Kerajaan Negeri Terengganu menyambut baik pelaksanaan pelbagai projek strategik oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) yang diyakini mampu memperkukuh pembangunan wilayah dan mewujudkan lebih banyak peluang ekonomi kepada rakyat.
Menteri Besar Terengganu, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, antara projek yang sedang giat dilaksanakan di negeri itu termasuklah pembangunan Taman BioPolimer Kerteh yang bakal memacu pertumbuhan industri berteknologi tinggi di rantau ini.
“Selain itu, pembinaan Jalan Lapangan Terbang Kuala Terengganu (Pakej 2) turut memberi impak besar dalam meningkatkan akses pelancongan dan logistik, sekali gus merancakkan lagi aktiviti ekonomi tempatan,” jelas beliau menerusi kenyataan selepas menghadiri Mesyuarat ECERDC yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim hari ini.
Tambah Dr. Ahmad Samsuri, pelaksanaan projek-projek ini mencerminkan iltizam kerajaan dalam memastikan pembangunan yang bersifat inklusif, seimbang dan mampan, sejajar dengan matlamat pembangunan wilayah Pantai Timur.
“Inisiatif seperti ini bukan sahaja meningkatkan keupayaan prasarana dan industri negeri, malah memberi limpahan manfaat secara langsung kepada rakyat khususnya dalam bentuk peluang pekerjaan dan peningkatan taraf hidup,” ujar beliau lagi.
Projek-projek strategik ECERDC dilihat sebagai pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negeri dengan menumpukan kepada sektor utama seperti tenaga boleh diperbaharui, bioteknologi, pelancongan, serta pembangunan infrastruktur yang mapan.
Dengan kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan sektor swasta, Terengganu dijangka terus mengorak langkah sebagai negeri yang berdaya saing serta menjadi peneraju pembangunan lestari di rantau Pantai Timur.