Implikasi Episod-Episod Hitam Kluster Mahkamah

Implikasi Episod-Episod Hitam Kluster Mahkamah

Selepas ‘big boss’ UMNO didapati bersalah, kini ‘primadona’-nya pula dihukum.

Maknanya, sudah dua kes berturut-turut UMNO menanggung impaknya.

Kes Zahid, Bung Karno dan Azeez Rahim dalam proses.

Kes-kes yang berepisod ini akan menyusut beberapa peratus undi untuk UMNO hingga PRU15.

Persoalannya, ke mana undi-undi itu akan beralih?

UMNO umpama sedang mendukung biawak hidup.

Walaupun cakarannya melukakan badan tetapi biawak itu masih dikendong dengan penuh manja.

Biawak-biawak kesayangan tadi konsisten mencipta mimpi indah agar mereka tetap diulik sayang yang manusia yang mendukungnya.

Adakah kluster mahkamah masih ‘buat-buat’ optimis undi UMNO tidak akan beralih ke lain?

Adakah UMNO masih bersedap hati pada kemenangan besar di kubu kuatnya ketika PRN Melaka dan PRN Johor?

Adakah jutaan pengundi baru U18 yang sangat dekat dengan medsos akan mengundi UMNO?

Rasanya jauh panggang dari api bagi generasi maklumat di hujung jari.

Jadi, sekiranya kluster mahkamah terus bercakap besar demi mengabui ahli di bawah, UMNO akan jatuh terduduk sebagaimana apa yang berlaku di PRU14 dulu.

Secara matematiknya, UMNO/BN tidak akan cukup kerusi untuk memerintah.

Melalui respon terbarunya terhadap ucapan Timbalan Presiden PAS, Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man, Zahid Hamidi diyakini telah nekad berpatah arang berkerat rotan dengan PAS.

Seandainya gagal menang secara solo, kluster mahkamah nampak PH boleh disepakati sebagaimana dibayangkan jajaran baru.

Tidak semudah itu!

Pastinya sebahagian ahli Parlimen, ahli MKT, Ketua-Ketua Bahagian dan ahli akar umbi tidak setuju dan menentang usaha jajaran itu.

Sebenci-benci pun mereka kepada PAS dan BERSATU, kata orang sebusuk-busuk daging, dikincah-kincah dimakan juga.

Ketika itu barulah kluster mahkamah bangkit dari lamunan.

Habis, ke manakah pengundi U18 dan pengundi UMNO akan beralih?

Sebahagian besar pengundi U18 bukan Melayu pastinya memangkah PH.

Manakala pengundi Melayu/Bumiputera U18 dan sebahagian pengundi UMNO akan beralih ke PN.

Sukar bagi mereka memberi undi kepercayaan kepada PH buat kali kedua.

Faktor pertama, hancing kencing PH masih melekat di minda mereka.

Faktor kedua, DAP banyak mengganggugugat kedudukan Melayu dan Islam pada era pemerintahan PH.

Mereka tak akan lupa kemusnahan yang dibawa oleh DAP.

Inilah situasi yang akan berlaku impak daripada siri kes salah guna kuasa pemimpin UMNO.

Faktor penarik ke PN ditambah oleh rekod perkhidmatan PM Muhyiddin.

Muhyiddin dekat di hati rakyat dengan peranan sebagai ‘Abah’ ketika berhadapan dengan cabaran pandemik.

Pelbagai peruntukan dan bantuan kepada rakyat disalurkan.

Keperihatinan ini mencatat rekod bantuan terbesar dalam sejarah oleh seorang PM.

Faktor PAS pula ialah rekod perkhidmatan para menteri dan MB-nya yang bersih dan cemerlang di mata rakyat terutamanya pengundi baru U18.

Jelas mereka bekerja untuk rakyat tanpa politicking di luar batas.

8. Apabila PN mendapat kerusi majoriti di Semenanjung, pastinya parti-parti di Sabah dan Sarawak akan bersama dalam kerajaan Persekutuan.

Walaupun mungkin sukar untuk mendapat majoriti 2/3, namun PN akan mentadbir negara dalam keadaan lebih selesa.

Tiada lagi kebimbangan oleh kemungkinan lompat parti dan seumpamanya.

Bagaimanakah kedudukan UMNO ketika itu?

Adakah UMNO dengan muka sebal dan bebal akan mencari PAS dan BERSATU?

Dan adakah PAS dengan rendah hati sekali lagi akan menarik tangan UMNO?

Dalam bab ini, penulis sentiasa percaya akan keilmuan dan kebijaksanaan para pemimpin PAS.

Ini jelas dan pasti.

Akhir kalam, pada pemerhatian penulis lorong ke arah itu telah terbuka.

BayangDiAir,

Kolumnis