Akibat Sikap Takabbur

Akibat Sikap Takabbur

Juz ke 14 mengandungi dua surah iaitu surah AI-Hijr dan surah Al-Nahl.

Allah menegaskan bahawa Dia menurunkan keterangan secara terperinci melalui Kitab-Nya agar diikut oleh sekalian manusia dan apabila manusia memulakan penentangan terhadap keterangan-Nya, Allah sendiri akan memusnahkan para penentang tersebut.

AI-Quran adalah sebaik-baik keterangan dan Allah akan menjaga kemuliaannya sehingga kiamat.

Juz ini juga menceritakan sikap takabbur yang memusnahkan akidah dan kredibiliti iblis setelah arahan sujud kepada Nabi Adam disanggah serta dipersoalkan.

Hal ini kerana Allah telah menciptanya dengan api sementara manusia hanyalah dicipta dengan tanah busuk.

Setelah Allah menyenaraikan iblis di kalangan golongan kufur dan ingkar, iblis memohon untuk menyesatkan anak cucu Adam sehingga mereka turut mengingkari suruhan Allah dan menjadi golongan takabur.

Seterusnya menerusi surah Al-Nahl, Allah memberitakan bahawa Dialah yang menurunkan hujan dari langit sebagai rahmat kepada makhluk di muka bumi, lalu tumbuhnya pelbagai tanaman dan buah-buahan.

Allah mempermudahkan urusan manusia di dunia dengan mencipta malam, siang, matahari dan bulan sebagai kemudahan bagi manusia termasuklah dijadikan laut sebagai sumber makanan dan pendapatan manusia.

Dengan pelbagai nikmat yang dikurniakan, Allah mengingatkan manusia agar mereka bersyukur dengan hanya menyembah Allah dan mengikuti suruhan Rasul-Nya serta dilarang sama sekali membuat penyembahan kepada thaghut.

Dato’ Ahmad Yakob

Minda Pemimpin