Implant Pacemaker Pertama di Hospital Sultan Zainal Abidin

Implant Pacemaker Pertama di Hospital Sultan Zainal Abidin

Hospital Sultan Zainal Abidin (HoSZA) mencatat sejarah baharu apabila berjaya melaksanakan prosedur implant pacemaker (perentak jantung) buat pertama kalinya di hospital tersebut.

Prosedur ini dijayakan oleh pasukan perubatan HoSZA yang diketuai oleh Dr. Ahmad Wazi bin Ramli, Pakar Perunding Kardiologi (Pakar Pelawat) dari Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Beliau dibantu oleh Dr. Al Mizan bin Mustapa @ Ab Rahim, Pakar Perubatan HoSZA, bersama pegawai perubatan, cardiovascular technologist (CVT), jururawat, jururadiografi (X-ray), serta PPK yang bertugas.

Pacemaker atau alat pacu jantung merupakan peranti perubatan kecil yang ditanam di bawah kulit dada untuk membantu mengawal degupan jantung yang tidak normal, sama ada terlalu perlahan, terlalu laju, atau tidak teratur.

Peranti ini menghantar impuls elektrik melalui elektrod ke otot jantung agar degupan kembali stabil dan teratur.

Menurut pihak hospital, kejayaan ini membuka lembaran baharu dalam penyediaan rawatan kardiologi di HoSZA.

Pesakit jantung di Terengganu kini tidak perlu lagi bergantung sepenuhnya kepada hospital rujukan lain kerana prosedur penting ini sudah boleh dijalankan lebih dekat dengan komuniti setempat.

“Alhamdulillah, dengan izin Allah, HoSZA berjaya melaksanakan prosedur implant pacemaker pertama.

Kami optimis lebih ramai pesakit akan menerima manfaat daripada perkhidmatan ini pada masa akan datang.

Terima kasih atas sokongan dan kerjasama semua pihak yang menjayakan usaha ini,” kata pihak pengurusan HoSZA dalam satu kenyataan.

Dengan perkembangan ini, HoSZA yakin dapat terus memperkukuh peranan sebagai pusat rujukan kesihatan utama di negeri Terengganu, selaras dengan aspirasi kerajaan negeri dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memperluas akses rawatan pakar kepada rakyat.

Kesihatan