Tugas Sebagai Khalifah

Tugas Sebagai Khalifah

Tadabur Al-Quran pada hari ke 15 Ramadhan menyentuh beberapa pengajaran daripada keseluruhan surah Al-Isra’ dari ayat pertama sehingga ayat 74 daripada surah Al-Kahfi.

Di awal juz ini, Allah menyatakan tentang kisah Bani Israel yang melakukan kerosakan atas muka bumi serta bersikap takabur sehinggakan mereka menentang arahan dan tuntutan Allah.

Mereka telah melakukan kerosakan sebanyak dua kali iaitu setelah kewafatan Nabi Sulaiman, mereka mengganas dan membunuh di atas muka bumi.

Setelah itu mereka tewas dengan Babylon dan bangkit semula selepas mereka kembali kepada Allah.

Seterusnya mereka melakukan kerosakan kedua iaitu di Palestin dengan membunuh para Nabi dan sehingga kini saki baki mereka terus menerus merosakkan Palestin.

Allah turut memberi arahan agar mentaati kedua ibu bapa dengan menjaga adab ketika bercakap serta menjaga mereka dengan penuh kasih sayang setelah mereka berusia nanti.

Manusia hendaklah redha dengan nikmat dan ujian kehidupan sekalipun menghadapi rintangan hidup.

Dalam kehidupan diharamkan manusia terlibat dengan jenayah membunuh termasuk membunuh atau membuang anak, berzina, memakan harta anak yatim dan semua larangan yang telah ditetapkan dalam Al-Quran bagi mengelak kemurkaan Allah.

Allah mengingatkan bahawa Dia telah memuliakan penciptaan manusia dan menempatkan mereka sebagai pengurus muka dunia.

Manusia hendaklah memilih pemimpin mereka di kalangan orang yang beriman dan amanah kerana kelak di akhirat manusia akan dibangkit bersama pemimpinnya.

Sudah tentu jika manusia bersekongkol dengan pemimpin jahat, mereka akan turut terkena hukuman pedih di akhirat.

Seandainya di dunia lagi manusia sudah buta hati daripada petunjuk Allah, maka di akhirat kelak sudah pasti mereka akan sesat dan bertambah kemurkaan Allah ke atas mereka.

Demikian itu, Allah memerintahkan manusia menjaga solat fardhu termasuk qiamullail kerana ia adalah sumber kekuatan serta ketinggian maqam di sisi Allah.

Di awal surah al-Kahfi, Allah membawakan kisah pemuda yang beriman dan sedikitpun mereka tidak menjual keimanan walaupun mendapat kecaman untuk dibunuh.

Mereka kemudiannya lari menyelamatkan akidah sehingga ditidurkan oleh Allah selama 309 tahun dan terus beristiqamah di atas kebenaran setelah dibangkitkan semula. Allah menyeru agar umat Islam mesti terus beristiqamah bersama dengan pejuang kebenaran yang berdakwah siang dan malam.

Allah sudah tegaskan bahawa peringatan yang ditinggalkan kepada Rasul Nya sudah jelas melalui kitab Al-Quran, sesiapa yang ingin beriman, maka dia ikut jalan keimanan dan sesiapa yang ingin kufur itu adalah pilihannya.

Berusahalah untuk selesaikan solat terawih bersama imam dengan penuh sabar.

Adakalanya bacaan imam tidak secocok dengan kehendak kita, namun kita mesti bersabar untuk habiskan solat terawih bersama imam supaya Allah mengganjari kepada kita pahala qiyam.

Terawih kita bukannya untuk dibanggakan akan tetapi semata-mata mengharapkan keredhaan Allah agar Allah mengampuni dosa kita. Rasulullah S.A.W bersabda:

مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

“Barangsiapa yang mendirikan qiyam di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharap ganjaran dari Allah, nescaya diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.”

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dato’ Ahmad Yakob

Minda Pemimpin