Jangan sia-siakan baki Ramadhan yang tinggal untuk memohon keampunan daripada Tuhan dan mohon dijauhkan daripada api neraka.
Sesungguhnya tak berguna sedikit pun hidup di dunia jika di akhirat dicampak ke dalam api neraka.
Kamu percaya atau tidak akan kewujudan kehidupan selepas mati, hari akhirat tetap wujud dan pasti kamu akan laluinya.
Bezanya, orang-orang yang percaya semasa di dunia, mereka akan beruntung.
Tetapi kamu yang tidak mahu percaya semasa di dunia, pasti kamu akan percaya 1000% ketika telah pun berada di sana. Tetapi sudah terlambat.
Sesal kemudian tidak berguna lagi, azab api neraka menanti.
Andai kehidupan akhirat itu tidak benar, orang yang mempercayainya semasa di dunia tidak rugi apa-apa.
Tetapi orang-orang yang tidak mahu percaya, pasti akan merana kerana janji Tuhan pasti benar.
Hal kehidupan akhirat adalah hal ghayb yang tidak sekali-kali dapat dibuktikan oleh sains dan teknologi, peralatan modern dan sebagainya.
Sebab itulah Tuhan mengutuskan Nabi dan Rasul untuk memberitahu hal ghayb untuk menguji ketaatan manusia kepada perintah Tuhan.
Nikmat syurga dan azab neraka bukanlah perkara main-main.
Allah tidak mengutus Nabi dan Rasul untuk bermain atau membawa cerita dongeng.
Sebaliknya Nabi dan Rasul membawa khabar gembira dan peringatan keras daripada Tuhan yang Maha Berkuasa – bahawa setiap perbuatan manusia di dunia, akan dihitung dan dibalas dengan detail dan seadilnya.
Sebagai manusia, tiada seorang pun daripada kita terlepas daripada perbuatan salah dan dosa.
Maka dosa-dosa kita akan dibalas dengan azab siksa yang sangat dahsyat, tidak terbayang oleh manusia.
Namun Allah Tuhan yang Maha Penyayang, Allah mengasihi hamba-Nya yang insaf dan bertaubat dan memohon keampunan.
Maka Nabi dan Rasul mengajar kepada kita bahawa Allah akan mengampuni dosa-dosa kita dengan cara bertaubat dengan taubat Nasuha, bersedekah, melakukan kebaikan sesama makhluk serta berdoa kepada Allah agar diampuni dosa.
Namun semua amalan ini pasti tidak akan dilakukan oleh orang-orang kafir, kerana mereka enggan percaya akan kewujudan hari akhirat.
Sebab itulah mereka akan menyesal selama-lamanya kelak.
Antara amalan yang diajar kepada kita untuk beroleh keampunan daripada dosa-dosa yang banyak adalah:-
a) Perbanyakkan istighfar di waktu sahur, solat sunat dhuha 4 rakaat (dihapus dosa-dosa sebanyak pasir di pantai),
b) Zikir Subhanallah 33X Alhamdulillah 33X Allahu Akbar 33X serta Laa-ilaaha-illallahu-wahdahu-laa-syariikalah (diampunkan dosa sebanyak pasir dipantai),
c) Solat sunat sebelum zohor 4 rakaat, selepas zohor 4 rakaat (diharamkan api neraka ke atas dirinya)
d) Membaca zikir Allahumma ajirna minan-naar 7X pada waktu pagi (subuh) dan 7X pada waktu petang (maghrib) (dijauhkan daripada api neraka)
e) Bersedekah (sedekah memadamkan api neraka yang mahu membakarnya)
f) Menangis dimalam hari kerana takutkan Allah (air mata yang mengalir kerana takutkan Allah dapat memadam api neraka yang menyala).
g) Berdoa memohon keampunan di bulan Ramadhan dengan lafaz Allahumma innaKa ‘afuwwun Tuhibbul-‘afwa fa’fu ‘anna.
f) Membaca al-Quran secara istiqamah setiap hari (al-Quran akan menjadi pembela pembacanya di hari akhirat)
Dan banyak lagi amalan yang bersabit dengan al-Quran dan Hadist.
Mudah-mudahan kita dapat mengamalkannya agar menjadi insurans dan takaful besar untuk kita tatkala berdepan dengan hari kemurkaan Tuhan Rabbul Jalil…
Oleh: Dr Tanaka Mustafa