Kerajaan Anwar Tiada Hala Tuju Urus Ekonomi : Azmin

Kerajaan Anwar Tiada Hala Tuju Urus Ekonomi : Azmin

Pentadbiran kerajaan campuran BN-PH yang dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini dilihat masih tidak mempunyai hala tuju yang jelas dalam mengemudi ekonomi negara ketika situasi ekonomi tempatan semakin mencabar.

Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa Dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata keadaan itu mengakibatkan kemarahan dan kebangkitan rakyat yang semakin memuncak terhadap kerajaan melibatkan golongan kelas berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40).

“Apabila kadar polisi semalaman (OPR) dinaikkan pada 3 Mei lalu, kos pinjaman di bank-bank akan menjadi lebih mahal daripada sebelum ini.

“Kita juga melihat pelabur asing tidak yakin dengan kepimpinan Putrajaya kerana mereka melihat tiada kebijakan ekonomi komprehensif,” katanya, lapor MalaysiaNow.

Media melaporkan pelabur asing menjual RM4.19 bilion saham di Bursa Malaysia dalam masa enam bulan pertama tahun ini.

Anwar yang juga menteri kewangan sebelum ini mengaku sanggup dilabel ‘flip-flop’ demi kebajikan rakyat apabila membatalkan beberapa keputusan kerajaan termasuk melibatkan subsidi ayam dan telur serta biasiswa pelajar perubatan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Menurut Azmin, kenyataan itu adalah perkara serius yang memberi kesan aspek kepastian dalam sesuatu dasar.

“Apabila kerajaan mengakui ini adalah kerajaan ‘flip-flop’, pelabur-pelabur asing bimbang pelaburan mereka dalam jumlah yang besar akan terkesan.

“Jika pelabur-pelabur asing tinggalkan (negara), peluang pekerjaan dalam kalangan anak muda akan terkesan,” katanya.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor itu berkata penurunan nilai ringgit menyebabkan negara menjadi semakin tidak  kompetitif.

“Antara komponen besar import negara adalah ‘intermediate goods’. Sebahagiannya bahan-bahan mentah berkualiti yang tiada dalam negara. Kita akan pasang dan beri nilai tambah sebelum mengeksport semula.

“Jadi apabila barangan-barangan ini menjadi semakin mahal, kita tidak akan mampu mengimport,” katanya.

Selain itu, Anwar yang juga Pengerusi PH mendakwa ‘geng kaya’ berkomplot menjatuhkan pentadbirannya namun tidak mendedahkan siapa yang dimaksudkan itu.

Namun bagi Azmin, kenyataan seperti itu tidak wajar diucap oleh seorang perdana menteri yang harus bertanggungawab menjaga pelabur-pelabur asing dan tempatan.

“Mereka tidak harus diberikan tanggapan negatif seperti ini. Sekiranya benar beliau diugut oleh golongan kaya, bukti harus dikemukakan kepada pihak berkuasa.

“Tidak boleh sewenang-wenangnya beliau wujudkan satu persepsi negatif,” katanya.

Sebelum ini juga Anwar mendakwa orang miskin di negara ini diupah untuk membuat kekacauan.

Sehubungan itu, Azmin berkata Anwar harus meletak jawatan jika ditolak oleh golongan kaya dan miskin.

“Kalau orang miskin tolak beliau, orang kaya tolak beliau, eloklah letak jawatan.

“Beliau hari ini terlalu sibuk untuk menjaga rakan-rakan kongsi baru dalam kerajaan campuran,” katanya.

Tambahnya, Anwar kini tersepit antara rakan-rakan gabungan dalam kerajaan campuran.

“Beliau kena jaga hati (Datuk Seri) Ahmad Zahid Hamidi dan tuntutan daripada DAP.

“Maka beliau hilang fokus dan pertimbangan untuk memberi tumpuan kepada persoalan ekonomi, hubungan antarabangsa dan keperluan rakyat hari ini,” katanya.

Isu Semasa