Genosid Israel di Gaza bukan sekadar kempen pemusnahan dan pembunuhan beramai-ramai di lapangan, tetapi juga perang maklumat, satu kempen propaganda dan penipuan untuk memenangi naratif di mata dunia.
Sejak 7 Oktober 2023, apabila Hamas melancarkan serangan rentas sempadan terhadap Israel, Tel Aviv telah membunuh rakyat Palestin tanpa henti, dengan laporan mencatatkan lebih 67,000 kematian, angka yang dipercayai oleh pakar sebenarnya lebih rendah daripada jumlah sebenar.
Dalam keganasan yang berterusan ini, Israel menjalankan kempen maklumat palsu berskala besar bagi membersihkan imejnya dan menutup jenayah perang yang sedang dilakukan.
Walaupun banyak dakwaan palsu ini telah dibuktikan tidak benar, sebahagian media Barat tetap menyiarkannya, terutamanya pada awal peperangan.
Ketika rundingan gencatan senjata sedang dijalankan di Kaherah, Mesir, berikut ialah sembilan pembohongan besar Israel untuk menjustifikasi pembunuhan beramai-ramai di Gaza.
1. “40 Bayi Dipenggal Kepala”
Dakwaan bahawa Hamas memenggal kepala 40 bayi menjadi antara penipuan paling awal dan paling menyayat hati, namun telah dibuktikan palsu sepenuhnya.
Agensi Anadolu (Turki) menjadi media pertama yang membongkar pembohongan ini, memetik jurucakap tentera pengganas Israel sendiri yang berkata mereka tidak dapat mengesahkan laporan tersebut yang disebarkan oleh saluran i24News Israel.
Siasatan oleh Grayzone mendapati sumber asal berita palsu itu ialah David Ben Zion, komander Unit 71 tentera pengganas Israel, yang juga pendatang haram Zionis ekstremis yang terkenal sering menghasut keganasan terhadap rakyat Palestin.
Tiada sebarang gambar atau mayat bayi yang dipenggal pernah dikeluarkan.
Namun, Presiden AS Joe Biden turut mengulangi dakwaan palsu itu, sebelum Rumah Putih menarik balik kenyataannya selepas menyedari gambar tersebut tidak pernah wujud.
2. “Hamas Merogol Secara Besar-besaran”
Israel juga menyebarkan dakwaan bahawa Hamas melakukan rogol besar-besaran pada 7 Oktober.
Namun, ini juga dibuktikan palsu.
Chaim Otmazgin, sukarelawan organisasi Israel ZAKA, pada mulanya mendakwa dia tahu berlaku serangan seksual berdasarkan apa yang dilihat, tetapi kemudian mengakui kepada Associated Press bahawa itu hanyalah andaian tanpa bukti.
Sebaliknya, terdapat bukti video bahawa tentera pengganas Israel sendiri merogol tahanan Palestin lelaki.
Banyak laporan mendokumentasikan keganasan seksual oleh tentera pengganas Israel terhadap tahanan Palestin, lelaki dan wanita, selama beberapa dekad.
3. “Hamas Menggunakan Orang Awam sebagai Perisai Manusia”
Israel sering menuduh Hamas menyembunyikan diri di kalangan orang awam.
Dakwaan ini kembali digunakan semasa serangan ke atas Hospital Al-Shifa, tetapi Israel gagal menunjukkan sebarang bukti kukuh.
Dr. Mads Gilbert, pakar perubatan yang bekerja di hospital itu selama 16 tahun, menegaskan beliau tidak pernah melihat sebarang aktiviti ketenteraan Hamas.
Sebaliknya, banyak bukti menunjukkan tentera pengganas Israel mengebom kawasan awam, termasuk zon selamat di Khan Younis dan Deir al-Balah sebanyak hampir 100 kali.
Profesor undang-undang George Bisharat menjelaskan bahawa pengganas Israel sebenarnya yang menggunakan rakyat Palestin sebagai perisai manusia, termasuk mengikat mereka pada kenderaan tentera atau memaksa mereka masuk ke bangunan dahulu sebelum tentera menyerbu.
4. “Hamas Mencuri Bantuan Kemanusiaan”
Israel menuduh Hamas mencuri bantuan yang dihantar ke Gaza.
Namun, USAID (Agensi Bantuan AS) pada 25 Julai 2025 menegaskan bahawa tiada bukti Hamas mencuri bantuan.
Keesokan harinya, tentera pengganas Israel sendiri memberitahu New York Times bahawa mereka tidak menemui sebarang bukti.
Sebaliknya, Perdana Menteri Netanyahu sendiri mengakui beliau membayar kumpulan jenayah di Gaza untuk mencuri bantuan kemanusiaan yang kemudian dibuktikan benar oleh laporan dalaman.
6. “Wartawan Palestin Adalah Agen Hamas”
Israel menuduh ramai wartawan Palestin bekerja untuk Hamas, termasuk enam wartawan Al Jazeera.
Semua mereka kemudian dibunuh oleh Israel, termasuk Anas Al-Sharif, walaupun beliau berulang kali menafikan tuduhan itu.
Dalam serangan ke atas Hospital Nasser, lima wartawan turut dibunuh.
Israel mendakwa kamera yang digunakan milik Hamas, tetapi siasatan Reuters membuktikan ia milik agensi berita mereka sendiri.
Kini, lebih 300 wartawan dan petugas media telah dibunuh oleh pengganas Israel di Gaza, satu usaha sengaja untuk menutup liputan dan mengawal naratif.
6. “Hamas Menghalang Gencatan Senjata”
Hakikatnya, Hamas telah menerima banyak cadangan gencatan senjata, termasuk daripada Qatar, Mesir, Turki dan AS.
Sebaliknya, Netanyahu yang menolak semuanya.
Pada Mei 2025, Hamas menerima pelan gencatan tiga fasa oleh Qatar dan Mesir.
Pada Ogos 2025, ia menerima pelan yang dibentangkan oleh utusan AS Steve Witkoff.
Namun, Netanyahu menolak setiap satu, malah keluarga tebusan Israel sendiri menuduh beliau menggagalkan rundingan demi kepentingan politiknya.
Amerika Syarikat pula memveto enam resolusi Majlis Keselamatan PBB yang menyeru gencatan senjata.
7. “Jumlah Kematian Palestin Dibesar-besarkan”
Israel sering memperkecilkan jumlah korban Palestin dan mempertikai laporan Kementerian Kesihatan Gaza serta PBB.
Namun, pemerhati bebas dan pertubuhan antarabangsa menyatakan angka sebenar mungkin melebihi 200,000 orang mati dan 170,000 cedera.
8. “Serangan Israel Tepat Menyasarkan Militan”
Israel mendakwa operasi tenteranya tepat dan hanya menyasarkan Hamas.
Namun, laporan daripada PBB, Amnesty International dan HRW membuktikan bahawa serangan Israel memusnahkan rumah, sekolah, hospital dan kem pelarian.
Majoriti mangsa ialah wanita dan kanak-kanak.
9. “Tentera Pengganas Israel Adalah Tentera Paling Bermoral di Dunia”
Israel sering menggambarkan ITF (Israel Terrorist Force) sebagai tentera paling bermoral di dunia.
Namun, realitinya menunjukkan sebaliknya, tentera pengganas Israel melakukan pembunuhan besar-besaran, merompak rumah, membakar kediaman dan memperkosa tahanan Palestin.
Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan Yoav Gallant, namun kedua-duanya masih bebas.
Video yang tersebar menunjukkan tentera pengganas Israel bermain-main dengan mayat, memusnahkan kubur, menembak kanak-kanak di kepala dan menjadikan rakyat Palestin sasaran tembakan latihan.
Israel bukan sahaja menyerang rakyat Palestin dengan senjata, tetapi juga menyerang kebenaran dengan pembohongan.
Kebenaran akhirnya tetap akan muncul kerana sebagaimana firman Allah SWT:
وَلَا تَحْسَبَنَّ ٱللَّهَ غَـٰفِلًا عَمَّا يَعْمَلُ ٱلظَّـٰلِمُونَ ۚ إِنَّمَا يُؤَخِّرُهُمْ لِيَوْمٍۢ تَشْخَصُ فِيهِ ٱلْأَبْصَـٰرُ
“Dan janganlah engkau menyangka bahawa Allah lalai daripada apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim. Sesungguhnya Dia hanya menangguhkan mereka hingga ke suatu hari yang padanya mata mereka akan terbelalak (kerana ketakutan).”
(Surah Ibrahim: 42)

