600 Warga USIM Semarak Malam Cinta Rasul Dan Muzikal Dakwah 2023

600 Warga USIM Semarak Malam Cinta Rasul Dan Muzikal Dakwah 2023

Kira-kira 600 warga USIM terdiri mahasiswa dan mahasisiwi serta staff USIM membanjiri Pusat Komersil USIM di Nilai, Negeri Sembilan bagi memeriahkan Malam Cinta Rasul dan Muzikal Dakwah 2023 yang dianjurkan oleh Media Home Communication dengan kerjasama Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Bersempena menyambut bulan kelahiran Nabi Muhammad SAW, istimewa pada malam tersebut adalah tazkirah khas yang disampaikan oleh pendakwah terkenal Ustaz Naim Saadon serta moderatornya DJ Arief yang merupakan penyampai radio merangkap alumni USIM.

Program Muzikal Dakwah ini juga turut didendangkan alunan selawat dan qasidah yang diketuai Soutul Muazzin serta persembahan nasyid oleh Ustaz Ihsan Haji Daud, Ustaz Hariri Haji Daud dan Ustaz Zarifi Haji Daud yang dikenali sebagai Ustaz Tiga Beradik serta penampilan khas penyanyi terkenal tanah air, Mawi.

Ustaz Naim berkata dalam tazkirahnya, ikhlas mentaati serta mencintai Allah dan Rasul akan mendapat keseronokan dalam melakukan ibadah.

“Jadi, jagalah perkara-perkara fardu dan memperbanyakkan amalan sunnah serta sentiasa mengingati Rasulullah dengan berselawat keatasnya nabi junjungan kita,” ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Media Home, Encik Shahir Adnan berkata, program malam ini akan menjadi pencetus rasa cinta dan kasih kita kepada Nabi Muhammad sepanjang masa.

“Disaat kita berada dalam majlis yang penuh barakah ini dan turut mengingatkan kepada para hadirin yang hadir untuk bersama-sama bersolidariti di atas kekejaman Israel terhadap saudara kita di bumi Palestin,” ujar Encik Shahir Adnan.

Dia juga menyeru seluruh umat Islam mendoakan nasib warga di Gaza serta berharap dapat merealisasikan program sebegini lagi di USIM pada masa akan datang.

Siti Zuraini

Pendidikan