Gelagat Tidak Tahu Malu Najib Di SM Foon Yew

Gelagat Tidak Tahu Malu Najib Di SM Foon Yew

Kunjungan ‘maskot’ kempen Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Datuk Seri Najib Razak ke Sekolah Menengah (SM) Foon Yew di Seri Alam, Johor Bahru, semalam, cukup mengejutkan komuniti Cina.

Ia dianggap mencabuli prinsip sekolah terkemuka yang mempunyai tiga cawangan di Johor itu yang dizahirkan menerusi motonya: ‘tingkah laku, kewajaran, integriti dan tahu malu’.

Ini kerana Najib telah disabitkan bersalah atas pertuduhan rasuah, pengubahan wang haram serta salah guna kuasa membabitkan dana SRC International dan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

Tanpa segan silu, dia menyampaikan ucapan yang mengungkit jasanya kepada sekolah berkenaan sambil menyerang Tan Sri Muhyiddin Yassin walaupun tidak menyebut nama Pengerusi Perikatan Nasional (PN).

Dalam ucapan itu, Najib turut menuntut masyarakat Cina berterima kasih kepadanya apabila memetik pepatah Cina: ‘Orang yang minum daripada sebuah perigi tidak harus melupakan orang yang menggalinya’.

Ironinya, ucapan berdegar-degar itu disampaikan Najib dari sebuah rostrum yang terpampang moto SM Foon Yew iaitu ‘tingkah laku, kewajaran, integriti dan tahu malu’.

Najib mungkin tidak memahami tulisan empat karakter tulisan Cina berkenaan tetapi jika pentadbir sekolah mahu menjaga air muka ‘maskot’ BN itu, karakter tersebut seelok-eloknya dibuang untuk sementara waktu kerana ia amat janggal.

Atau sekurang-kurangnya, pentadbir sekolah menutup perkataan ‘integriti’ dan ‘tahu malu’ kerana Najib sudah terbukti tidak mempunyai sifat terpuji itu.

Ia bukanlah rahsia, malah sudah diketahui di seluruh dunia, melainkan pentadbir sekolah mahu membuat sindirian secara halus.

Dalam laporan sebuah portal, pengerusi SM Foon Yew, Tay Chin Hein seakan menjauhkan diri apabila menjelaskan pihakya tidak ingin mencetuskan sebarang salah faham sewaktu ditanya sama ada kunjungan Najib konsisten dengan moto sekolah.

Malah, Chin Hein turut mendedahkan kunjungan itu bukan atas jemputan pihaknya tetapi atas permintaan pihak Najib.

Maka jelaslah, tagline ‘Malu Apa Bossku’ yang pertama kali dipopularkan Najib menerusi imej ‘mat rempit’ sudah cukup sebati dengan dirinya.

Sudah tiada apa lagi yang nak dimalukan Najib walaupun dalam ilmu akhlak, terdapat satu sifat yang menjadi teras kepada ajaran Islam iaitu sifat malu atau bahasa Arab disebut ‘al-haya’.

Perkara ini dijelaskan dalam sabda Rasulullah SAW:

“Malu dan iman sentiasa bersama. Apabila salah satunya dicabut, maka hilanglah yang lainnya.” (Riwayat al-Hakim)

Jelaslah implikasi sifat malu adalah untuk mengukuhkan iman seseorang Muslim.

Semakin tinggi iman seseorang, maka semakin tinggi harga dirinya.

Apatah lagi, dengan sifat malu juga seseorang Muslim dapat menghindarkan diri daripada melakukan perbuatan yang ditegah oleh Allah SWT.

Saladin Hasan Salleh

Kolumnis