‘Sampai hati robohkan kampung kami semua’

‘Sampai hati robohkan kampung kami semua’

“Sampai hati syarikat pemaju rumah kerana tergamak merobohkan kampung kami sedangkan saya sudah tidak mempunyai sebarang hutang pun.”

Sayu kedengaran keluhan rakyat marhaen yang tertindas di negara sendiri, Rishikumar a/l Kuppuswamy yang merupakan salah seorang daripada penduduk Rumah Panjang Kampung Bunga Raya Subang di Shah Alam, Selangor.

Dia masih tinggal di kawasan tersebut selama dua hari biarpun rumahnya telah dirobohkan kerakusan pihak pemaju yang dikatakan bakal membuat pembangunan di situ.

Lelaki India ini merintih sedih bukan sahaja kerana rumah yang dijanjikan tidak diperoleh tetapi pampasan juga tidak diberikan kepada dia dan penduduk di kawasan tersebut.

“Sudah dua hari saya masih duduk di kampung saya itu walaupun dalam keadaan hujan saya masih tidur sana juga,” kongsinya.

Rishikumar menyatakan, tidak menyangka bahawa perkara sebegitu boleh terjadi kerana memandangkan syarikat pemaju tersebut adalah di bawah pelantikan kerajaan negeri Selangor, maka sudah tentu kerajaan negeri akan masuk campur dalam isu tersebut.

“Namun, sangkaan saya benar-benar meleset sekali kerana siapa sangka kampung kami akan dirobohkan serta merta tanpa berperikemanusiaan,” luahnya dengan nada yang berbaur sedih.

Sementara itu, seorang lagi penduduk kawasan tersebut, M Letchumi juga meluahkan perasaan kecewa atas tindakan perobohan kampung tersebut kerana menghalau penduduk kampung itu tanpa memberikan satu pun rumah yang dijanjikan.

Dia menyatakan, tiada sebarang alasan untuk melakukan perpindahan dari kawasan tersebut apabila rumah yang dijanjikan tidak diberikan kepada mereka.

“Itulah saya tanya kalau mereka bagi rumah seperti yang dijanjikan sudah tentu kita pindah tetapi kalau tak ada bagi macam mana kita nak pindah, dan selepas itu pula mereka robohkan kampung kami dalam keadaan orang-orang tua masih ada dan masih bayi baru lahir.

“Malah ada seorang daripada penduduk kampung baru sahaja meninggal dunia sehari sebelum perobohan tersebut berlaku dan saya siap mempunyai dokumen-dokumen yang sah mengenai perumahan tersebut pun kami semua tetap dipersalahkan,” ujarnya.

Dia berkata demikian dalam mesyuarat di Pejabat Ketua Pembangkang Dewan Negeri Selangor, diiringi Pegawai Khas Komunikasi kepada Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Gulab Jan Fazal Eladi,di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali; Pesuruhjaya PAS Selangor, Prof Datuk Dr Ab. Halim Tamuri dan ADUN Permatang, Nurul Syazwani Noh Omar;  Sekretariat Pembela Tanah Air (PETA) Badrul Hisham Shaharin; dan Pempengaruh media sosial Tiktok terkenal Shafiq Halim.

Sehubungan itu, Rishikumar bersama-sama penduduk Kampung Bunga Raya mengharapkan masalah yang dihadapi mereka itu dapat diselesaikan oleh kerajaan negeri dengan adil dan saksama, memandangkan mereka berasa telah dizalimi dengan sangat teruk.

Tambahnya, masalah sebegini tidak sepatutnya berlaku kerana mempunyai dokumen-dokumen yang sah membuktikan bahawa mereka bukanlah pendatang asing seperti didakwa oleh sesetengah pihak.

“Apa pun kami semua takkan berhenti memperjuangkan hak kami kerana kami juga berwarganegara Malaysia dan kami nak gesa kerajaan negeri supaya jangan lepas tangan mengenai isu ini,” katanya.

Isu Semasa