Membaca beberapa tulisan berita rasmi dan juga tidak rasmi dalam kes melibatkan pembunuhan adik Zayn Rayyan memberikan keinsafan dalam diri.
Seperti lazimnya, dari berbagai aspek, ia diperdebatkan oleh warga maya dengan ‘kepakaran’ masing-masing yang entah bila mereka kuasai kepakaran itu.
Setelah selesai siasatan dijalankan, tiba-tiba muncul satu artikel yang mendedahkan dengan agak terperinci catatan siasatan yang dilakukan.
Secara jelas, ia memberikan petunjuk bahawa pembunuhan itu dilakukan oleh kedua ibu bapa adik Rayyan sendiri yang dilabelkan sebagai B1 dan B2 dengan lakonan dan juga kecekapan mereka melupuskan bukti.
Maka dengan itu pertuduhan yang sepatutnya di bawah seksyen 302, telah ditukar kepada Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu kecuaian penjaga yang boleh membawa hukuman sehingga 20 tahun penjara.
Sememangnya kita wajib memberikan keadilan kepada adik Rayyan diatas pembunuhan kejam itu.
Tetapi saya, secara peribadi, akan mengikut petunjuk yang Islam gariskan, iaitu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah.
Sebagai orang Islam, kita wajib mempercayai yang kita mempunyai dua mahkamah dan mahkamah kedua, tidak akan terlepas apa-apa walaupun sedikitpun dari keadilan Allah. Inilah keimanan kita.
Oleh itu, tiada kewajipan atas kita, membuat spekulasi dalam kes ini, dengan menjatuhkan hukuman bersalah kepada sesiapa sehinggalah dibuktikan walau saya percaya ramai yang menitiskan airmata kesedihan dengan kematian adik Rayyan.
Tetapi ia bukan hak untuk kita bertindak di luar sempadan yang Allah gariskan.
Inilah yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah dan para sahabat.
Walaupun dengan musuh mereka, tetaplah ditunggu pengadilan sebelum dijatuhkan hukuman.
Yang baik turut jadi mangsa
Pada zaman ini, ulamak yang mengikuti jalan Islam ini juga tidak terlepas daripada pertuduhan palsu.
Apatah lagi jika sekiranya ada fitnah-fitnah yang seperti sengaja didatangkan kepada mereka.
Berbagai kecaman dan hinaan yang direka secukup rasa bagi melahirkan kebencian atau persepsi jahat terhadap para ulamak ini.
Mereka begitu bersemangat untuk meletakkan ulamak-ulamak ini dalam kandang bersalah, berdosa, pemecah amanah, pemecah belah masyarakat, kolot, kuat seks, berjoli duit derma dan berbagai lagi.
Hanya dengan beberapa kenyataan, tulisan, prasangka, ia cukup bagi warga maya yang jahil untuk menyambut seruan dosa itu beramai-ramai.
Ia tidak terjadi sehari dua, malah telah berakar semenjak sekian lama.
Janji Allah itu benar, jalan bagi menegakkan agamaNya, tidak dihampari dengan permaidani merah.
Ia penuh dengan kaca, duri, jerangkap samar dan lain-lain lagi yang memerlukan ketelitian pejuang Islam bagi menghulurkan kaki mereka sebelum berpijak.
Dan lebih menguji keimanan mereka, apabila orang-orang terdekat dengan mereka sendiri mempercayai cerita karut dan fitnah ini dan berpaling dari menyokong mereka.
Akan tetapi jika timbul cerita fitnah bagi pihak musuh, pejuang Islam wajib tabayyun iaitu menyelidiki terlebih dahulu akan kebenaran tuduhan itu, walaupun tuduhan itu dilemparkan kepada musuh mereka.
Dan jika tuduhan itu benar dan didakwa di mahkamah, pejuang Islam wajib pula berada dalam keadaan husnul dzon iaitu tertuduh itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah.
Dan setelah didapati bersalah, kemudiannya musuh meminta kemaafan daripada pejuang Islam, wajib pula kita memberikan kemaafan kepada mereka.
Mahukan contohnya?
Antaranya tuduhan RM90 juta yang diterima oleh PAS sehingga kini tiada bukti, tetapi dijaja bagaikan ia adalah kebenaran.
Juga dikata PAS pemecah belah masyarakat.
Manakala apabila Lim Guan Eng didakwa di mahkamah, PAS mendiamkan diri, tidak menjatuhkan hukuman sebelum mahkamah memutuskannya.
Dan apabila PMX ternyata menipu rakyat dengan janji tidak menurunkan harga minyak, ia kelihatan biasa, seperti tiada dosa.
Dan suatu ketika apabila Presiden dan bekas Presiden Umno, musuh utama PAS meminta maaf, PAS lalu memaafkan mereka.
Jadi, jika anda dalam kategori warga maya yang terus menghukum tanpa bukti atau menjatuhkan kesalahan sebelum diputuskan mahkamah dalam apa juga kes, maka ia memudahkan golongan penipu atau scammer untuk terus menipu rakyat kerana mereka tahu, warga maya tidak akan menurut perintah Allah, menyiasat dahulu tuduhan dan dakwaan.
Apa yang disebar itulah yang mereka percaya.
Maka akan kekallah anda semua duduk di bawah si penipu sebagai pemerintah.
Ubahlah segera cara kita memproses tuduhan dan bukti jika anda mahu selamat dunia dan akhirat.
Justice for Rayyan
Mohd Nasir Abdullah