Isu 40% Hasil Sabah: Tuntutan Lama Yang Kian Mendesak

Isu 40% Hasil Sabah: Tuntutan Lama Yang Kian Mendesak

Perbahasan mengenai tuntutan 40 peratus hasil Sabah kembali menjadi perhatian nasional apabila suara rakyat negeri itu semakin lantang menuntut pelaksanaan sebenar yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Menurut Afnan Hamimi Taib Azamudden, isu ini bukan perkara baharu; ia berulang saban tahun setiap kali MA63 menjadi topik perbincangan.

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, Dewan Rakyat turut memberi tumpuan khusus terhadap perkara itu, mencerminkan keresahan rakyat Sabah bahawa hak mereka masih belum dipulihkan sepenuhnya meskipun lebih enam dekad berada dalam Persekutuan Malaysia.

Keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu baru-baru ini, jelas Afnan, merupakan tamparan hebat kepada Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan apabila ia sekali lagi mengingatkan negara bahawa hak Sabah telah lama dipinggirkan.

Tempoh 48 tahun kehilangan pemberian hasil itu kini digelar sebagai ‘The Lost Year’, menandakan kelompongan besar dalam kewajipan perlembagaan yang sepatutnya dipikul bersama oleh kedua-dua pihak.

Peruntukan Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan, bersama Subseksyen 2(1) Bahagian IV Jadual Kesepuluh, bukan sekadar teks undang-undang, tetapi satu jaminan penting kepada rakyat Sabah.

Namun ironinya, negeri tersebut masih tergolong antara negeri termiskin di Malaysia.

Kemunduran Infrastruktur Masih Ketara

Afnan menegaskan, keadaan infrastruktur Sabah yang dhaif menjadi cerminan jelas kegagalan pelaksanaan hak tersebut.

Pelbagai kisah kesusahan rakyat Sabah tersebar di media sosial, murid sekolah terpaksa meredah jalan balak setiap hari, keluarga mandi di sungai kerana tiada bekalan air bersih dan banyak kawasan masih bergelap akibat ketiadaan elektrik stabil.

Situasi ini, tegasnya, bukan lagi sekadar isu hak hasil negeri, tetapi mencerminkan kerosakan struktur pentadbiran yang terlalu lama diabaikan.

Memerlukan Tekad Politik yang Jelas

Berhubung perbincangan MA63, Afnan menegaskan bahawa isu ini tidak akan selesai jika hanya disandarkan pada perjanjian atas kertas.

Kuncinya ialah tekad politik yang kuat, semangat federalisme yang benar-benar dihormati serta keberanian kepimpinan Sabah dan Persekutuan untuk mengubah landskap pembangunan negeri itu.

Beliau mengingatkan bahawa banyak mana pun perjanjian dibuat, tanpa tekad politik dan semangat federalisme, negeri yang kaya sekalipun boleh menjadi papa kedana.

Justeru, rakyat Sabah perlu memilih pemimpin yang bukan sahaja berintegriti tetapi mempunyai iltizam politik yang tinggi untuk menjadikan Sabah sebuah negeri maju, seimbang dan berdaya saing.

Pilihanraya