Keahlian bekas menteri besar Johor Osman Sapian lucut serta merta secara automatik susulan tindakannya yang didakwa membantu kempen calon Bebas pada pilihan raya kecil DUN Slim baru-baru ini.
Justeru, kata pengerusi lembaga displin, Megat Najmuddin, ADUN Kempas itu tidak perlu didakwa di depan lembaga disiplin parti atas tindakannya.
“Mengikut Perlembagaan Bersatu, Fasal 10.2.3, Datuk Osman telah secara automatik / serta-merta terlucut keahlian beliau dalam parti Bersatu.
“Tak perlu di dakwa depan lembaga disiplin.
“Setiausaha agung (Bersatu) boleh memberitahu kepada umum bahawa Datuk Osman tidak lagi merupakan ahli Bersatu kerana tingkah laku beliau sendiri,”
DUN Johor memiliki 56 kerusi dengan agihan sebelum ini adalah Umno dan DAP masing-masing 14, Bersatu (12), MIC (2), PAS (1), PAN (9) dan PKR (4).
Ia menjadikan kerajaan PN mempunyai 29 kerusi berbanding PH 27 kerusi, manakala majoriti mudah bagi membentuk kerajaan baharu di Johor ialah 29 kerusi.
Namun jika Osman bertindak menyertai Pejuang, iaitu parti serpihan Bersatu dan bersama Pakatan Harapan, maka sidang DUN Johor negeri itu akan tergantung.
Ini akan menyaksikan jumlah kerusi diperoleh PH dengan PN masing-masing terikat kepada 28 kerusi.
Pada 3 Jun lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar memberi amaran untuk membubarkan dewan undangan negeri – bagi membolehkan pilihan raya baru diadakan – jika perebutan kuasa berlaku.