingga dimalukan.
Beliau juga membuktikan yang beliau berjaya memisahkan antara majlis politik dan juga tugasan rasmi.
Dr. Sam juga memberikan peruntukan kepada Adun-Adun pembangkang, tidak menghina pilihan rakyat, menyambung projek-projek sakit kerajaan lama kerana tahu itu adalah wang rakyat, mengembalikan semula hak rakyat yang dirampas.
Beliau tidak pernah mengugut Adun-Adun ataupun penyokong pembangkang yang peruntukan akan disekat jika tidak menyokong calon-calon PAS.
Ini semua kerana disiplin dalam PAS melalui kepimpinan Islam yang diterajui oleh ulama yang melarang berbuat khianat atau dendam.
Berlawanan dengan pemimpin parti lawan, bukan sahaja mengugut, malah hasil Terengganu dirampas dan peruntukan disekat atau disalurkan kepada agensi lain.
Jelas sekali di sini, serangan yang menggila terhadap Dr. Sam suatu ketika dahulu hanyalah peluru kapur sahaja.
Ia sakit, tapi tidak mencederakan mahupun mematikan.
Apa-apa yang menipu atau palsu tidak akan kekal lama.
Bersabar dalam menyebar kebenaran, sangat manis hasilnya.
Dapat kita simpulkan yang rakyat Malaysia sangat bijak menilai akhlak pemimpin, apatah lagi dengan pendedahan melalui media sosial, tiada didapati apa-apa kesalahan yang melibatkan integriti Dr. Sam.
Yang ada hanyalah serangan peribadi.
Kita bersedia dengan gelombang serangan kedua bagi menjatuhkan Dr. Sam.
Kejutan sambutan oleh rakyat ini bukan sesuatu yang menggembirakan penyokong PH yang bekerja siang malam bagi mempertahankan kedudukan mereka, walau dengan pembohongan sekalipun.
Kita jangkakan serangan daripada mereka yang lebih jahat daripada serangan awal. ‘Do or die battle’.
Namun, apabila melihat sambutan rakyat yang sangat kuat atas pelantikan Dr. Sam ini, keyakinan kita bertambah untuk terus menentang serangan ini, kerana sokongan rakyat bersama Dr. Sam sekarang.
Kita yakin, insya-Allah PN akan mendapat sambutan berterusan daripada rakyat dan bersama-sama membina negara ini.
Dan tidak dapat tidak, perlahan-lahan kepercayaan rakyat kepada PAS yang bertunjangkan ulama akan semakin mengukuh.
Mohd Nasir Abdullah
