Pesawat yang membawa aktivis Global Sumud Flotilla (GSF) yang ditahan Israel di perairan antarabangsa telah selamat mendarat di Lapangan Terbang Istanbul pada jam 12.40 tengah hari GMT, setelah berlepas dari Lapangan Terbang Ramon, Eilat.
Ketibaan mereka disambut penuh mesra oleh pegawai kanan Turki, termasuk Menteri Luar, Hakan Fidan, yang memuji keberanian dan ketabahan para aktivis.
Beliau menegaskan bahawa perjuangan mereka adalah “satu pendirian bermaruah menentang penindasan,” dan menambah bahawa keberanian ini telah menjadikan mereka “suara bagi yang tertindas” dalam memperjuangkan keadilan dan nilai-nilai kemanusiaan.
Menurut maklumat yang diperoleh agensi berita Anadolu, seramai 137 anggota flotilla berada dalam pesawat tersebut, termasuk 36 warganegara Turki.
Turut serta ialah aktivis dari 12 negara lain seperti Amerika Syarikat, Emiriah Arab Bersatu, Algeria, Maghribi, Itali, Kuwait, Libya, Malaysia, Mauritania, Switzerland, Tunisia, dan Jordan.
Seorang aktivis Turki yang ditemui TRT World mendedahkan bahawa mereka berdepan layanan tidak berperikemanusiaan sepanjang ditahan tentera Israel.
Mereka didakwa tidak diberi air minum selama tiga hari dan tidak dibenarkan menunaikan solat, suatu pelanggaran nyata terhadap hak asasi manusia.
Bagi pihak Malaysia, difahamkan bahawa semua peserta flotilla dari tanah air akan dibawa pulang ke Malaysia dalam masa terdekat selepas menyelesaikan urusan rasmi dengan pihak berkuasa Turki.
Kepulangan mereka amat dinantikan oleh keluarga serta seluruh rakyat Malaysia yang mengikuti perkembangan misi flotilla ini dengan penuh doa dan harapan.
Ketibaan mereka di Istanbul sekaligus menjadi simbol kejayaan moral flotilla ini, meskipun dihalang keras oleh Israel.
Kehadiran para aktivis dari pelbagai bangsa dan negara membuktikan bahawa perjuangan membebaskan Gaza dan Palestin adalah perjuangan sejagat, bukan hanya milik rakyat Palestin semata-mata.
