Tun Dr Mahathir Mohamad tampil sepentas dengan barisan tertinggi Perikatan Nasional (PN) dalam Program Munajat Rakyat Kelantan Pakat Pertahan dan Amanah Pimpinan di Stadium Sultan Muhammad IV malam tadi.
Bekas Perdana Menteri itu yang kini diserang kerajaan campuran menggesa supaya orang Melayu keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos inijika tidak mahu mereka yang tidak layak menjadi pemimpin terus memerintah negara.
“Saya harap kita dapat sapu bersih PRN tidak lama lagi. Saya yakin kemenangan akan dicapai bukan sahaja di Kelantan, Terengganu dan Kedah, sebaliknya turut membabitkan Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.
“Kita lihat kadang-kadang orang Melayu tidak keluar mengundi kerana bosan dengan politik, jika kita tidak keluar ia seperti kita memberi undi kepada mereka yang tidak layak untuk mendapat kemenangan dan mendirikan kerajaan,” katanya semasa berucap di program tersebut.
Program malam tadi turut menampilkan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalannya, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Dr Mahathir berkata, beliau sudah berkecimpung dalam politik selama 80 tahun, namun inilah perhimpunan yang terbesar.
“Saya bersyukur dapat bersama dan berada di stadium malam ini yang menunjukkan bahawa kita orang Melayu masih mempunyai kekuatan.
“Saya juga gembira kerana hari ini saya dapat datang ke Kelantan dan amat gembira kerana dapat menziarah tempat Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz dan keluarganya yang sudah mencipta perjuangan parti PAS.
“Pembangunan di Kelantan sudah pesat dan sudah ada bangunan pencakar langit di Kota Bharu,” katanya lagi.
Himpunan malam tadi menyaksikan Stadium Sultan Muhammad IV dipenuhi ribuan orang ramai yang hadir untuk mendengar amanat pemimpin PN menjelang PRN di enam negeri pada 12 Ogos ini.