Berita Baik Dan Buruk Penangguhan Munajat Perdana Menuntut Royalti

Berita Baik Dan Buruk Penangguhan Munajat Perdana Menuntut Royalti

Berita baik untuk penyokong PH atau panggilan manja mereka, Walanon atas penangguhan program Munajat Perdana Royalti yang dirancang akan diadakan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Sambil sinis dan bersorak riang, mungkin mereka membuat lawak “kita memperolehi kemenangan yang pertama” meniru lagak allahyarham Ahmad Nisfu dalam filem Nujum Pak Belalang.

Dan apabila sesuatu yang menggembirakan Walanon, sebaliknya pasti akan menjadi kemuraman penyokong PN.

Sebaik sahaja menerima berita penangguhan ini yang diputuskan oleh pimpinan PAS Terengganu, kita sudah menjangkakan kemungkinan besar ada sesuatu yang positif mungkin berlaku di belakang takbir.

Tidaklah diberitahu apa yang menyebabkan penangguhan ini diputuskan, yang mungkin mahu menjaga air muka seseorang tetapi yang jelas kerana sikap PAS yang cukup tinggi kesabarannya.

Inilah sikap pejuang Islam yang benar, sesuai dengan firman Allah dalam surah al-Anfal ayat 61 dan 62:

61-Dan jika mereka cenderung kepada perdamaian, maka hendaklah engkau cenderungi pula kepadanya. Dan bertawakkallah kepada Allah, sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

62-Dan jika mereka hendak memperdayakan engkau, maka sesungguhnya cukuplah bagi engkau Allah. Dialah yang akan meneguhkan engkau dengan pertolongan-Nya dan dengan orang-orang yang beriman.

Namun apa yang menarik untuk saya tulis di sini ialah kepercayaan bahawa Allah itu maha berkuasa, disebalik kelakuan pihak yang sentiasa berlawan dengan kehendak Allah.

Tidak perlulah saya senaraikan semula fiil mereka yang bertentangan dengan suruhan Allah itu kerana semua sudah sedia maklum dengan banyaknya isu lama dan baharu.

Barangkali ada yang merasa gerun dengan doa insan yang dizalimi.

Ini bermakna, masih ada lagi keimanan terhadap Allah, tetapi ia kepada hukum yang terpilih sahaja, sebab takut terkena laknat, mungkin?

Lihat dahulu bagaimana kejahatan Umno yang begitu lama bermaharajalela, hanya mentertawakan doa-doa PAS kerana yakin mereka di pihak yang benar walaupun menzalimi PAS.

Akhirnya dengan satu doa yang dibacakan oleh allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz khusus terhadap Najib dan Zahid, ia benar-benar terjadi sesuatu yang buruk terhadap mereka berdua.

Khianat mereka berbalas dengan hanya doa oleh ulamak.

Ia disaksikan oleh semua yang mengikut perkembangan politik negara.

PAS sekali lagi ditertawakan apabila doa KO Umno oleh adinda allahyarham TGNA, allahyarham Ustaz Nik Radzi dalam satu majlis solat hajat.

Namun tertawa itu kemudiannya menjadi tangisan dengan Umno betul-betul KO dalam PRU14 dan kemudiannya menjadi pengemis yang begitu hina, duduk di bawah tapak kaki DAP, musuh yang amat mereka benci suatu masa dahulu.

Jelas Umno sanggup berada di bawah kuasa DAP.

Semua ini demi untuk melepaskan seorang sahaja dalam Umno daripada dikenakan tindakan.

PMX kelihatannya mempelajari sesuatu setelah begitu lama bersama dengan PAS yang dipenuhi dengan ulamak.

Jauh lebih besar daripada itu, PAS juga disokong dan didokong oleh pusat-pusat pengajian pondok dan juga moden yang berteraskan Islam.

Mereka sentiasa menyatakan solidariti mereka terhadap PAS dan senang sekali membantu PAS terutama dalam hal berkaitan perkembangan Islam.

Penarikan royalti ini juga secara tidak langsung akan menjejaskan mereka kerana bantuan yang sentiasa diberikan oleh Kerajaan Negeri terhadap pusat pengajian Islam ini.

Walanon tidak mengetahui apa-apa berkenaan kehebatan doa orang yang dizalimi kerana mereka tidak diajar dan tidak mahu belajar berkenaan kehebatan doa ini.

Bagi mereka, penangguhan adalah kegagalan, namun bagi PAS penangguhan ini adalah rahmat kerana kelihatannya ada pihak yang insaf dan pentadbiran negeri akan berjalan seperti biasa tanpa gangguan.

Lebih utama, hak rakyat boleh diagihkan secara sistematik sebagaimana yang telah dirancang dalam bajet tahunan.

Kezaliman itu adalah kegelapan dan keadilan itu adalah cahaya yang membimbing kita ke jalan yang benar.

Sekarang nampakkah kita berita penangguhan munajat ini sebagai berita baik atau berita buruk?

Kata kawan saya, baru nak ambil wudhu nak solat hajat, dah rasa gerun. Belum lagi solat.

Mohd Nasir Abdullah

Kolumnis