Penyatuan ummah tidak menjejaskan hak orang bukan melayu dan bukan Islam,” ujar Presiden Parti Islam Se-malaysia (PAS), Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
Beliau berkata, PAS konsisten mengajak semua pihak termasuk parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta tokoh masyarakat untuk memperkukuhkan perpaduan ummah.
“Apabila kita tidak bersatu, kepentingan orang Melayu Islam semakin hari semakin dipijak dan hak keistimewaan agama Islam dan hak orang Melayu dan bumiputera semakin dicabar.
“Seruan penyatuan ummah ini tidak menjejaskan hak orang bukan Melayu dan bukan Islam.
“Bahkan kita akan terus memelihara kebebasan beragama dan memberikan keadilan sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian berucap di Majlis Perasmian Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-69 bertempat di IDCC Ideal Convention Centre Shah Alam di sini semalam.
Tambah Abdul Hadi, Kita wajib menjaga perpaduan ummah yang sedang dibina hari ini.
“Jangan wujud sebarang perpecahan supaya kita tidak menjadi laksana lesung dan alu berlaga, ayam pula yang Kenyang.
“Kita sudah berjaya menarik sokongan pengundi Melayu Islam dalam PRU-15, maka usaha yang penting dan berat yang mesti dilakukan adalah menarik sokongan pengundi bukan Islam dan bukan Melayu dalam PRU-16.
“Perkara ini penting untuk dibincangkan dan dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh, tersusun dan bijaksana,” ujarnya.