Tinjauan Awal Kemelut Politik Sudan

Tinjauan Awal Kemelut Politik Sudan

Pada hari Isnin awal minggu ini, dunia dikejutkan dengan rampasan kuasa yang berlaku di Sudan yang dilakukan oleh pihak tentera, diketuai oleh Jeneral Abdel Fattah Al-Burhan yang juga merupakan pegawai tertinggi angkatan tentera Sudan.

Perdana Menteri Sudan, Abdullah Hamdok dan beberapa anggota kabinet kerajaan beliau termasuk juga ahli-ahli politik lain telah ditangkap oleh pihak tentera.

Sejurus selepas berlakunya rampasan kuasa tersebut, rakyat Sudan mula turun di jalan raya terutamanya di Khartoum memprotes tindakan tersebut dan menuntut agar kuasa memerintah dikembalikan kepada rakyat Sudan.

Rata-rata pemimpin dunia mengutuk serta mengecam rampasan kuasa tersebut.

Kesatuan Afrika telah menggantung keanggotaan Sudan, manakala Bank Dunia pula menangguhkan bantuan kewangan.

Sementara itu Amerika Syarikat juga telah menggantung bantuan sebanyak USD 700 juta yang telah dijanjikan kepada Sudan.

Sebelum pergi lebih jauh, adalah lebih baik untuk terlebih dahulu mengetahui apa yang sebenarnya berlaku di sebalik rampasan kuasa yang terjadi di Sudan ketika ini.

Setelah Omar Al Basyir meletakkan jawatan sebagai Presiden Sudan pada 11 April 2019 berikutan revolusi yang berlaku bermula Disember 2018, Sudan telah ditadbir oleh angkatan tentera Sudan yang diketuai oleh Jeneral Abdel Fattah Al-Burhan berikutan persetujuan yang dicapai oleh parti-parti politik dan angkatan tentera Sudan setelah ditumbangkan Omar Al Basyir.

Sejurus selepas itu, tentera Sudan telah menubuhkan Majlis Peralihan Kuasa Tentera yang ditentang hebat oleh pemimpin dan aktivis politik.

Rentetan daripada itu kedua-dua pihak bersetuju untuk menubuhkan Majlis Pentadbiran Sementara Sudan yang diterajui oleh kedua-dua belah pihak.

Persetujuan telah dicapai dalam Majlis Pentadbiran Sementara Sudan di mana pihak angkatan tentera Sudan akan mentadbir selama 2 tahun dengan diikuti oleh kerajaan sementara yang diterajui oleh ahli politik Sudan selama 18 bulan.

Jika mengikut perjanjian tersebut, kuasa pentadbiran pihak tentera Sudan telah luput di mana Abdullah Hamdok dan anggota pentadbirannya mendesak tentera Sudan agar menyerahkan kuasa mentadbir kepada kerajaan awam Sudan yang diterajui olehnya pada 17 November 2021.

Menurut beberapa laporan, Abdullah Hamdok dan anggota kabinetnya mengetahui keengganan pihak tentera untuk menyerahkan kuasa dan berkemungkinan akan berlakunya rampasan kuasa dalam masa terdekat yang akan dilakukan oleh pihak tentera.

Malah dalam beberapa siri pertemuan di antara Abdullah Hamdok dan Jeneral Abdel Fattah Al-Burhan, pihak tentera Sudan menuntut agar kerajaan yang diterajui Abdullah Hamdok ketika ini dibubarkan dan diserahkan kepada pentadbiran sepenuhnya oleh pihak tentera dengan alasan bahawa keadaan yang berlaku di Sudan ketika ini mampu membawa ke kancah perang saudara yang lebih besar.

Abdullah Hamdok enggan menuruti kehendak tentera, malah pada pagi Isnin iaitu hari berlakunya rampasan kuasa tersebut pihak tentera mendesak Abdullah Hamdok mengeluarkan kenyataan menyokong rampasan kuasa tersebut namun sebaliknya, Abdullah Hamdok menyeru penyokong-penyokongnya dan rakyat Sudan keluar ke jalan raya serta menentang tindakan tentera.

Hingga ke hari ini, masih belum ada tanda-tanda bahawa pihak tentera menuruti kehendak dan desakan rakyat Sudan, PBB mahupun pemimpin-pemimpin dunia untuk mengembalikan kuasa kepada kerajaan pimpinan Abdullah Hamdok.

Sehari selepas ditangkap oleh tentera, Abdullah Hamdok dibebaskan dan dihantar pulang ke rumah namun nasib tahanan-tahanan yang lain masih belum diketahui.

Rakyat Sudan berterusan melakukan protes di Khartoum hingga ke hari ini di mana pada Selasa lalu berlaku pertempuran antara tentera dan rakyat yang memprotes hingga mengakibatkan 7 orang terkorban manakala lebih 140 lagi cedera berikutan pihak tentera menembak menggunakan peluru hidup.

Mungkin ramai yang tertanya-tanya apa sebenarnya yang berlaku di sebalik rampasan kuasa ini terutamanya siapa yang mendapat faedah besar daripada apa yang berlaku kerana sudah tentu ada kuasa-kuasa tersembunyi yang memainkan peranan besar dalam rampasan kuasa ini.

Walaupun masih terlalu awal untuk membuat andaian apa yang bakal berlaku namun riak menunjukkan seolah-olah ianya permainan Amerika Syarikat dan regim zionis Israel untuk mengekalkan kuasa tentera agar dapat menyekat kemaraan kumpulan Islam memenangi pilihanraya yang bebas jika ia dilaksanakan.

Saya mengikuti perkembangan ini dengan teliti kerana beberapa faktor:

1- Kepentingan Sudan kepada Dunia Islam khususnya dari sudut geografi politik dan sumber buminya yang kaya dengan galian dan mempunyai tanah subur di sepanjang delta Sungai Nil.

2- Di zaman Omar al-Basyir, Sudan mengambil sikap yang jelas dan tegas dalam isu Palestin dengan memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada perjuangan untuk membebaskan bumi Palestin.

Sebaliknya, pemerintah sekarang ini mengambil sikap berbaik-baik dengan regim zionis Israel sehingga berlakunya normalisasi antara kedua-dua negara ini.

Apa sekalipun yang terjadi, sudah tentunya rampasan kuasa yang berlaku di Sudan ini mampu mencorakkan senario geopolitik di Asia Barat.

Secara zahirnya terdapat dua kem negara-negara di Dunia islam, pertama kem menyokong normalisasi dengan Israel dan kedua tidak menyokong normalisasi dan bersama dengan perjuangan rakyat Palestin serta ingin memartabatkan kembali Islam di muka bumi ini.

Secara umumnya diketahui Jeneral Abdel Fattah Al-Burhan mempunyai hubungan yang baik dengan Mesir, Arab Saudi dan UAE malah Jeneral Abdel Fattah Al-Burhan dikatakan mempunyai hubungan baik dengan Presiden Mesir Abdel Fattah As-Sisi kerana menuntut di akedemi tentera yang sama iaitu Akedemi Tentera Mesir di Kaherah.

Menurut editor akhbar dan portal berita Africa Confidential iaitu Patrick Smith, Abdel Fattah Al-Burhan dan Abdel Fattah As-Sisi adalah rakan karib dimana walaupun Abdel Fattah Al-Burhan mempunyai hubungan baik dengan gerakan Islam yang ditentang oleh Abdel Fattah As-Sisi, kedua-dua mereka mempunyai satu kebersamaan iaitu “the greater good of stopping democracy“.

Ketika mula dilantik sebagai ketua de facto Sudan, Abdel Fattah Al-Burhan memulakan kunjungan pertama beliau ke luar negara dengan mengunjungi Mesir pada Mei 2019.

Selepas Mesir, beliau meneruskan perjalanan ke Arab Saudi dan kemudiannya ke UAE.

Di sebalik hubungan baik dengan Mesir, Arab Saudi dan UAE, terdapat juga laporan yang mengatakan berkemungkinan di antara sebab utama yang menyebabkan Jeneral Abdel Fattah Al-Burhan melalukan rampasan kuasa adalah disebabkan peranannya dalam peristiwa “genocide“ di Darfur pada awal tahun 2000.

Kes tersebut telah dibawa ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa dan sehingga ke hari ini tiada satu pun tindakan diambil ke atas beliau.

Mengikut laporan tersebut, Abdullah Hamdok dan anggota pentadbirannya sedang berkira-kira untuk membawa semula kes tersebut ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa dan diketahui oleh Jeneral Abdel Fattah Al-Burhan, oleh itu beliau bertindak melakukan rampasan kuasa tersebut.

Terdapat juga laporan yang mengatakan bahawa jika pihak tentera menyerahkan kuasa pentadbiran kepada kerajaan awam, ia berkemungkinan akan diterajui oleh golongan yang pro Islamis yang tidak disenangi oleh Jeneral Abdel Fattah Al-Burhan dan sekutunya seperti UAE, Arab Saudi dan Mesir.

Jika benar laporan tersebut, sudah tentunya ia akan memberi impak besar kepada perjanjian normalisasi hubungan Sudan dengan negara haram Israel serta mampu merubah semula keadaan serta senario geoplitik Asia Barat kerana jika Sudan dipimpin oleh golongan Islamis, sudah tentu normalisasi dan hubungan dengan negara-negara pro barat akan ditentang.

Apa sekalipun, masih terlalu awal untuk melakarkan naratif apa yang bakal berlaku di Sudan setelah terjadinya rampasan kuasa baru-baru ini.

Berkemungkinan ia benar sebagaimana laporan-laporan yang dinukil oleh penganalisa geopolitik serantau mahupun dunia ataupun mungkin akan berlaku “plot twist“ akibat kecenderungan kem-kem geopolitik negara-negara Asia Barat ketika ini.

Apa sekalipun sama-samalah kita berdoa agar rakyat Sudan akan memperolehi keamanan, kedamaian serta kerajaan yang adil dan saksama yang berpandukan syariat Islam untuk mentadbir mereka dan tanah air mereka yang tercinta.

Moga Allah SWT memberkati dan memakbulkan doa-doa kita semua buat Sudan dan rakyatnya.

Islam Memperkukuh Perpaduan.

YB Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat.

ADUN Batu Buruk.

Dunia Islam