Filem arahan Syamsul Yusof kali ini, sememangnya memberi impak yang besar kepada orang Melayu Islam.
Banyak dialog dari karakter dalam filem ini telah “mencengkam” jiwa orang Melayu.
Apatah lagi, apabila keluar daripada karakter pegawai British yang mengatakan bahawa orang Melayu tidak pernah mahu bersatu.
Mereka tahu orang Melayu kuat, tetapi mereka berani menjajah kerana “sifat buruk” yang ada di kalangan orang Melayu menyebabkan mereka berani untuk menjajah.
Terasa seperti “ditampar” dalam pawagam ketika terdengar dialog ini.
Mana tidaknya, apa yang diungkapnya, sememangnya sangat tepat dengan keadaan yang berlaku dalam tanah air, sejak dulu sehinggalah hari ini.
Secara tidak langsung, sutradaranya berjaya menyampaikan mesej secara ‘direct’ kepada orang Melayu, supaya sedar dari mimpi.
Bahawa bangsa Melayu bukanlah lemah, tetapi menjadi lemah kerana sifat buruk yang saling menjatuhkan sesama sendiri, dengki khianat dan “mudah dibeli” oleh orang lain.
