Setelah menjadi tumpuan akibat disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Rabu lalu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kedah (MBI Kedah) tampil di pentas ceramah, malam ini.
Mohd Sabri Osman berkata dia tampil untuk menerangkan kepada rakyat tentang kelicikan musuh politik Kedah itu yang hanya mahu mencalarkan imej pentadbiran negeri tersebut.
“Saya tidur di lokap tiga malam setelah ambil keterangan sehari tidak selesai. Hari ini saya naik pentas untuk menerangkan kepada tuan-tuan dan puan-puan betapa jahat dan liciknya mereka.
“Kebanyakan orang tidak faham bagaimana proses perundangan. Yang pertama, mereka mengambil keterangan untuk saya diambil tiga hari berturut-turut. Untuk siapkan 27 muka surat kertas keterangan.
“Selepas itu, akan dikaji sama ada ada kes atau pun tidak ada kes. Kalau ada kes maka akan dibuat pertuduhan. Itu tahap kedua, dan tahap ketiga, kita akan hadir di mahkamah untuk dibicarakan, sama ada kita bersalah atau pun tidak bersalah.
“Tapi musuh politik kita, soal mewujudkan pertuduhan, soal bicara di mahkamah, soal keputusan mahkamah itu tidak penting bagi mereka.
“Yang penting adalah mencalarkan imej, memburukkan perwatakan kerena mereka sungguh-sungguh mahu membunuh karakter seseorang,” katanya.
Beliau berucap pada program Ceramah Gelombang Perikatan Nasional di Kuala Ketil, Kedah, malam ni.
Rabu lalu, media melaporkan CEO MBI Kedah diteman selamat tiga hari bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah dan salah guna kuasa berkait aktiviti perlombongan unsur nadir bumi (REE) berjumlah lebih RM13 juta.
Dalam pada itu, menurut Mohd Sabri apabila gambarnya berpakaian lokap SPRM berwarna oren itu disiarkan, cerminan yang cuba disampaikan kepada umum adalah beliau bersalah sedangkan ketika itu baru diambil keterangan.
“Kita dipakai pakaian oren, tertulis lokap untuk mencerminkan kita salah. Orang awam tidak tahu kita salah atau tidak. Kita baru diambil keterangan. Tapi imej yang dilontarkan kepada rakyat seolah-olah kita bersalah.
“Maka saya hadir pada malam ini untuk menegaskan, insya-Allah tidak ada apa-apa yang kita (MBI Kedah) buat,” katanya.
Menjelaskan kronologi kes berkaitan REE itu, Mohd Sabri berkata beliau bersungguh-sungguh berusaha untuk membangunkan ekonomi Kedah namun difitnah sebagai pencuri yang dilindungi Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
“Saya ikuti angka pendapatan negeri Kedah. Pendapatan Kedah hanya antara RM600-700 juta kadang-kadang sedikit melebih RM700 juta. Tidak pernah mencecah RM1 bilion.
“Negeri Kedah negeri kita yang miskin, saya tidak mahu terus melihat negeri Kedah dan rakyatnya berada dalam kemiskinan.
“Amanah yang diberikan kepada saya untuk membantu Kedah, membangunkan ekonomi, menduduki tempat yang atas di dalam susunan ekonomi di Malaysia.
“Kita mencari sumber baharu di Kedah dan sumber itu ditemui yang dinamakan REE atau unsur nadir bumi. Kita berusaha bersungguh-sungguh, tak berhenti saya berjumpa dengan MB, setiausaha kerajaan negeri, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian, Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains untuk dapatkan kelulusan. Saya juga bincang dengan kementerian untuk dapatkan SOP.
“Tiga tahun belum pun berhasil, malangnya ada orang yang datang mencuri. Si pencuri telah ditangkap, dihukum tiba-tiba dikaitkan, kita (MBI) adalah pencuri dan MB adalah yang melindungi kita (MBI). Ini adalah fitnah semata-mata,” katanya.