Firman Allah SWT :
وَلَا تَحْسَبَنَّ ٱلَّذِينَ قُتِلُوا۟ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ أَمْوَٰتًۢا ۚ بَلْ أَحْيَآءٌ عِندَ رَبِّهِمْ يُرْزَقُونَ ١٦٩ فَرِحِينَ بِمَآ ءَاتَىٰهُمُ ٱللَّهُ مِن فَضْلِهِۦ وَيَسْتَبْشِرُونَ بِٱلَّذِينَ لَمْ يَلْحَقُوا۟ بِهِم مِّنْ خَلْفِهِمْ أَلَّا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ ١٧٠ ۞ يَسْتَبْشِرُونَ بِنِعْمَةٍۢ مِّنَ ٱللَّهِ وَفَضْلٍۢ وَأَنَّ ٱللَّهَ لَا يُضِيعُ أَجْرَ ٱلْمُؤْمِنِينَ ١٧١
”Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur syahid )pada jalan Allah itu mati .(Mereka tidak mati) bahkan mereka hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki. (169)
“Dan mereka bersuka cita dengan kurniaan Allah (balasan mati Syahid) yang telah dilimpahkan kepada mereka dan mereka bergembira dengan berita baik mengenai (saudara mereka) orang-orang (islam yang sedang berjuang) yang masih tinggal dibelakang yang belum sampai kepada mereka bahawa tidak ada kebimbangan terhadap mereka dan mereka pula tidak akan berduka cita. (170)
“Mereka bergembira dengan balasan nikmat dari Allah dan limpah kurnianya ,dan (ingatlah) bahawa Allah tidak menghilangkan pahala orang-orang yang beriman.” (171)
(Ali Imran:169-171)
Lujnah Hubungan Antarabangsa PAS Pusat mengecam keras serangan di Tehran, Iran awal pagi tadi yang telah mengorbankan Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh berserta dengan seorang pengawal peribadinya selepas selesai menghadiri upacara angkat sumpah Presiden baharu Iran Masoud Pezeshkian.
Ucapan takziah dititipkan buat keluarga Ismail Haniyeh dan pengawal peribadinya yang terkorban berikutan tragedi yang menyayat hati ini.
Seluruh dunia khususnya Dunia Islam wajar mengutuk tindakan bacul regim Zionis Israel ini berserta mereka yang bersekongkol dengannya baik yang terang mahupun berselindung.
Tidak cukup dengan jenayah perang yang sedang dilakukan di Semenanjung Gaza yang telah mengorbankan lebih 40,000 warga Palestin dan hampir meranapkan bumi Gaza, regim Zionis Israel dengan bantuan Barat sekali lagi membuktikan kepada dunia bahawa merekalah penjenayah yang paling terkutuk dalam era abad ini.
Semoga Allah SWT mencucuri rahmatnya ke atas mereka, dikurniakan ganjaran syahid di sisi-Nya serta ditempatkan bersama orang-orang yang beriman dan beramal soleh.
Bebaskan Al-Quds, Merdekakan Palestin.
YB Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi
Pengerusi Lajnah Hubungan Antarabangsa PAS Pusat.