Kerajaan Negeri Terengganu telah melancarkan Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan Negeri Terengganu pada 12 Mac 2020 bagi memandu setiap bidang yang dijalankan mematuhi syarat patuh syariah.
Pada tahun 2018 juga, pemakaian atlet patuh syariah telah diperkenalkan dan mula dijalankan secara berperingkat pada 2019.
Saya memuji inisiatif YB Ustaz Hishamuddin Abdul Karim, Timbalan Exco Belia, Sukan dan NGO yang memberikan inisiatif penghargaan kepada pemain bola sepak SUKMA Terengganu yang menutup aurat.
Mufti Terengganu juga dilantik sebagai Anggota Lembaga Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu bermula pada tahun 2019.
Kempen Indahnya Hidup Bersyariat telah dimulakan pada 2019 melibatkan setiap lapisan masyarakat dengan kerjasama Jabatan Pelancongan serta Pihak Berkuasa Tempatan dan diteruskan lagi pada tahun ini dengan Karnival Pembudayaan Hidup Bersyariat.
Alhamdulillah, bagi menggalakkan lagi dan memberi ruang kepada golongan wanita untuk terus aktif dan berdaya saing dalam sukan di samping menjaga syariat, sebuah program khas diadakan oleh Urus Setia Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu dan ADUN Wanita Terengganu dengan pelbagai agensi, unit tubuh serta Institusi Pengajian Tinggi Awam.
Penganjuran acara secara tertutup kepada kaum hawa ini diharapkan dapat menggalakkan lebih ramai penglibatan kaum hawa.
Syabas dan tahniah atas usaha mengadakan Kejohanan Sukan Wanita Terengganu 2022 ini.
Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar