UMNO Perlu Buktikan, Menawarkan Dan Merawat Luka PAS

UMNO Perlu Buktikan, Menawarkan Dan Merawat Luka PAS

Antara masalah terbesar penyatuan Melayu Muslim adalah UMNO dan PAS.

UMNO kena akur, puluhan tahun mereka menyiksa PAS terutama di Terengganu dan Kelantan.

Banyak hak negeri dipinggirkan dek kerana perbezaan politik yang berlaku.

Dengan orang/parti lain, UMNO/BN boleh sahaja berlembut.

Dahulu, apabila terlepas Sabah, tak ada masalah apa.

Begitu juga Pulau Pinang, sehingga kini amat kurang tekanan yang dikenakan.

Tetapi dengan PAS, terlampau berkira.

Terlepas pada orang lain boleh, asal bukan PAS.

Apa yang UMNO tidak lakukan terhadap PAS di Terengganu dan Kelantan.

Dari royalti sampailah jalan raya dan lebuhraya.

Hingga kini, kedudukan jalan raya dan lebuh raya kedua negeri masih berada pada tahap amat menyedihkan.

Tiba-tiba lebuh raya terhenti di Terengganu.

Saya baharu sahaja balik dari Gua Musang, menelusuri jalan Kenyir.

Usah buat-buat lupa.

Luka di tangan nampak berdarah, dalam hati terpendam lama.

Ini belum kira lagi dalam konteks individu, keluarga dan wakil rakyat PAS.

Kepada mereka yang menyokong PAS, ada sahaja yang tidak kena.

Penjawat awam kena pindah, mohon kerja kena kerat awal-awal, anak tak dapat biasiswa-zakat, tak naik pangkat, tak dapat tetap bila dah kerja dan banyak lagi.

Jangan buat-buat lupa.

Ketika bermusuhan, berapa banyak peruntukan wakil rakyat PAS kena kerat.

Bukan setahun dua, tetapi memakan puluhan tahun.

Rakyat menderita.

Bahkan demi kalahkan PAS, UMNO sanggup ubah sempadan menangkan BN.

Negeri macam Terengganu hanya dapat 8 parlimen.

Akhirnya, senjata makan diri MCA, DAP yang dapat manfaat.

Tulisan ini bukan bermaksud, nak ungkit apa yang berlaku, tetapi UMNO perlu sedar, kegersangan hati PAS bukan tanpa asas.

Apatah lagi jika dilihat dalam konteks Pantai Timur.

UMNO kenalah bayar balik harga puluhan tahun menderita itu dengan memberikan sedikit rasa keyakinan pada PAS.

Justeru, UMNO perlu lakukan muhasabah segera, jangan terlalu angkuh dan sombong, melalui kenyataan demi kenyataan yang dikeluarkan tanpa menoleh, mengimbau sejarah hitam yang ditinggalkan kepada PAS.

Hari ini, jika mahu berkuasa, UMNO tidak boleh lari daripada menjunjung ketuanan Melayu, kerjasama BN perlu dilihat pada lapisan yang kedua.

Ketuanan Bumiputera perlu diberikan perhatian serius.

Integrasi Bumiputera first, integrasi Melayu Cina India itu adalah lapisan kedua.

Justeru, UMNO perlu lebih berani membuktikan mereka lebih mesra PAS dari PPBM.

UMNO jangan cuba berlagak nak tekan PAS macam dulu-dulu.

Sebagai contoh ugut nak bersama cikgu aka keadilan.

Ingat, PAS itu hasil tarbiyah UMNO.

Bila UMNO terutama sebelum zaman Pak Lah, berlagak bangga dengan nasionalis sekular siap ternak anti hadis, PAS teguh menolak sekular.

Bila UMNO zaman dulu-dulu tak mesra Sekolah Agama Rakyat (SAR), PAS membela sekadar yang termampu, maka lahirlah alternatif macam PASTI.

Justeru tekanan demi ugutan yang berkesinambungan, menjadikan PAS sebuah parti yang kalis tekanan dan ugutan.

Alah bisa tegal biasa.

Setakat ugut nak bersama Cikgu Keadilan apalah sangat.

PAS senyum jer sambil garu hidung.

Apatah PPBM yang dulu-dulunya adalah UMNO, dan sebahagian pemimpinnya inilah masih dalam UMNO, yang jadi juara menghentam dan menfitnah PAS sehingga PAS beri respon yang agak agresif.

Memali di mana Memali.

UMNO kena pandai memujuk PAS, jangan di Terengganu penuh provokasi mencabar, di negeri lain buat-buat baik.

UMNO sebagai abang besar kena fikir dalam konteks bernegara, jangan ingat konteks bernegeri macam UMNO Terengganu.

Akhirnya PAS menang negeri, UMNO bergadai negara.

Dalam bab ini UMNO kena belajar dari PPBM.

Kena pandai bagi UMPAN, bagi jawatan.

Ingat PAS tak alah dengan ugutan, PAS kalah dengan jawatan.

Ugutan dah kalih dah.

Tak jadi apa dah.

Tetapi jangan salah faham jawatan sebagi umpan.

Jawatan dan tolak ansur kepada PAS perlu dilihat dalam konteks menghiburkan dan menampung balik apa yang berlaku.

Luka lama perlu dibalut.

Macam si suami bila bersalah, dia pujuk isteri dengan gelang emas.

Bila isteri terima bukan bermaksud isteri mata emasan, tetapi semacam bukti bahawa suami sudah insaf dan mahu merawat semalam nan luka.

Jangan dahlah luka, tiba-tiba datang orang luar tawarkan tempayan emas.

Isteri tertawan bukan kerana emas tapi kerana melihat kepada kesanggupan memujuk dan merawat.

PAS hakikatnya bukan buruk hati sangat pada UMNO.

UMNO sedari PAS ada kelemahan, UMNO tidak kurang juga.

Namun, kedua-duanya sayangkan agama dan bangsa.

Bila UMNO terciduk, PAS datang menghulur tangan, kerana agama dan bangsa.

MCA ada ker, ugut adalah?

Begitu juga dengan PN, pada mulanya pun demi negara dan bangsa.

Tapi bila dah berkawan dengan siapa-siapa, PAS akan mempertahankan kawan.

Dulu dengan DAP, dengan PKR, kini dengan PPBM.

Untung tau berkawan dengan PAS, PAS tak kalah kepada lawan, tapi kepada kawan.

Nak makan PAS ni jangan lawan, tapi berkawan macam DAP dan PPBM.

Tapi bagusnya UMNO setakat ini, PAS berkawan tidaklah sampai jadi parasit untuk rosakkan kawan.

Bab tak cuba kuasai kawan ini UMNO.

Bab ini UMNO kena bagi lima bintang.

Yang lain, sendiri mau ingat.

Dalam PRN Johor, UMNO jangan terlalu yakin sangat.

Buang sifat angkuh dan sombong jika ada.

Keadaan dahulu dan sekarang berbeza.

Undi 18 bertambah begitu drastik.

Jika satu pun kerusi tidak diberikan kepada PAS (daripada empat seperti disebut), saya cadangkan PAS bertanding sahaja di kawasan majoriti Melayu, yang UMNO letakkan MCA/MIC.

Saya yakin PAS akan peluang besar di situ.

Namun, jika pun benar UMNO beri empat kerusi, PAS juga bertanding di kawasan MCA/MIC majoriti Melayu.

Bukan saya menolak ada parti seperti MCA/MIC/Gerakan, tetapi kekuatan mereka harus diuji dahulu di kawasan bukan Melayu, bukan kawasan majoriti.

Paling menyedihkan bila menang di kawasan Melayu, menjadi gunting dalam lipatan, tidak bersyukur….

Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah

Kolumnis