Apa Objektif Rejim Penjajah Zionis Israel Di Syria?

Apa Objektif Rejim Penjajah Zionis Israel Di Syria?

Perubahan politik di Syria tidak menunjukkan tanda-tanda keamanan berkekalan, bahkan bibit-bibit konflik baharu makin terserlah.

Kerajaan baharu Syria pimpinan Ahmad al-Shara’a masih teragak-agak memutuskan pendiriannya sama ada mahu bersama blok Barat atau bersendirian.

Barat meletakkan syarat jika Syria mahu diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa maka mestilah hidup aman dengan negara haram Israel, iaitu dengan erti kata lain mengiktiraf negara haram tersebut.

Sehingga kini pendirian Syria bergantung kepada proksi utamanya iaitu Turkiye yang banyak membantu dalam melakukan perubahan sehingga berlakunya pertukaran kuasa di Syria.

Dalam masa yang sama, regim penjajah Zionis Israel terus merangka perancangannya ke atas bumi Syria.

Objektif jangka panjang rejim penjajah Zionis Israel ke atas Syria ialah menakluknya sehingga menjadi sebahagian daripada perancangan ‘Israel Raya’ yang meliputi hampir keseluruhan bumi Timur Tengah.

Sedar ataupun tidak, rejim penjajah Zionis Israel telah menguasai sebahagian bumi Syria iaitu penempatan bukit Golan dan sekitarnya yang lebih luas daripada Semenanjung Gaza.

Adapun objektif jangka masa pendek pula ialah memecahkan bumi Syria kepada tiga bahagian; pertama negara kumpulan Druze (Duruz), kedua negara Kurdistan dan ketiga negara untuk pelbagai mazhab dan etnik yang berpusat di Damsyik atau Damascus.

Sehingga kini perancangan pecah dan perintah begitu giat dijalankan supaya berlakunya perang saudara di Syria yang akhirnya menguntungkan rejim penjajah Zionis Israel.

Syria kini berada di persimpangan setelah Mihwar al-Muqawamah yang dipimpin oleh Iran menerima tamparan hebat dengan kejatuhan Basyar al-Asad, kelemahan Hizbullah dan HAMAS serta tekanan ke atas Ansarullah di Yaman.

Persoalannya apakah langkah yang akan diambil oleh Turkiye?

Adakah berpeluk tubuh dengan melihat sahaja apa yang berlaku atau mengorak langkah pertembungan dengan rejim penjajah Zionis Israel?

Episod seterusnya sangat mencabar.

Saya optimis perubahan yang berlaku akan membawa kepada penyatuan ummah tanpa mengira latar belakang mazhab mahupun kaum dan bangsa. 

Insya Allah penyatuan ini akan membawa kepada pembebasan bumi Palestin.

DR MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lujnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat

Dunia Islam