Bagaimana Penapisan Rejim Israel Menyembunyikan Kejayaan Strategik Iran Dalam Perang

Bagaimana Penapisan Rejim Israel Menyembunyikan Kejayaan Strategik Iran Dalam Perang

Tatkala perhatian dunia tertumpu kepada Tehran dan Tel Aviv selepas rejim Zionis melancarkan perang terhadap Iran pada awal pagi 13 Jun, satu lagi peperangan telah tercetus secara senyap: peperangan terhadap kebenaran.

Berhadapan dengan kesan hebat daripada Operasi Janji Benar III—yang dilancarkan sebagai tindak balas terhadap tindakan Tel Aviv membunuh lebih 330 rakyat Iran termasuk pegawai kanan dan saintis serta mencederakan lebih 1,800 yang lain—rejim Israel telah mengaktifkan mesin penapisan maklumat yang belum pernah berlaku sebelum ini.

Mesin ini direka untuk menyembunyikan kekalahan di medan tempur dan mencipta ilusi bahawa mereka masih mengawal keadaan, sambil menindas fakta sebelum ianya diketahui masyarakat antarabangsa.

Penindasan yang dirancang rapi ini—bermula daripada arahan tutup mulut di wilayah yang dijajah hingga ke penapisan algoritma oleh syarikat teknologi di Silicon Valley—bukan sekadar isu ketelusan, malah mendedahkan betapa rejim itu dilanda ketakutan bahawa dunia mungkin menyaksikan kejatuhannya secara langsung di medan perang.

Seni Bisu yang Dirancang

Asas kepada pembohongan ini jelas terlihat dalam arahan “Singa Bangkit” yang dikeluarkan oleh Brigedier Jeneral Kobi Mandelblit pada 17 Jun.

Dalam arahan tersebut, sebarang laporan berkaitan lokasi hentaman berhampiran kemudahan ketenteraan—termasuk rakaman dron atau alamat tepat kawasan yang diserang—dianggap jenayah.

Arahan itu turut melarang penyiaran sebarang pelancaran peluru pemintas atau rakaman letupan, termasuk dalam media sosial melainkan telah diluluskan oleh kerajaan.

Penguatkuasaan terhadap arahan ini amat keras.

Pada 19 Jun, polis Israel menyerbu kru media asing di Haifa yang sedang merakam kesan serangan terhadap loji penapisan minyak dan grid tenaga bandar itu, merampas kamera, kad memori dan peralatan lain.

Pegawai diberi arahan untuk bertindak terhadap agensi berita yang “digunakan oleh Al Jazeera,” yang telah diharamkan di Israel sejak 2024.

Namun yang paling menggerunkan ialah apa yang disembunyikan di sebalik tirai penapisan ini.

Di bilik mayat bawah tanah hospital tentera Israel, koridor-koridor dilaporkan dipenuhi mangsa cedera yang dirahsiakan dari pengetahuan umum.

Agensi berita Fars memetik sumber keselamatan Iran yang menyatakan puluhan tentera Israel yang cedera akibat serangan peluru berpandu Iran ditempatkan di kawasan bawah tanah, dengan identiti dan tahap kecederaan mereka diklasifikasikan sebagai “rahsia negara.”

Malah media Barat yang selama ini cenderung kepada Israel juga menghadapi sekatan sama.

BBC secara terbuka mengakui dilarang melaporkan kemusnahan di Institut Penyelidikan Weizmann—sebuah pusat yang dikaitkan dengan operasi ketenteraan dan risikan yang kini musnah.

Penganalisis Mesir, Bashir Abdelfatah berkata:

“Serangan roket telah mewujudkan suasana seakan Gaza di Israel. Kini berlaku kerahsiaan dan penapisan terhadap jumlah korban yang melebihi 1,000 orang.”

Dengan menapis bukti kegagalan, negara itu menjadikan kebenaran sebagai korban dalam kempen rahsia ini.

Kitab Pembohongan dan Penipuan

Selain penapisan maklumat, Israel turut melancarkan kempen maklumat palsu secara besar-besaran yang berdasarkan doktrin lama.

Di tengah-tengah usaha ini ialah prinsip Mossad sendiri:

“Dengan tipu daya engkau akan berperang,” yang diambil daripada Amsal 24:6, dan dioperasikan melalui unit khusus seperti Team Jorge.

Unit ini mengendalikan ladang troll maya yang memenuhi media sosial dengan persona ciptaan kecerdasan buatan (AI), bertujuan menenggelamkan naratif yang tidak dikehendaki dan membentuk pendapat awam dunia berpihak kepada Israel.

Salah satu contoh nyata strategi ini ialah penyiaran semula rakaman serangan terhadap pelancar peluru berpandu Iran.

Dengan mengubah kontras dan sudut kamera, penganalisis membuktikan bahawa serangan yang kononnya berlaku berulang kali sebenarnya adalah satu serangan kecil yang dirakam dari pelbagai sudut untuk memberi gambaran palsu tentang keberkesanannya.

Selain itu, penganalisis Iran mendapati bahawa rejim Israel turut menyiarkan rakaman serangan terhadap pelancar palsu seolah-olah ia menyerang sasaran sebenar.

Kempen putar belit ini tidak terhenti di video semata-mata.

Semasa kemuncak perang yang dicetuskan Israel terhadap Iran, platform X (dulu dikenali sebagai Twitter) menyekat akaun bekas Menteri Luar Iran, Javad Zarif.

Beliau menulis bahawa Perdana Menteri Israel, Netanyahu adalah “pengecut pembunuh beramai-ramai,” dan menegaskan bahawa Iran tidak memulakan perang ini, tetapi “akan menentukan bagaimana ia berakhir.”

Zarif mempersoalkan mengapa tanda pengesahan biru beliau ditarik balik, mengapa ciapannya tidak kelihatan (shadow-ban), dan menegaskan bahawa

“dunia berhak mengetahui segala fakta.”

Di pihak lain, syarikat Meta dilaporkan memproses kira-kira 90,000 permintaan dari Israel dalam tempoh hanya 24 jam, bagi memadam kandungan anti-Israel dan pada masa sama mempromosi kandungan rasmi tentera Israel secara algoritma.

Strategi ini berakar daripada fatwa sesetengah rabbi ekstrem yang merujuk kepada Baba Metzia 23b–24a untuk membenarkan penipuan terhadap bukan Yahudi dalam situasi bahaya.

Ini menghidupkan semula fenomena yang dipanggil Hasbara 2.0 – satu jaringan propaganda digital dibiayai negara yang menyerang mana-mana pengkritik Israel dengan tuduhan antisemitisme.

Syarikat Israel seperti Percepto International pula menggunakan bot AI yang menyamar sebagai “warga prihatin” untuk mempengaruhi pandangan awam di Barat dan mengelak daripada ditanya tentang korban kemanusiaan sebenar dalam konflik ini.

Di Sebalik Tabir: Kejayaan Iran yang Cuba Dihapuskan dari Pandangan Dunia

Di sebalik penapisan maklumat yang ketat ini, operasi pertahanan Iran sebenarnya telah memusnahkan imej kebal Israel yang telah lama dipertahankan.

Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) telah melancarkan 17 gelombang Operasi Janji Benar III setakat 20 Jun.

Gelombang terbaru menyaksikan pelancaran peluru berpandu yang lebih sedikit tetapi jauh lebih tepat, menyebabkan kadar kejayaan yang lebih tinggi.

Fasa paling intensif menyaksikan peluru berpandu canggih menembusi pertahanan pelbagai lapisan Israel termasuk sistem Arrow, David’s Sling, dan Iron Dome.

Contohnya, dalam Gelombang Ke-16, satu peluru berpandu Iran menghancurkan sasaran di Be’er Sheva, membuktikan keupayaan mengelak sistem pemintas Israel.

Serangan lain mengenai loji penapisan minyak di Haifa serta merosakkan grid tenaga di tengah Israel, menambah tekanan ekonomi.

Difahamkan, kos operasi harian sistem pemintas Israel mencecah USD 200 juta sehari.

Jurucakap IRGC, Leftenan Kolonel Iman Tajik, mengisytiharkan bahawa ruang udara Israel kini “sepenuhnya tidak dilindungi” dan memberi amaran tentang “tamparan ekonomi yang akan datang.”

Satu serangan tepat ke atas Gav-Yam Technology Park – pada awalnya dilaporkan tersasar ke hospital awam – sebenarnya menghancurkan pelayan risikan dan makmal utama.

Sementara itu, kemudahan pelabuhan Haifa mengalami kerosakan besar sehingga tidak lagi beroperasi sepenuhnya, mengganggu lebih 40% import maritim Israel, sekali gus melumpuhkan rantaian bekalan negara itu.

Kesimpulan

Rejim Zionis kini sedang menghadapi krisis bukan sahaja di medan peperangan tetapi juga dalam mengekalkan naratif global.

Dengan menggunakan penapisan maklumat yang ketat, propaganda digital dan manipulasi media antarabangsa, Israel berusaha menutup hakikat bahawa dominasi ketenteraannya sedang digugat secara serius oleh kekuatan Iran yang kini semakin tersusun dan berani.

Namun, sekuat mana pun penipuan dan penapisan dilakukan, kebenaran tetap akan menemui jalannya.

Iran