TAN Sri Muhyiddin Yassin hari ini menafikan dengan tegas kenyataan seorang saksi dalam kes perbicaraan rasuah Datuk Seri Ahmad Zahidi Hamidi yang menyatakan beliau menerima RM1.3 juta daripada Ultra Kirana Sdn Bhd.
Sambil menyifatkan ia sebagai penyataan palsu, Muhyiddin turut menegaskan, tarikh yang dinyatakan oleh saksi berkenaan David Tan iaitu antara Jun dan Ogos 2018 juga tidak berasas.
”Pada tarikh tertentu yang dinyatakan oleh saksi kononnya saya telah menerima sogokon wang tunai, saya sebenarnya sedang menjalani rawatan di sebuah hospital di luar negara,” katanya yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN).
Berikut adalah kenyataan penuh Muhyiddin:
Saya dimaklumkan tentang keterangan mahkamah yang diberikan seorang pengurus pentadbiran syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) yang terlibat dalam kes sogokan Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi
Pada masa itu, saya menjalani pembedahan kanser dan kemudian mengambil cuti selama beberapa bulan untuk rawatan lanjut.
Tugasan saya sebagai Menteri Dalam Negeri telah diambil alih oleh YAB Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika itu.
Hal ini tersebar luas dalam media massa
(lihat pautan: https://www.malaysiakini.com/news/433930)
Saya dengan ini menyatakan bahawa saya tidak pernah menerima, secara langsung atau tidak langsung, sebarang wang daripada David Tan, saksi dari Syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd, pengarahnya ataupun pemegang sahamnya.
Saya juga tidak pernah disoal atau disiasat oleh pihak berkuasa berkenaan dengan tomahan ini.
Adalah diharapkan pihak pendakwaan akan menjelaskan perkara ini supaya tidak menimbulkan fitnah buruk terhadap saya sedangkan saya tegas menentang rasuah.
Saya juga bersedia untuk disiasat oleh SPRM berhubung dakwaan ini.