Mungkin Ini Sisi PAS Belum Ramai Orang Tahu

Mungkin Ini Sisi PAS Belum Ramai Orang Tahu

“Mungkin ini sisi PAS yang belum ramai orang tahu,” ujar Timbalan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Menerusi catatan di laman Facebook semalam, beliau memetik ucapan ringkas Ketua Penerangan Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Dr Balachandran Gopal Krishnan dengan tajuk ‘Orang INDIA Ajak Kita Hayati Sirah Rasul SAW’.

Dalam ucapan sempena Deepavali, Dr Balachandran dipetik sebagai berkata:

“Rasulullah SAW berperanan sebagai ketua negara yang memimpin Madinah dalam keadaan berbilang kaum”.

“Beliau juga merupakan Pegawai Khas (Hal Ehwal Bukan Islam) kepada YAB Menteri Besar Terengganu.

“PAS membuka ruang kepada orang bukan Islam yang ingin bersama berjuang,” kata Tuan Ibrahim.

Menurutnya, mereka diberikan kedudukan khas dalam Dewan Himpunan Pendukung PAS (dulu Kelab Penyokong PAS) dengan jumlah keahlian lebih kurang 60,000 orang.

Tambahnya, ramai ahli DHPP juga secara sukarela belajar Sijil Asas Kefahaman Islam di Institut Latihan Kepimpinan dan Perkaderan Dakwah Islamiyah (ILHAM).

Katanya lagi, Pengerusi DHPP ialah Balasubramaniam yang dilantik sebagai Senator Dewan Negara.

Pada PRU14 lalu, ujarnya seramai 17 orang ahli DHPP dipilih untuk menjadi calon PAS antaranya Kong Tuck Wah (Rawang), M Yougan (Kampar) dan G.S Santokh Singh (Pandamaran).

Tambahnya, salah seorang pegawai khas kepada Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Siti Zailah juga adalah ahli DHPP iaitu R Kumutha.

“Walau bagaimanapun, beliau telah meninggal dunia kerana komplikasi Covid-19.

“Mendiang merupakan Ketua Wanita DHPP dan ahli PAS sejak 2008 yang sangat kuat bekerja.

“Beliau turut pernah dinobatkan sebagai Wanita Cekal PAS pada tahun 2018,” ujarnya yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air.

Politik