Ayatollah Khamenei: Rejim Zionis Telah Menandatangani Takdir Pahit Dan Menyakitkan Buat Diri Sendiri

Ayatollah Khamenei: Rejim Zionis Telah Menandatangani Takdir Pahit Dan Menyakitkan Buat Diri Sendiri

Pemimpin Tertinggi Revolusi Islam, Ayatollah Seyyed Ali Khamenei, mengisytiharkan bahawa rejim Zionis Israel telah menandatangani takdir yang pahit dan menyakitkan untuk dirinya sendiri melalui siri serangan udara ke atas Iran pada awal pagi Jumaat.

Dalam satu kenyataan rasmi kepada rakyat Iran sejurus selepas serangan, Ayatollah Khamenei mengecam tindakan ganas Israel yang menyasarkan kawasan kediaman di Tehran dan beberapa bandar lain. Beliau menegaskan bahawa rejim Zionis akan menerima balasan yang amat keras atas jenayah yang dilakukan.

“Wahai Bangsa Iran yang Mulia!” tegas Ayatollah Khamenei, “Rejim Zionis, dengan tangan jahat dan berdarah, telah melakukan jenayah di tanah air kita yang tercinta, dan sekali lagi memperlihatkan sifat kejamnya dengan menyasarkan kawasan-kawasan perumahan.”

“Rejim ini harus bersedia untuk menerima balasan yang keras,” katanya lagi.

Ayatollah Khamenei turut mengesahkan bahawa beberapa orang panglima dan saintis Iran telah syahid dalam serangan tersebut. Namun, beliau memberi jaminan bahawa tugas dan perjuangan mereka akan segera disambung oleh pengganti serta rakan seperjuangan mereka.

“Tangan yang kuat milik Angkatan Bersenjata Republik Islam Iran tidak akan melepaskan Israel,” ujarnya tegas.

Beliau menambah bahawa dengan jenayah terbaharu ini, rejim Zionis telah menetapkan takdir pahit dan menyakitkan buat dirinya sendiri, dan mereka pasti akan menyaksikan takdir itu menjadi kenyataan.

Serangan udara Israel yang bermula pada lewat malam Khamis hingga awal pagi Jumaat menyasarkan ibu negara Tehran serta bandar-bandar lain termasuk Tabriz, Isfahan, dan Ahvaz. Imej dan laporan dari lokasi menunjukkan kerosakan teruk pada bangunan kediaman, manakala saksi mata dan wartawan saluran TV negara mengesahkan bahawa wanita dan kanak-kanak adalah antara mangsa yang terbunuh.

Dalam kenyataan susulan, Markas Besar Angkatan Tentera Republik Islam Iran menegaskan bahawa tindak balas terhadap rejim Israel akan menjadi “menghancurkan”, selaras dengan arahan yang dikeluarkan oleh Ayatollah Khamenei.

“Mengikut arahan Pemimpin Tertinggi Revolusi Islam, tindak balas dari Angkatan Bersenjata Iran terhadap pencerobohan Israel akan membuatkan rejim itu menyesal selama-lamanya,” menurut kenyataan rasmi Markas Besar.

Antara tokoh penting yang gugur dalam serangan tersebut termasuk Ketua Turus Bersama Angkatan Tentera Iran, Mejar Jeneral Mohammad Baqeri, serta Komander Tertinggi Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC), Mejar Jeneral Hossein Salami, bersama beberapa lagi tokoh ketenteraan dan awam.

Ketegangan di Asia Barat kini berada di ambang krisis berskala besar, dengan dunia sedang memerhati rapat setiap gerak balas yang mungkin menjadi titik mula kepada konflik terbuka antara Iran dan rejim Zionis.

Iran