Menipu Dan Ditipu

Menipu Dan Ditipu

Mari kita mengambil permulaan kepada beberapa isu besar politik yang menarik berlaku di Sabah, bermula dari zaman Tun Fuad Stephens pada tahun 1976, apabila beliau yang kali kedua diangkat menjadi Ketua Menteri menerusi Parti Bersatu Rakyat Jelata Sabah (Berjaya), parti yang berlainan dari parti pertama beliau, Pertubuhan Kebangsaan Kadazan Bersatu (UNKO) di bawah perikatan.

Beliau meninggal dunia dalam satu nahas udara bersama beberapa orang Menteri Sabah yang dikenali sebagai Tragedi Double Six di Sembulan, Kota Kinabalu pada 6hb Jun 1976.

Keluarlah berbagai teori konspirasi terhadap kematian beliau itu.

Tan Sri Harris Salleh kemudiannya menggantikannya.

Bermulalah beberapa episod panas politik di Sabah.

Waktu pemerintahan Harris 1976-1984, beliau dituduh menyebabkan peningkatan pendatang tanpa izin, pemberian kad pengenalan biru kepada orang asing, pengislaman secara ugutan dan isu penyerahan Labuan sebagai Wilayah Persekutuan.

Beliau juga dituduh sebagai dalang yang menyerahkan hak petroleum Sabah kepada Petronas dengan menandatangani Perjanjian Petroleum sejurus selepas Tragedi Double Six.

Tahun 1982, Tan Sri Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan digugurkan dari jawatan menteri oleh Harris, yang menyebabkan beliau keluar dari Berjaya.

Pairin menubuhkan Parti Bersatu Sabah (PBS) dalam masa kurang dua bulan sebelum pilihanraya 1985.

PBS membina hubungan dengan USNO, pimpinan Tun Datu Mustafa yang berselisih dengan Harris, bergabung, menentang Harris.

Mereka menang dan Pairin diangkat menjadi KM.

Namun pakatan mereka hanya seperti MoU sahaja, sangat rapuh.

Tidak lama, hubungan PBS-USNO menjadi renggang kerana PBS berjaya memperolehi 25 daripada 48 kerusi Dun yang kemudiannya bertambah menjadi 26 dengan lompatan seorang Adun.

PBS umum kemenangannya tanpa USNO.

Tun Datu Mustafa bertindak mengadap TYT Sabah untuk mengangkat sumpah KM pada pukul 4.30 pagi, 22 April 1985, tanpa kehadiran Ketua Hakim dan Peguam Negeri Sabah, walaupun gabungan USNO-Berjaya kurang tiga kerusi berbanding PBS.

Konon BN Pusat memberi izin, sedangkan tidak.

TYT Sabah, tidak memberikan watikah perlantikan, menjadikan acara angkat sumpah ini hanyalah lakonan.

TYT melantik Pairin secara sah beberapa jam kemudian, disokong oleh BN Pusat.

Kes dibawa ke mahkamah dan Tun Datu Mustafa kalah.

Pairin pada 1986, membubarkan Dun dengan kebenaran mahkamah.

Banyak terjadi letupan bom dan konflik agama sewaktu itu akibat kemarahan orang USNO.

Dikatakan kekacauan ini adalah cubaan untuk mengisytiharkan darurat di Sabah.

Keganasan ini dikaitkan dengan Tun Datu Mustafa, menyebabkan beliau kalah dalam PRN.

PBS menyertai BN sehingga tahun 1990, apabila Tengku Razaleigh dari Semangat 46 di bawah Angkatan Perpaduan Ummah (APU) menawarkan kerjasama (waktu ini isu tengkolok berlambang salib terjadi).

PBS keluar BN dan menang besar.

Tahun 1991, Umno ditubuhkan di Sabah.

PBS menang tipis 1994 bergabung dengan USNO.

Giliran Pairin pula bergegas ke istana TYT dan terpaksa menunggu 36 jam kerana kononnya TYT kurang sihat.

Dalam masa yang sama, ada lompatan berlaku ke kem BN, termasuk adik Pairin sendiri, Jeffry Kitingan dan PBS hilang majoriti.

Episod lain politik di Sabah, ada bekas KM Sabah yang didapati berjudi dengan kerugian puluhan juta ringgit di London dan Australia.

Ada skandal isu air berpuluh juta duit dalam rumah, ada isu kerugian pelaburan Amanah Saham Sabah, ada isu KM dikatakan ada harta berbilion ringgit dan mengkayakan keluarga.

BN Sabah terpaksa menggilirkan jawatan KM dalam satu penggal kepada parti-parti komponen BN.

Isu rasuah perlombongan, isu rampasan tanah, perlantikan individu yang dikatakan banyak terpalit dengan salah laku sebagai TYT dan ramai KM Sabah terpalit isu rasuah.

2018, timbul lagi adegan lompat melompat dan juga pertikaian perlantikan dua orang sebagai Ketua Menteri Sabah sehingga dibawa ke mahkamah untuk diputuskan.

Kini sewaktu Sabah hangat untuk persediaan pilihanraya, masih ada lagi yang melompat ke sana sini untuk kepentingan diri.

Apapun yang berlaku di Sabah, yang ditipu, jelas rakyat Sabah, kerana sudah 61 tahun merdeka bersama Malaysia, infrastruktur di Sabah masih jauh ketinggalan, walaupun hasil buminya melimpah.

Mereka ditipu oleh pemimpin mereka sendiri.

Namun, ada gesaan supaya ditolak parti dari semenanjung kerana dakwa mereka, orang semenanjunglah yang merampas hasil bumi Sabah.

Sedangkan dari senarai salah tadbir di Sabah, jelas dilakukan oleh orang Sabah sendiri.

Gesaan itu adalah suara penipu untuk menipu rakyat Sabah, supaya mereka boleh mencuri lagi hasil negeri.

Ada juga seruan supaya menolak PAS, tidak boleh disebut nama PAS.

Seruan ini jelas seruan ketakutan kerana rekod PAS memerintah tiada rasuah atau penyelewengan harta kerajaan.

Jika disiplin PAS ini diadaptasi dalam pentadbiran Kerajaan Sabah, penyamun harta rakyat Sabah pasti ketakutan dan rakyat marhaen Sabah semestinya akan gembira kerana PAS membantu rakyat dengan menguruskan hasil negeri.

PAS bersama Perikatan Nasional bertanding di Sabah.

Mohd Nasir Abdullah

Kolumnis