Bekas Ahli Tak Mahu Subahat Dengan Pemimpin Menyamak Dan Sucikan DAP

Bekas Ahli Tak Mahu Subahat Dengan Pemimpin Menyamak Dan Sucikan DAP

Walaupun terdapat cubaan memujuk bekas ahli UMNO agar kembali ke pangkuan parti itu, tetapi tidak semua rela kembali kerana kini sudah lari daripada landas perjuangan.

Bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata pemecatan dan ramai ahli dibuang sebelum ini kerana tidak sependapat dengan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang merancang jajaran baharu bersama cikgunya dan DAP.

“Memang tak salah terima semula mereka yang dipecat, yang buat salah selama ni adalah mereka yang memecat dan menghukum gantung pemimpin-pemimpin UMNO yang berbeza pendapat dengan Presiden dan menentang Presiden di atas pengkhianatan yg dilakukannya sejak tahun 2020 apabila menyokong Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri dan membentuk jajaran baharu dengan DAP dan PKR,” katanya dalam satu kenyataan.

Tun Faisal berkata walaupun ditawar jawatan untuk kembali ke pangkuan sekali pun, beliau tidak akan kembali untuk bersubahat dengan mereka yang menyamak dan menyucikan DAP dan menyokong bekas penjenayah.

“Secara peribadi, saya tidak berminat, walaupun jika ditawarkan jawatan yang sama dalam UMNO, jawatan dalam kerajaan dan wang ringgit, sebab saya tak mahu bersubahat dengan pengkhianatan Zahid terhadap pengundi-pengundi tradisi UMNO.

“Saya tidak sanggup bersubahat menyamak dan mensucikan DAP, bekas banduan penjenayah liwat dan golongan liberal sekular yang telah banyak mengakibatkan ketidakstabilan dalam negara dan gangguan kepada keharmonian masyarat berbilang kaum dan agama di negara ini,” ujarnya lagi.

Malah, Tun Faisal berkata UMNO kini sudah tidak dapat dipulihkan apabila ramai pengundi sudah menolak mereka, khususnya pengundi tegar parti itu.

“Saya juga tak berminat sebab melihat selagi Zahid merupakan Presiden UMNO, UMNO ini beyond repair dan tetap ditolak rakyat, terutamanya pengundi tradisi UMNO dan BN (Barisan Nasional).

“Pada pandangan saya, mereka yang bermaruah juga akan menolak jika ditawarkan menjadi ahli semula kerana mereka tahu mereka tidak bersalah sebaliknya Zahid dan penyokong-penyokongnya yang bersalah sehingga UMNO gagal teruk semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15),” katanya lagi.

Untuk rekod, Tun Faisal sebelum ini juga dipecat UMNO kerana melantang dan menentang kerjasama dengan DAP dan Anwar.

Terdahulu, buat julung kalinya UMNO menjemput Anwar bersama DAP dan pemimpin parti dalam kerajaan campuran ke Perhimpunan Agung (PAU) mereka.

Malah, UMNO juga memberi penghormatan kepada Anwar untuk duduk di atas pentas utama semasa PAU semalam.

UMNO