Dr Sam, Kemaman Dan Lonjakan Penolakan Pengundi!

Dr Sam, Kemaman Dan Lonjakan Penolakan Pengundi!

“UMNO cari penyakit sungguh ni, sakit bulih malu bulih… tak kabo ko Melayu serabut doh denga  Umno,” bebel seorang pakcik dalam usia akhir 50-an di Kedai kopi Jerteh.

Aku membiarkan dia melepaskan apa yang terbuku di relung hatinya.

Usai kuliah Subuh di daerah agrarian ini menjadi kebiasaanku menjamu jamaah kuliah Subuh, kadang tak sempat dihulur not berwarna kelabu, tangkas yang lain berebut pahala untuk membaja rezeki.

“Zaman dah berubah, dulu bolehlah, rakyat diikat dengan maklumat TV, sekarang ini masyarakat makin cerdik… maklumat di dalam telefon,” syarah seorang guru pencen dengan kepulan asap kopi menebarkan aroma dengan nasi berlauk ikan bekok yang kini menjadi fenomena di daerah kami.

Dua minggu sebelum penamaan calon, topik PRK Kemaman mula menjadi bualan rakyat jembel dan pelbagai strata sosial masyarakat di Negeri Terengganu.

Bila diumumkan nama Dr Samsuri (Dr Sam) sebagai calon PAS untuk PRK kemaman di Arena Square, euforia gembira menggegarkan seluruh dewan terbuka.

Jalan benderang dengan paling kurang petugas PRK tak perlu penat untuk memperkenalkan calon baru kepada pengundi.

Calon PAS PN dengan pakej kepimpinan, kompetensi, wibawa akademik dan telah membuktikan keupayaan menakhodai Terengganu selama sepenggal.

Keupayaan Dr Sam diketahui umum sehingga menatijahkan kemenangan berjaya 40-0 PAS PN di negeri Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong itu.

Alumni Sekolah Sains Sultan Mahmud, alumni UKM dan seterusnya bermukim ilmu di tanah leluhur empayar Pax Britannica

Pulang ke tanah air, menjawat jawatan sebagai Pensyarah kanan Universiti, juga dengan pelbagai jawatan di dalam PAS.

Ditarbiah oleh rahim tajnid PAS semenjak zaman remaja, bergulat dengan kaderisasi dakwah di kampus dan di zaman muda.

Pakar aero angkasa ini menjadi pembantu kanan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang sehinggalah diletakkan bertanding di DUN Rhu Rendang dalam PRU14.

“Kemaman ini insya-Allah, tempat orang cerdik… kalau letak botol mineral pun, PAS boleh menang,” kata Datuk Idris Haji Ahmad berlucu.

Namun akhirnya dijadikan isu oleh jentera BN-PH seolah PAS sombong dan memandang rendah kualiti calon lawan.

BN ketandusan isu kali ini, tiada pemimpin Umno negeri yang sanggup tertampar malu.

Dicalonkan mantan Panglima ATM yang mengaku terkeliru adakah konstitusi Kemaman kerusi DUN atau Parlimen!

 Di tengah kesuraman kempen BN-PH dalam musim tengkujuh kali ini, Mat Said pula memberikan peluru kepada jentera PAS dengan ceramah semberono mengenai Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.

Tak tergambar tahap intelektual mantan Menteri Besar ini yang sarat dengan bagasi sejarah sepanjang mentadbir Terengganu. 

Mat Said masih terperangkap dalam budaya politik Umno dekad 80-an dengan falasi dan naratif gelap yang memualkan.

Bayangkan sepanjang lima tahun Dr Sam memimpin Terengganu, sosok teknokrat ini tak disibukkan untuk menelanjangi kegagalan projek-projek mega zaman Mat Said.

Segalanya bersasar untuk membangunkan negeri dan menunaikan janji manifesto sehingga muncul keyakinan rakyat Terengganu terhadap kompetensi dan wibawa Menteri Besar PAS itu.

Masa kempen berbaki lagi lima hari, melihat kepada kesungguhan petugas dengan kerencaman program kempen, insya-Allah gelombang hijau akan menaufan Kemaman sekali lagi.

Kawasan pemukiman FELDA bukan lagi mimpi ngeri kepada PAS dan deposit tetap BN.

Sempat penulis berprogram di FELDA Neram, generasi kedua FELDA adalah menyokong PAS PN.

Peranti pintar telah merubah cara berfikir generasi kedua FELDA walaupun jentera BN cuba merengkuh sokongan masyarakat FELDA dengan pelbagai cara.

Daerah ini sarat dengan sejarahnya.

Gerakan Sarekat Islam Terengganu beroperasi di sini dalam suku abad pertama abad kedua puluh, didukung oleh guru agama dan santri dengan berinspirasikan Sarekat Islam Indonesia.

Mendobrak kemaraan penjajah sehingga kemuncaknya tercetus Perang Padang Kachong di Terengganu pada tahun 1928.

Kemaman juga menggamit memori tragedi Natrah yang dipelihara sebagai anak angkat oleh Mak Minah, seorang usahawan kaya daerah ini.

Maria Hertogh anak angkat Mak Minah daripada  Kemaman ini telah menggemparkan dunia Islam pada tahun 1950 dalam perbicaraan mahkamah di Singapura.

Kemaman mempunyai tarikan pesona tersendiri, ramai orang luar datang ke daerah agrarian ini dalam dekad 1940-an dan 50-an untuk membuka tanah-tanah pertanian.

Kenangan kolektif dalam keluarga  kami, iaitu almarhum datukku, Haji Husein Bin Mamat bersama puluhan orang dari Besut telah membuka kampung Besut Kemaman.

Antara anaknya yang dilahirkan di Kemaman ialah Hajjah Wook Binti Husein, bidan yang membidani Menteri Besar Terengganu, Dr Sam yang akan mewakili PAS di Parlimen ini.

Kemaman adalah daerah masyarakat cintai ilmu.

Daerah ini subur dengan majlis-majlis ilmu dan semakin membesar kelompok kelas menengah Melayu.

Moga Kemaman maju, berkat dan sejahtera dengan memilih Dr Sam, tokoh teknokrat pada 2 Disember ini.

DR RIDUAN MOHAMAD NOR
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat

Pilihanraya