Negeri Terengganu terus melangkah ke hadapan dalam usaha memperkukuh agenda pembangunan lestari apabila satu lagi kejayaan strategik direalisasikan melalui termeterainya Perjanjian Usahasama dan Pemegang Saham antara Terengganu Incorporated Sdn. Bhd. (Terengganu Inc) dan Greenverse Holding Sdn. Bhd. bagi menubuhkan sebuah syarikat baharu, TI Greenverse Sdn. Bhd.
Menurut Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, penubuhan syarikat itu melambangkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam memperkasa ekonomi hijau dan pengurusan sisa mampan, sejajar dengan aspirasi Pelan Induk Terengganu Sejahtera 2030 (PITAS 2030).
“Alhamdulillah, satu lagi kejayaan tercipta melalui usaha berterusan Terengganu Inc. Kerjasama strategik ini menjadi langkah penting dalam memperkukuh pembangunan teknologi hijau dan pengurusan sisa mampan di Negeri Terengganu sekali gus mengangkat negeri ini sebagai peneraju utama ekonomi hijau dan industri lestari di Malaysia,” ujar beliau.
Pusat operasi bagi usahasama tersebut bakal berpusat di Taman Bio-Polimer Kerteh, yang akan berfungsi sebagai kemudahan bersepadu menggunakan teknologi terkini dalam pemulihan dan kitar semula sisa.
Ia bukan sahaja menyokong usaha pemuliharaan alam sekitar, malah berpotensi menjana peluang pekerjaan baharu kepada penduduk tempatan serta memperkukuh ekonomi kitaran negeri.
Langkah strategik ini dijangka menjadi pemangkin utama kepada pembangunan industri hijau di Terengganu, khususnya dalam sektor tenaga boleh diperbaharui, pengurusan sisa industri dan inovasi lestari yang berimpak tinggi terhadap sosioekonomi negeri.
Dr. Ahmad Samsuri turut menegaskan bahawa inisiatif ini adalah bukti nyata bagaimana Terengganu bergerak seiring dengan trend global menuju masa depan rendah karbon dan ekonomi hijau.
“Usahasama ini bukan sekadar pelaburan, tetapi manifestasi kesungguhan kita untuk melindungi alam sekitar, membina peluang ekonomi baharu dan menyediakan masa depan yang lebih mampan untuk generasi akan datang,” katanya lagi.
Dengan termeterainya perjanjian ini, Terengganu sekali lagi membuktikan keupayaannya sebagai negeri yang progresif dan berpandangan jauh dalam melaksanakan strategi pembangunan berimpak tinggi berpaksikan prinsip kemampanan dan tanggungjawab sosial.
Usahasama antara Terengganu Inc dan Greenverse Holding dilihat bukan sahaja memperkukuh kedudukan Terengganu dalam ekosistem industri hijau Malaysia, malah membuka laluan baharu bagi pelaburan strategik berasaskan teknologi bersih dan inovasi lestari di peringkat serantau.
