Pelantikan Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar (lebih dikenali sebagai Dr. Sam) sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) melambangkan peralihan generasi, perubahan gaya politik dan kemunculan pendekatan pentadbiran lebih teknokrat serta berorientasikan prestasi.
Reaksi ‘panas’ di media sosial bukan sesuatu yang luar biasa, kerana dalam politik Malaysia, kegelisahan biasanya memuncak apabila wujud tokoh yang sukar diserang dan berpotensi mengubah cara permainan lama.
Antara kritikan yang diulang kononnya Dr. Sam ‘tidak ada wow faktor’.
Kritikan ini lebih menggambarkan selera politik lama yang terlalu bergantung pada retorik, drama dan polemik, seolah-olah kepimpinan mesti diukur melalui kemampuan membuat ‘show’ di pentas.
Hakikatnya, Dr. Sam memang bukan pendebat agresif seperti Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang terkenal dengan kebolehan menundukkan lawan di Parlimen.
Beliau juga bukan tokoh flamboyan yang menjadikan politik sebagai gelanggang persembahan.
Namun, kepimpinan negara bukan pertandingan pidato.
Negara sedang berdepan cabaran ekonomi, kos sara hidup, perubahan teknologi dan persaingan global yang memerlukan pemimpin yang berfikir secara strategik, bercakap bila perlu, diam bila perlu, tetapi bekerja secara konsisten.
Dalam suasana rakyat semakin letih dengan konflik, sikap tenang dan profesional sebenarnya menjadi nilai tambah, bukan kelemahan.
Kritikan kedua menyatakan Dr Sam ‘tiada pengalaman’.
Tuduhan ini juga tidak tepat jika pengalaman diukur secara menyeluruh.
Dr Sam ialah jurutera aeroangkasa yang membawa gelaran Ir, beliau mempunyai latar akademik kukuh sebagai pensyarah dan profesor, selain memimpin Terengganu sebagai Menteri Besar sejak 2018.
Pengalaman kepimpinan beliau bukan pengalaman ‘kosmetik’, tetapi pengalaman mengurus negeri dalam keadaan sumber tidak semewah negeri tertentu, berhadapan isu hasil negeri serta mengimbangi tuntutan pembangunan dengan kestabilan sosial.
Pentadbiran yang stabil, ketiadaan skandal mega yang menggoncang kerajaan negeri dan kemampuan mengekalkan Terengganu dalam keadaan terkawal menunjukkan pengalaman beliau dalam bentuk yang lebih substantif, iaitu pengalaman mentadbir.
Kritikan ketiga pula menyatakan Dr Sam ‘tidak setanding’ dengan pemimpin lain seperti Anwar atau Tan Sri Muhyiddin Yassin yang pernah menjadi Perdana Menteri atau tokoh lain yang pernah menjadi menteri.
Perbandingan ini menyempitkan definisi kelayakan kepada ‘pernah jadi PM’ atau menteri sedangkan negara memerlukan kepelbagaian profil kepimpinan.
Anwar ialah tokoh politik lama yang lebih dikenali sebagai seorang orator dan perunding, manakala Muhyiddin dikenali sebagai pentadbir yang lama berakar dalam struktur kerajaan pusat.
Dr Sam hadir dengan profil berbeza, iaitu tokoh teknokrat Islamis sederhana yang berpendidikan tinggi, fokus kepada kerja dan tidak dibebani baggage politik besar atau kontroversi peribadi yang mudah dijadikan peluru serangan.
Dalam konteks politik yang semakin menuntut kesederhanaan dan profesionalisme, perbezaan gaya ini bukan kekurangan, bahkan menjadi aset strategik.
Dalam konteks latar akademik, kelebihan Dr Sam dan sebelum ini Tun Dr Mahathir Mohamad berbanding Anwar sering dihujahkan dari sudut disiplin profesional yang lebih teknikal.
Mahathir sebagai doktor perubatan dan Samsuri sebagai jurutera aeroangkasa melalui latihan yang menekankan analisis berstruktur, ketepatan, penyelesaian masalah secara sistematik serta pembuatan keputusan berasaskan diagnosis dan data.
Disiplin ini lazimnya membentuk pendekatan kepimpinan yang lebih teknokratik, berorientasikan hasil dan pengurusan risiko.
Berbanding latar sastera yang menonjol dalam kekuatan wacana dan komunikasi politik, latar profesional perubatan dan kejuruteraan memberi kelebihan dari segi kerangka berfikir yang lebih teknikal dan berasaskan sistem, khususnya apabila negara berdepan cabaran ekonomi, teknologi dan tadbir urus kompleks.
Kritikan seterusnya mengatakan Dr Sam wajar fokus mentadbir negeri sahaja.
Logik ini tidak kukuh kerana dalam tradisi politik Malaysia, ramai Menteri Besar dan Ketua Menteri memegang peranan parti pada peringkat nasional tanpa mengabaikan negeri.
Mandat rakyat Terengganu yang begitu kuat kepada kerajaan negeri membuktikan pentadbiran negeri tidak runtuh hanya kerana pemimpinnya memikul tanggungjawab lebih besar.
Sebaliknya, pengalaman mentadbir negeri dengan baik sering menjadi asas untuk memimpin agenda nasional.
Jika sebuah negeri ditadbir secara stabil dan konsisten, wajar untuk tokoh tersebut diberi ruang mempengaruhi hala tuju gabungan yang lebih besar.
Ada juga dakwaan Dr. Sam ‘gagal jaga Terengganu’.
Dakwaan ini tidak disertakan bukti jelas dan hanya persepsi politik atau sentimen lawan.
Apa yang lebih ketara ialah Terengganu sering dirujuk sebagai antara negeri paling bahagia di Malaysia dan pentadbiran negeri kekal stabil tanpa krisis dalaman besar.
Banyak pihak menekankan kerajaan negeri berjaya memperbaiki kedudukan kewangan, menyelesaikan isu projek terbengkalai serta mengekalkan identiti sosial yang harmoni.
Pada masa sama, suasana ketenteraman sosial, pembangunan moral dan fokus perpaduan sering disebut sebagai antara ciri yang membentuk imej Terengganu yang lebih seimbang.
Jika benar pentadbiran negeri gagal, sukar untuk jelaskan mengapa kestabilan politik dan keyakinan rakyat terhadap kerajaan negeri boleh kekal begitu ketara.
Apa yang menarik ialah penghargaan terhadap Dr Sam tidak datang daripada penyokong PAS sahaja.
Ada pujian daripada lawan politik atau pemerhati neutral.
Peguam Lt. Kol. Bersekutu (PA) Nik Saiful Adli Borhan dari UMNO Ketereh, misalnya, menilai pelantikan pengerusi PN yang bukan daripada kalangan presiden parti sebagai tanda kesediaan PN memecah tradisi dan menerima pembaharuan.
Beliau juga menekankan Dr. Sam ialah pemimpin profesional berusia 55 tahun yang tidak mempunyai rekod jenayah atau keceluparan mulut, yang menunjukkan bentuk kepimpinan lebih terkawal dan tidak bercelaru.
Fathi Aris Omar yang sering kritikal terhadap PAS pernah berhujah bahawa PAS sudah terlalu lama ‘mendayung kapal tetapi menyerahkan kapten kepada orang lain’, beliau melihat Dr Sam calon paling sesuai untuk PAS tampil lebih yakin dengan tokoh sendiri.
Apabila pujian datang dari spektrum berbeza, mesejnya jelas: pelantikan ini bukan semata-mata kemenangan dalaman, tetapi pengiktirafan Dr. Sam mewakili satu profil kepimpinan yang sukar dipandang ringan.
Lebih penting, lantikan Dr. Sam membuka ruang untuk PN memulihkan keyakinan rakyat melalui pengukuhan institusi dan budaya integriti.
Malaysia sedang berdepan ’trust deficit’ terhadap sebahagian agensi dan institusi kerana persepsi isu ketelusan, campur tangan politik, ketirisan dan kelemahan tata kelola dalam beberapa episod kebelakangan ini.
Dalam suasana seperti ini, tokoh yang mempunyai imej bersih, tidak sarat kontroversi, bersifat sederhana dan profesional boleh menjadi simbol kepada usaha memulihkan kepercayaan.
Kepercayaan awam tidak boleh dibina dengan slogan semata-mata, sebaliknya mesti bermula dengan contoh kepimpinan yang meletakkan disiplin, tadbir urus dan ketelusan sebagai standard.
Apa yang membuat sesetengah pihak ‘panas’ bukan semata-mata kerana siapa Dr. Sam, tetapi kerana apa yang beliau wakili.
Dr. Sam bukan produk politik lama yang hidup dengan drama dan beliau juga tidak mudah dijatuhkan melalui serangan peribadi kerana setakat ini sukar dicari ‘peluru’ untuk menyerang beliau.
Beliau membawa naratif politik tidak semestinya bising untuk menjadi berkesan dan kepimpinan tidak perlu flamboyan untuk meyakinkan.
Jika tokoh teknokrat yang tenang, sederhana dan berintegriti mampu menarik sokongan lebih luas termasuk kelas pertengahan serta pengundi bandar, maka keseimbangan kuasa politik negara boleh berubah.
Justeru, reaksi panas itu sebenarnya isyarat bahawa landskap sedang bergerak dan apabila landskap bergerak, pasti ada yang resah kerana takut kehilangan kedudukan.
Lantikan Dr. Sam sebagai Pengerusi PN wajar dilihat sebagai peluang membina semula politik berasaskan kerja, memperkukuhkan institusi dan memulihkan kepercayaan rakyat yang sudah lama diuji oleh isu integriti serta kelemahan tatakelola.
Sama ada beliau akan melangkah lebih jauh atau tidak, masa akan menentukan, tetapi satu perkara sudah jelas, iaitu perubahan gaya kepimpinan ini telah pun menggoncang zon selesa politik lama dan ia adalah permulaan kepada perubahan politik yang lebih matang.
Satu lagi dimensi penting dalam naratif politik baharu ialah sejak merdeka, kesemua Perdana Menteri sama ada daripada UMNO atau bekas pemimpin UMNO.
Ini menunjukkan kepimpinan nasional selama ini berlegar dalam lingkungan elit politik yang sama.
Dalam konteks ini, pelantikan Dr. Sam sebagai Pengerusi PN membuka ruang perbincangan bahawa sudah tiba masanya negara memberi peluang kepada pemimpin yang lahir daripada parti lain, khususnya PAS, untuk memimpin negara.
Ini bukan soal sentimental parti, tetapi soal kematangan demokrasi dan kesediaan menerima perubahan pola kuasa.
Tambahan pula, PAS kini merupakan parti politik terbesar di Parlimen dari segi bilangan kerusi.
Dalam sistem demokrasi, kekuatan mandat wajar diterjemahkan kepada peluang kepimpinan nasional.
Memberi ruang kepada tokoh seperti Dr. Sam juga membawa potensi pendekatan berasaskan prestasi, integriti dan disiplin pentadbiran, selari dengan tuntutan rakyat yang semakin menilai kerja, bukan retorik.
Jika politik baharu benar-benar ingin dibina, maka keberanian untuk keluar daripada dominasi tradisi lama adalah sebahagian daripada proses kematangan demokrasi negara.
Oleh: Dr Nur Ayuni Mohd Isa
Penganalisis Politik,
Dr Nur Ayuni Mohd Isa adalah Pensyarah kanan, Universiti Putra Malaysia (UPM) & sedang menjalani penyelidikan pasca doktoral di Jabatan Politik dan Pengajian Antarabangsa, Pusat Asia Tenggara (SEAC), School of Oriental and African Studies (SOAS), University of London
