Bahtera Jamaah Tetap Ke Destinasi Walau Pimpinan Datang Dan Pergi

Bahtera Jamaah Tetap Ke Destinasi Walau Pimpinan Datang Dan Pergi

Harakatul ummah ini telah melepasi tujuh dekad perjuangan , bergulat dimedan operasional , bertunjang tiga , dakwah , tarbiah dan siasah.

Sejak ditubuhkan pada tahun 1951, tak sedikit pimpinan dipelbagai peringkat keluar daripada jamaah dengan pelbagai alasan, namun PAS tetap mara membadai ujian dan mehnah sehingga sebaris dengan gerakan Islam antarabangsa serta menjadi gerakan massa yang penting negara ini.

Yang DiPertua (Presiden) PAS yang pertama , Ustaz Haji Ahmad Fuad antara sosok awal yang keluar daripada PAS dengan beliau memilih UMNO sebagai wadah perjuangan dalam dekad 50an.

Harakatul ummah ini terus digerakkan oleh figura lain dalam dekad 1950an, Dr Abbas Alias, Prof Zulkifli Mohamad, Dr Burhanuddin al-Helmi, ribuan guru-guru agama dan para santri.

PAS memenangi negeri Terengganu dan Kelantan dalam pilihanraya tahun 1959.

Dalam dasawarsa 1960an, kocakan politik berlaku di Terengganu apabila ada ADUN yang “diculik” akhirnya melompat parti sehingga jatuh kerajaan PAS Terengganu.

PAS Terengganu terus diperkuatkan sehingga Pilihanraya 1969, UMNO hampir tewas di Terengganu dengan jurang hanya dua kerusi sahaja kepada PAS.

Dekad 1970an adalah dekad yang sangat mencabar kepada PAS apabila menjadi sebahagian daripada kerajaan Persekutuan.

Pimpinan PAS menjadi Menteri dan Timbalan Menteri serta pelbagai jawatan penting dalam kerajaan termasuk menjadi tonggak dalam YADIM bagi mengarusperdanakan kebangkitan semula Islam.

Implikasinya sangat besar apabila PAS dalam kerajaan campuran ini, ada pimpinan dan ahli yang keluar parti, ada yang mengambil sikap “merehatkan diri” daripada jamaah seperti almarhum Ustaz Amaluddin Darus, Almarhum Ustaz Yazid Jaafar dan lain-lain.

Manakala mantan Bendahari Dewan Pemuda PAS Pusat terus menggerakkan Darul Arqam sebagai badan dakwah dan ekonomi ummat.

“Panglima Jihad PAS” Ustaz Hassan Adli antara yang keluar daripada PAS dalam dekad 70an, beliau tokoh besar PAS saat itu namun diakhir usia kembali menyertai PAS.

Ustaz Abu Bakar Hamzah, sosok penting dalam pimpinan PAS Pusat telah dikenakan tindakan disiplin dalam PAS, beliau antara intelegensia yang mapan, pandangannya hebat namun akhirnya dipecat daripada PAS.

Almarhum juga akhirnya kembali diterima menyertai PAS dan mati dalam PAS.

Krisis politik Kelantan pada tahun 1977 juga adalah satu ujian besar kepada PAS dalam menyikapi isu Menteri Besar Kelantan.

Krisis ini membawa kepada penubuhan parti baru, BERJASA oleh Dato Mohd Nasir.

PAS Kelantan hilang pengkalan kuasa dalam Pilihanraya tahun 1978 akibat krisis ini.

Selama 12 tahun usaha gigih dipacu oleh pimpinan dan ahli-ahli PAS Kelantan untuk merampas kembali Kelantan daripada BN pada tahun 1990.

Dalam dekad 1980an, simbahan semangat kebangkitan semula Islam memberikan suntikan energi baru kepada PAS.

Peserta-peserta kebangkitan semula Islam berbondong menyertai harakatul ummah ini, angin kebangkitan semula Islam ini turut mengubah PAS.

Muktamar PAS Pusat di Dewan Syed Nasir, Dewan Bahasa Dan Pustaka pada tahun 1982 telah menyaksikan Presiden PAS ,Dato Asri Muda serta belasan pimpinan yang lain bertindak meletakkan jawatan.

Muktamar 1982 menjadi ‘turning point’ kepada usul Kepimpinan Ulama oleh DPPP, namun membawa kepada keluarnya Dato Asri dan rakan-rakan daripada jamaah Islam ini.

PAS terus melangkah gagah dengan “young blood” yang terus mengampuhkan gerakerja jamaah.

Agenda perkaderan dakwah, pecutan jihad ta’lim, pemerkasaan gerakan dakwah, pemulihan semangat ahli-ahli, markas tarbiah PAS tumbuh seperti cendawan selepas hujan.

Akhir dekad 80, ahli-ahli PAS dikejutkan dengan berita keluarnya tokoh besar PAS, Dato Nakhaie Ahmad keluar daripada PAS dengan 11 orang anak buahnya.

Beliau antara pembentang utama kertas-kertas kerja program perkaderan atau tajnid namun itulah hakikat pada pahatan takdir!

PAS terus melebarkan sayap, merencah strategi politik dakwah sehingga merampas kembali Kelantan pada tahun 1990 serta mengukuhkan pasak di negeri Terengganu.

Berkuasa di Kelantan juga tak sepi daripada isu keluar parti sebagaimana yang terjadi kepada mantan pemimpin PAS kawasan Pasir Puteh, juga kemunculan kelompok ISLAH sebelum PRU 1990 (para ustaz kelompok ISLAH ini akhirnya menyertai UMNO yang sebelumnya dilawan sengit oleh mereka).

Panjang untuk saya rakamkan semua kes keluar daripada jamaah Islam ini, ohh saya akhiri dengan tragedi 2015 yang lalu apabila seramai 18 orang mantan pemimpin utama PAS yang secara en bloc meninggalkan PAS akibat tewasnya mereka dalam pemilihan muktamar tahun tersebut.

Kelompok gerakan harapan baru ini akhirnya menubuhkan PAN untuk terus bermuafakat dengan Dap.

Unjuran masa depan PAN berasaskan keputusan PRN Johor (kubu Pan) menunjukkan mereka akan semakin lemah dan mengecil.

Buat teman-temanku yang meninggalkan jamaah Islam serta berniat untuk meninggalkan harakatul ummah ini, ingatlah sahabat semua.

Saat kita berbaiah,saat kita mereguk nikmatnya ukhuwwah, kita sulam dan rimbunkan manisnya perjuangan walau disiram basah gas dan air kimia pemedih mata, namun jika tarikan pesona dunia menyebabkan kita tergiur untuk melepaskan ikatan perjuangan.

Sahabat-sahabatku semua, hidup ini sangat singkat, jamaah Islam ini tidak kerugian tanpa kita namun kita yang akan menjadi kambing yang akan diterkam sang serigala pelahap!

Sejarah tidak pernah menipu sahabatku, percayalah kerana aku meninta daripada lubuk hatiku yang paling dalam mengimbau 70 tahun lebih perjuangan PAS dan pemimpin yang datang dan pergi.

Oleh : Dr Riduan Mohamad Nor

(Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI)

Kolumnis