Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rantau Abang, Cikgu Alias Harun yakin dengan gelombang anak muda dalam mempertahankan kerajaan negeri.
“Suasana politik sekarang ini, alhamdulillah saya yakin gelombang anak muda dan perubahan yang berlaku di Malaysia ini,” ujarnya ketika ditemui di Kampung Baru Kuala Abang.
Beliau yakin polisi yang telah ditunjukkan oleh kepimpinan ulama akan meneruskan agenda memartabatkan Islam di negeri ini.
“Insya-Allah kepimpinan mempunyai pandangan yang lebih luas, jauh masa depan PAS ini untuk kita meneruskan segala agenda kita terutama sekali agenda untuk memartabatkan Islam di bumi Allah ini.
“Alhamdulillah sejak 1999 kemenangan kali kedua PAS ketika itu menteri besar, presiden kita meletakkan satu tanggungjawab yang mesti diperjelaskan dan mesti diadakan iaitu enakmen syariah negeri Terengganu.
Tambahnya, atas usaha pemikiran para ulama dan cendikiawan agama terhasilnya enakmen syariah negeri di mana pada 27 Oktober 2003 telah ditandatangani oleh Sultan Mizan Zainal Abidin yang mesti diwarta dan dilaksanakan.
“Walaupun kita tahu untuk melaksanakan hudud, qisas, takzir ini bukan satu benda yang mudah ia perlu menghadapi cabaran-cabaran,” ujarnya yang mesra dengan panggilan Cikgu Alias.
“Bagi takzir kita boleh luluskan di Dun tetapi bagi hudud terpaksa kita kena ubah mengikut peringkat di Dewan Rakyat dan ini merupakan satu cabaran kepada kita,” katanya yang juga Pengerusi MTD Rantau Abang.
Bagaimanapun, tegasnya agenda untuk melaksanakan Islam diteruskan kerana berpegang kepada ‘Islam itu tinggi tidak ada yang lebih tinggi’.
“Kita yakin dengan janji Allah bahawa Islam akan memerintah,” katanya lagi.
Justeru, ujar beliau yakin keputusan kepimpinan meletakkan calon yang lebih muda di Dun Rantau Abang adalah tepat dengan situasi kebangkitan anak muda sekarang.
Pada PRN kali ini, Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS negeri, Ustaz Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli dicalon untuk mempertahankan kemenangan yang diraih Cikgu Alias di Dun itu sejak dua penggal lalu.
Mohd Fadhli berdepan dengan calon BN, Mohd Asri Mohamad di Dun Rantau Abang yang mempunyai 33,394 pengundi.
