Penerimaan Kaum India Terhadap PAS Makin Meningkat

Penerimaan Kaum India Terhadap PAS Makin Meningkat

Penyerahan sebanyak 30 borang keahlian Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) kepada Ketua DHPP PAS Kawasan Hulu Langat, Poobalan  PannirSelvam T, menunjukkan penerimaan kaum India terhadap PAS semakin meningkat.

Timbalan Pesuruhjaya III PAS Negeri Selangor, Ustaz Nushi Mahfodz berkata, serahan borang itu kepada Poobalan yang juga merangkap Pegawai Khas Hubungan Kaum India Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih (PKDS) oleh Dharmalingam dan rakan-rakannya membuktikan komitmen PAS untuk memastikan keadilan dan kesejahteraan dinikmati oleh semua lapisan masyarakat pelbagai kaum di negara ini. 

Selain itu menurutnya, Sugumaran dari Seksyen 5 Rinching turut hadir untuk meminta bantuan kelangsungan hidup. 

“Kehadiran beliau mencerminkan realiti kehidupan rakyat yang semakin terhimpit dengan kos sara hidup yang tinggi,” ujar Nushi dalam media sosial miliknya hari ini.

Sehubungan itu, beliau menzahirkan penghargaan dengan mengucapkan terima kasih kepada Poobalan yang sangat gigih menjadi penghubung antara PKDS dan komuniti India.

“Komitmen kami adalah untuk memastikan setiap individu mendapat perhatian dan sokongan yang diperlukan, demi kesejahteraan bersama,” katanya.

Politik